Salam sejahtera, bolehkah beritahu saya berapa jenis monolog yang terdapat dalam penulisan novel? Juga, bolehkah terangkan kepada saya perbezaan di antara monolog dan monolog dalaman? | Monolog ialah pertuturan kepada diri sendiri sama ada boleh disuarakan atau diucapkan dalam hati. Tidak ditujukan kepada orang lain dan tidak memerlukan reaksi ataupun jawapan daripada orang lain. Monolog hanya dua sahaja iaitu monolog dan monolog dalaman. Monolog (disuarakan) “ Sabarlah ayah, emak. Hajat ayah dan emak mahu nenek hendak naik haji pasti Aris tunaikan,” bisik Aris perlahan dengan wajah yang diseliputi awan kerisauan. Monolog (dalaman/diucapkan dalam hati) “ Inilah agaknya erti kasih antara anak dan ibu,” detak hati kecil Rina. Tanpa disedarinya, air matanya mengalir di pipinya yang gebu. | Sastera | 26.07.2012 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Soalan saya, di dalam kajian sastera, apakah perbezaaa anatar jalan cerita, teknik plot dan teknik penceritaan? Adakah jalan cerita itu merangkumi teknik plot dan juga teknik penceritaan? Terima kasih. | Teknik plot atau lebih tepat teknik penceritaan ialah elemen-elemen yang membantu pengarang dalam membina ceritanya. Teknik penceritaan ini dapat menunjukkan kreativiti pengarang dalam mempelbagaikan gaya dalam menyampaikan ceritanya. Antara teknik penceritaan ialah dialog, monolog, monolog dalaman, pemerian, imbas kembali, imbas muka dan sebagainya. | Sastera | 22.07.2013 |
1.Bagi monolog, tanda petik manakah yang tepat digunakan? Tanda petik seperti dialog ataupun tanda petik tunggal? 2. Bagi kiasan (double meaning), adakah perlu menggunakan tanda petik tunggal. Terangkan secara terperinci penggunaan tanda petik tunggal. 3. Bagi species haiwan, tumbuhan, dan sebagainya, perlukah kita menggunakan huruf besar pada pangkal perkataan. Contoh: Memerang Licin. | Bagi monolog dan kiasan tanda petik tunggal (' ') digunakan. Haiwan dan tumbuhan ialah kata nama am dan dieja dengan huruf kecil seperti harimau, memerang licin dan pokok renek. | Ejaan | 17.08.2011 |
Konflik dalam cerita dikatakan termasuk di dalam teknik plot namun sesetengah pendapat mengatakan konflik hanya hadir dalam perkembangan plot. Sila perjelas tentang konsep plot dan teknik plot. | Konflik dalam cerita dikatakan termasuk di dalam teknik plot namun sesetengah pendapat mengatakan konflik Konflik hanya hadir dalam perkembangan plot. Sila perjelas tentang konsep plot dan teknik plot. Secara umum, konflik ialah perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan dll. Dalam cereka, konflik adalah salah satu unsur penting dalam menggerakkan plot, kerana harus dingat bahawa plot ialah jalinan cerita yang berasaskan sebab dan akibat. Justeru, untuk menjalinkan sebuah cerita yang baik, pengarang mesti menciptakan konflik untuk mengembangkan plot ceritanya. Tanpa konflik tidak akan ada cerita dan tanpa konflik yang rencam, tidak mungkin sesebuah cerita itu dapat berkembang dan menarik. Sebagai contoh mudah, lihat sahaja dalam setiap drama (baca: drama juga ialah salah satu genre dalam sastera) bersiri di televisyen yang mengaplikasikan konflik untuk meneruskan cerita agar penonton terus mengikuti siri-siri cerita tersebut. Manakala teknik plot pula ialah atau lebih tepat teknik penceritaan ialah elemen-elemen yang membantu pengarang dalam membina ceritanya. Teknik penceritaan ini ialah yang dapat menunjukkan kreativiti pengarang dalam mempelbagaikan gaya dalam menyamapaikan ceritanya. Antara teknik penceritaan ialah dialog, monolog, monolog dalaman, pemerian, imbas kembali, imbas muka dan sebagainya. Elemen-elemen ini teknk penceritaan ini juga menyebabkan konflik sessuatu cerita itu akan lebih menarik dan rencam. Oleh itu, konflik adalah asas penting yang menggerakkan sesebuah cerita yang akan diikuti dengan suspens dan kejutan. Ketiga-tiga unsur itu (konflik, suspens dan kejutan) akan digunakan oleh pengarang (cerpen, novel dan drama) untuk menggerakkan plot ceritanya dengan dibantu oleh teknik penceritaaan. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 08.02.2010 |
1.Nyatakan perbezaan antara interpersonal dengan intrapersonal 2.Penggunaan ialah dengan adalah | Interpersonal membawa maksud komunikasi dua arah. Intrapersonal lebih membawa maksud komunikasi satu arah, (monolog dalaman diri seseorang). Penggunaan ialah selalunya diikuti dengan penggunaan kata nama, manakala adalah selalunya diikuti dengan kata sendi dan kata hubung. Terima kasih kerana berurusan dengan pihak kami. | Makna | 11.10.2006 |
selamat sejahtera Saya hendak tahu makna monodrama dengan terperinci dan sekiranya ada maklumat mengenai teknik dan cara mencipta skrip monodrama, mohon dikemukan sekali. terima kasih. | Saudara yang bertanya, 1. Monodrama merujuk kepada drama monolog yang dilakonkan oleh seorang pelakon sahaja dan melakonkan lebih dari satu watak. monodrama ialah sebuah 'sole performance' dengan hanya berdiri pada kekuatan seorang pelakon sahaja menguasai pentas dan audience. Sebagai sebuah drama, persembahan monodrama juga diiringi dengan muzik latar, set, kostum dan tatarias bagi melengkapkan keperluan pelakon tersebut beraksi di pentas. 2. Skrip monodrama pula merupakan sbuah skrip yang lengkap sebagai sebuah cerita, juga mempunyai permulaan, klimak dan peleraian. | Sastera | 30.03.2012 |
Assalamualikum dan salam sejahtera. Adakah unsur suspens dimuatkan dalam karya itu bersifat teknik penceritaan? Terima kasih | Unsur suspens dalam sesebuah karya akan menarik minat pembaca untuk terus membaca. Unsur ini merupakan teknik penceritaan selain daripada unsur kejutan, dialog, monolog, konflik, imbas kembali dan sebagainya yang akan menggerakkan sesebuah karya. | Tatabahasa | 25.07.2013 |
apa itu kemahiran komunikasi takrif komunikasi interpersonal dan intrapersonal | Kemahiran komunikasi ialah kemahiran berhubung antara penghantar (sumber) dan penerima (sasaran) melalui medium komunikasi. Komunikasi interpersonal adalah seperti komunikasi antara perorangan, komunikasi perseorangan, komunikasi bersemuka. Komunikasi intrapersonal ialah komunikasi yang berlaku dalam diri seseorang seperti monolog yang ditujukan kepada diri sendiri. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, saudara boleh merujuk mana-mana Jabatan Komunikasi di IPTA dan IPTS. | Lain-lain | 08.01.2008 |
Terima kasih atas maklum balas. Namun ada sedikit tambahan kepada soalan saya tersebut, adakah unsur suspens dimuatkan dalam karya itu bersifat teknik penceritaan? Terima kasih. | Unsur ketegangan dalam sesebuah karya akan menarik minat pembaca untuk terus membaca. Unsur ini merupakan teknik penceritaan selain daripada unsur kejutan, dialog, monolog, konflik, imbas kembali dan sebagainya yang akan menggerakkan sesebuah karya. | Sastera | 23.07.2013 |
bagaimanakah cara untuk saya jadi seorang penulis novel? | Ada pelbagai cara untuk menjadi seorang penulis novel. Antaranya saudara perlu banyak membaca novel karya orang lain terlebih dahulu mengikut tema yang menjadi minat saudara seperti kisah cinta, penyiasatan, sejarah, misteri dan sebagainya. Teliti cara penulis itu menulis karya mereka dari segi pengadunan plot, watak perwatakan, latar, gaya, bahasa, teknik seperti monolog, dialog, saspens, imbas muka, imbas kembali, pembahagian bab, dan unsur lain yang menjalin struktur sesebuah cerita. Selain itu, saudara perlu mempunyai ilmu bantu yang merentas bidang seperti teori sastera, budaya, sains, psikologi, falsafah, sosiologi dan sebagainya, kerana penulisan merupakan gambaran kehidupan, sama ada yang berlaku di alam realiti ataupun imaginasi semata-mata. Saudara juga disarankan agar memasuki mana-mana kursus atau bengkel penulisan yang banyak diadakan oleh badan-badan penerbit, akademi penulisn atau orang perseorangan yang boleh menjadi mentor saudara. Pada masa ini juga banyak buku panduan menulis boleh didapati di pasaran, yang dapat memberi banyak panduan untuk saudara menulis. Mungkin saudara boleh mulakan dahulu dengan menulis cerpen untuk memantapkan penulisan saudara. Dan akhir sekali, untuk menjadi penulis fiksyen yang baik, mahu tidak mahu ia bergantung juga kepada bakat semula jadi seseorang itu. Jika seseorang itu dianugerahi Allah bakat seni (kreatif) tanpa banyak belajar pun, dia akan menjadi penulis yang baik. Semoga saudara menjadi seorang penulis yang berjaya pada suatu hari nanti. | Lain-lain | 27.10.2010 |