Nak tanya soalan di bawah ini kalau kita pilih jawapan "molek" boleh diterima?Mengapa? Pakaian yang dipakai oleh pasukan koir sekolah Salina itu sungguh _________ . A) comel B) hodoh C) molek D) cantik | Molek bermaksud cantik, bagus atau elok. Kata molek boleh digunakan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 19.10.2011 |
Apakah perbezaan antara molek dengan jelita? Terima kasih | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, molek bermaksud cantik, bagus, elok (perbuatan, pakaian, dll). Jelita bermaksud cantik, elok, molek. Oleh itu, kedua-duanya mempunyai maksud yang sama. | Makna | 08.02.2014 |
Maaf, saya ingin bertanya tentang perkataan molek di dalam ayat di bawah. Adakah betul penggunaannya? Mohon pencerahan pihak DBP. Pakaian tradisional suku kaum Iban itu sangat molek. | Perkataan molek bermaksud antik, bagus, elok (perbuatan, pakaian, dan lain-lain). Puan boleh merujuk kamus untuk makna perkataan. | Tatabahasa | 13.06.2020 |
Adakah Kata adjektif yang membawa keserasian makna seperti cantik molek dan kurus kering boleh ditulis secara songsang ? sebagai contoh, molek cantik dan kering kurus. | Bentuk gabungan tersebut betul tetapi apabila diterbalik ia tidak lazim digunakan. Contoh cantik molek - sangat cantik dan kurus kering -sangat kurus. Namun begitu, jika diterbalikkan akan membawa makna yang lain contohnya kering kurus - sangat kering. | Makna | 22.02.2018 |
tukarkan perkataan rumi ke jawi PASAR WILAYAH AYER MOLEK | PASAR WILAYAH AYER MOLEK - ڤاسر ولايه اءير موليق | Ejaan | 30.09.2015 |
ASWT.. Saya ingin memohon huraian secara jelas mengenai pantun di bawah. Pohon maaf juga kalau saya tersalah tempat untuk bertanya. Berbanyak terima kasih. Yang merah itu saga, Yang kurik itu kundi, Yang indah itu bahasa, Yang molek itu budi. | Yang merah itu saga, Yang kurik itu kundi, Yang indah itu bahasa, Yang molek itu budi.
Secara umum, pantun di atas dikategorikan dalam Pantun Budi. Dalam baris 1 dan 2, dikenali sebagai pembayang atau sampiran. Pembayang pantun tersebut mengambil unsur tumbuhan, iaitu biji saga. Kundi juga adala sejenis biji saga yang digunakan untuk menimbang emas. Dalam baris 3 dan 4 pula dikenali sebagai maksud pantun yang menyatakan bahawa yang indah itu bahasa dan yang molek itu budi. Perkataan molek jika dirujuk adalah berkaitan dengan perbuatan yang berkaitan dengan budi. Jika dikaitkan dengan pembayang dan maksud pantun di atas, kita dapat lihat bagaimana kaitan tersebut dibuat oleh pencipta pantun ini. Dalam pembayang 1, penciptanya menegaskan bahawa biji saga itu berwarna merah dan jika dikaitan dengan maksud baris pantun ke 3, pencipta juga menegaskan bahasa yang indah itu bahasa. Manakala dalam pembayang ke 2 pula pencipta menyebut perkataan kundi yang digunakan untuk menimbang emas, iaitu sesuatu yang sangat berharga dan ini dikaitkan pula dengan maksud pantun dalam baris ke 4 yang menyatakan bahawa yang molek itu budi. Cuba lihat bagaimana pencipta tersebut mengaitkan kundi dengan budi, iaitu kundi yang dijadikan alat untuk menimbang emas dan budi pula ssesuatu yang sangat berkaitan dengan akal dan pekerti yang secara simbolik sangat dipandang tinggi oleh orang Melayu. Begitulah serba ringkas huraian daripada pantun di atas. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 06.07.2009 |
Saya guru buku teks SMK Taman Molek Johor Bahru. Saya ingin membuat aduan berkaitan buku yang diterima pada 1 Januari 2015 bertajuk SEJAMBAK BAKTI TINGKATAN 1(F051123) tidak cukup muka surat. Jumlah buku yang bermasalah ini sebanyak 46 buah. Saya berharap pihak tuan dapat mengambil tindakan segera memandangkan jumlah buku yang bermasalah ini melibatkan 46 orang pelajar. Sekian terima kasih. | Untuk maklumat yang berkaitan mohon hubungi Encik Abdul Khalid bin Mohd Diah, Bahagian Pengedaran dan Pemasaran, Dewan Bahasa dan Pustaka melalui talian 03-89611836, 012-3176678 atau e-mel pp@dbp.gov.my. | Lain-lain | 14.01.2015 |
Apakah perbezaan penggunaan bagi "cantik" dan "indah"? Kereta yang indah boleh diterima atau tidak? Rumah yang indah? Adakah penggunaan "indah" pada objek yang lebih luas? | Cantik bermaksud sangat menarik apabila dipandang (berkenaan orang perempuan, rupa muka, bangunan, benda, pemandangan, dan lain-lain), sangat elok (bagus, molek). Indah bermaksud cantik, bagus benar, elok, molek, khabar mengenai satu-satu perkara biasanya dilebih-lebihkan (daripada keadaan yang sebenarnya). Berdasarkan maksud bagi kedua-dua perkataan tersebut, indah boleh digunakan bagi merujuk kereta dan rumah. | Makna | 31.10.2015 |
SALAM.. diharap tuan dapat membantu saya dan balas melalui email saya. mohd_nizal@yahoo.com. Yang merah itu saga, Yang kurik itu kundi, Yang indah itu bahasa, Yang molek itu budi. Huraikan maksud pantun di atas. terima kasih. | Maksud pantun di atas ialah yang indah dan yang baik ialah bahasa dan budi, bukannya rupa. | Makna | 20.07.2009 |
Saya ingin bertanya ejaan yang betul bagi dialek Kelantan berikut: Wo sihat. Mu sain skolah Irfan ko? (Nenek sihat. Kamu sama sekolah dengan Irfankah?) Ore muda Singapore perangae tok molek yo? (Orang muda Singapura perangai tidak elok ya?) Terima kasih. | Untuk mendapatkan ejaan yang betul sila rujuk laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) di bawah Glosari Dialek Kelantan. | Ejaan | 24.07.2019 |