maksud perkataan balam,kandis,damar,tengar,mendengut,serapah,serati,selara | Balam maksudnya sejenis burung atau nampak kurang jelas, kandis maksudnya sejenis tumbuhan (pokok yang masam buahnya) dalam famili Guttiferae, damar maksudnya bahan berupa getah keras yang diperoleh daripada beberapa jenis pokok, tengar maksudnya sejenis tumbuhan (pokok yang kulitnya digunakan untuk menyamak jaring, kulit binatang, dan lain-lain), mendengut maksudnya berbunyi dengut (seperti bunyi burung puyuh, atau gong yang dipalu), serapah maksudnya kutuk atau sumpah, serati maksudnya gembala gajah, selara maksudnya bulu halus (seperti miang) pada tumbuh-tumbuhan. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Kamus Dewan. | Makna | 01.11.2009 |
betulkan pemahaman saya mengenai istilah berasa dan merasa berasa ialah sesuatu perasaan terhadap benda atau perkara (sesuatu yang dirasai daripada tubuh badan) merasa pula ialah sesuatu perbuatan dengan menggunakan anggota badan | Berasa dan merasa terbit daripada kata rasa. Kedua-dua perkataan ini digunakan dalam konteks ayat yang berbeza. Dengan merujuk kamus, pengguna akan dapat memahami makna sesuatu perkataan dan dapat menggunakan sesuatu perkataan dengan betul. Dalam Kamus Dewan Perdana (KDP:1826): Makna berasa yang pertama ialah mempunyai rasa dalam hati seperti takut, sedih dan gembira. Contoh ayat: Salina berasa kasihan melihat kucing itu dan mengusap-usap kepalanya. Makna berasa yang kedua ialah mempunyai rasa tertentu yang dapat dikesan oleh lidah seperti manis, pedas dan sedap. Contoh ayat: Kopi ini berasa pahit kerana sedikit sangat gulanya. Makna berasa yang ketiga ialah berada dalam keadaan hairan, sedih, insaf dan sebagainya dalam hati. Contoh ayat: Dia berasa hairan melihat kelakuan majikannya yang tiba-tiba sahaja marah-marah tidak tentu pasal. Makna merasa yang pertama ialah mengecap untuk mengetahui (rasa makanan, minuman dan sebagainya) dengan lidah. Contoh ayat: Ibu hendak merasa kuih yang saya buat. Makna merasa yang kedua ialah mengalami (rasa panas, sakit dan lain-lain) pada tubuh. Contoh ayat: Seluruh tubuhnya merasa gatal-gatal krn dilekati miang rumput ketika terjatuh di tepi longkang. Makna merasa yang ketiga ialah meraba atau menjamah (sesuatu) dengan tangan atau kaki. Contoh ayat: Dia memegang tanganku dan merasa denyut nadi. Kamus boleh dijadikan panduan atau rujukan bagi memastikan sesuatu perkataan yang digunakan betul. | Makna | 05.05.2025 |