Mohon bimbingan Kedua-dua ayat di bawah yang mana betul penggunaan beban atau bebanan? i) Dia bekerja sambilan untuk meringankan beban keluarga sebelum memulakan sesi pengajian baharu. ii) Dia bekerja sambilan untuk meringankan bebanan keluarga sebelum memulakan sesi pengajian baharu. Terima kasih atas bimbingan | Ayat yang betul ialah “Dia bekerja sambilan untuk meringankan beban keluarga sebelum memulakan sesi pengajian baharu.” Penggunaan perkataan beban atau bebanan bergantung pada konteks penggunaan dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 67 - 70.
| Tatabahasa | 07.09.2025 |
Mohon pencerahan tentang kata pembenda.. "Adik tidur dengan nyenyak dan selesanya." atau "Adik tidur dengan nyenyak dan selesa."? "Adik makan dengan gelojohnya." atau "Adik makan dengan gelojoh."? | Kata pembenda ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama menjadi kata nama. Dalam bahasa Melayu, kata sendi nama perlu diikuti oleh kata nama. Dalam frasa dengan nyenyak dan selesa, perkataan nyenyak dan selesa ialah kata adjektif dan tidak boleh hadir selepas kata sendi nama. Kata pembenda -nya perlu diletakkan pada perkataan nyenyak dan selesa supaya menjadi kata nama, iaitu nyenyaknya, selesanya. Begitu juga dengan perkataan gelojoh yang merupakan kata adjektif. Bagi mematuhi rumus tatabahasa, perkataan ini perlu diletakkan kata pembenda -nya untuk menjadi kata nama gelojohnya. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku terbitan DBP seperti yang berikut: (i) Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 653, 1551 dan 2010. (ii) Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 104, 296. (iii) Rumus Tatabahasa Bahasa Melayu: Golongan Kata (DBP, 2017), halaman 168. | Tatabahasa | 11.09.2025 |
Mohon pencerahan mengenai susunan yang tepat bagi tajuk majlis sambutan. Antara peringkat atau tahun, manakah yang perlu didahulukan pada penulisan? Contoh: 1) Majlis Sambutan Hari Peladang Peringkat Negeri Selangor Tahun 2024 atau 2) Majlis Sambutan Hari Peladang 2025 Peringkat Negeri Selangor. Sekian. | Kedua-dua susunan tajuk majlis sambutan boleh digunakan bergantung pada kehendak penganjur. 1) Majlis Sambutan Hari Peladang Peringkat Negeri Selangor 2024 2) Majlis Sambutan Hari Peladang 2025 Peringkat Negeri Selangor | Tatabahasa | 16.08.2025 |
Mohon pencerahan, bagi penggunaan arahan soalan dalam buku latihan murid seperti: Warnakan Tuliskan Suaikan Padankan Tandakan Adakah perlu dibuang "kan" di belakangnya? | Untuk makluman, perkataan seperti "Warnakan", "Tuliskan", "Suaikan", "Padankan" dan "Tandakan" perlu dikekalkan penggunaan "-kan" kerana bertujuan memberikan perintah atau arahan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 448. | Tatabahasa | 24.07.2025 |
MOHON BANTUAN UNTUK SEMAKAN CADANGAN PENGGUNAAN NAMA BAGI PAPAN TANDA BAHARU DI RUANGAN PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA SEPERTI DILAMPIRAN. TERIMA KASIH | Permohonan pengesahan bahasa Melayu dalam iklan/papan tanda boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web dbpsahbahasa.my. Sila Daftar Akaun (rujuk Panduan Pelanggan) dan aktifkan akaun. Log masuk setelah akaun diaktifkan. Pilih DAFTAR PERMOHONAN > DAFTAR PENAMAAN, sila pilih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan. Sila pilih jenis penamaan (Nama Jalan/Nama Bangunan/Nama Kawasan/Nama Taman/Nama Daerah/Lain-lain). Sila masukkan tajuk permohonan dan masukkan sebab-sebab mengapa memilih penamaan yang berkenaan pada ruangan catatan yang disediakan. Kemudian, muat naik visual yang hanya tertera teks cadangan penamaan sahaja. Satu penamaan hanya untuk satu permohonan sahaja. Klik “Faham terma dan syarat xxx” dan SIMPAN. Makluman Tahniah Pendaftaran Penamaan XXX Berjaya akan dipaparkan. | Lain-lain | 11.07.2025 |
Mohon pencerahan padanan yang tepat bagi istilah bagi divert call. Adakah Panggilan Beralih? Contoh Tajuk: TATACARA MENGAKTIFKAN DAN MENYAHAKTIFKAN FUNGSI PANGGILAN BERALIH/ DIVERT CALL TELEFON PEJABAT | Cadangan padanan bahasa Melayu bagi istilah call divert secara umumnya ialah pengalihan panggilan. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 25.06.2025 |
MOHON PENGESAHAN BAGI EJAAN PENGUAT KUASA ATAU PENGUATKUASA SAMA ADA DUA PERKATAAN ATAU SATU PERKATAAN. TERIMA KASIH | Ejaan yang betul ialah “penguat kuasa”. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk pangkalan data prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 04.06.2025 |
Mohon semak terjemahan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu seperti berikut: Leveraging inclusivity, empowering humanity = Memanfaatkan keterangkuman, Memperkasakan kemanusiaan | Cadangan padanan terjemahan bahasa Melayu yang diberikan boleh digunakan mengikut konteks yang bersesuaian. | Penyemakan dan penterjemahan | 19.05.2025 |
Mohon pengesahan. Adakah perkataan langkah - langkah seperti berikut sesuai digunakan 1) Langkah-Langkah Pelaksanaan Analisis Sumber 2) Langkah-Langkah Utama Dalam Melaksanakan Analisis Kos Dan Faedah | Perkataan "langkah-langkah" boleh digunakan pada kedua-dua ayat tersebut, kecuali pembetulan dari segi penggunaan huruf. 1. Langkah-langkah Pelaksanaan Analisis Sumber. 2. Langkah-langkah Utama Pelaksanaan Analisis Kos dan Faedah. | Tatabahasa | 09.05.2025 |
Mohon semakan ayat bagi slogan berikut: "Membaca, Membina Waghih Madani" | Perkataan “waghih” tiada dalam kosa kata bahasa Melayu. Slogan yang dicadangkan ialah “Budaya Membaca, Membina Masyarakat Madani.” | Tatabahasa | 15.05.2025 |