Aplikasi mudah alih mempunyai pengguna yang tertinggi. Walau bagaimanapun, kualiti aplikasi mudah alih adalah masalah yang diketahui. Oleh itu, ujian yang lebih baik telah dijalankan iaitu penyelidikan analisis mutasi untuk aplikasi mudah alih bagi mendapatkan kualiti yang lebih baik. Pertama, mengenal pasti teknik mutasi untuk aplikasi mudah alih. Kedua, mengenal pasti pengendali mutasi untuk aplikasi mudah alih yang akan membuat aplikasi mudah alih mempunyai kualiti yang baik. Akhirnya, pengendali mutasi sesuai akan dilaksanakan dengan kes ujian aplikasi mudah alih. Ini adalah bermasalah kerana kekurangan pendekatan analisis mutasi untuk aplikasi mudah alih. Dengan sebab itu, kajian ini mencadangkan pengusaha mutasi sesuai untuk aplikasi mudah alih. | 1. Apakah yang dimaksudkan dengan aplikasi mudah alih? Adakah maksud yang ingin disampaikan ialah Telefon mudah alih? 2. Walau bagaimanapun, terdapat masalah dalam aplikasi ini (atau terdapat masalah dalam telefon mudah alih ini). 3. Apakah maksud mutasi dalam ayat ini? Mutasi dalam bahasa Melayu bermaksud perubahan pada bahan genetik sesuatu organisma (tumbuhan, haiwan, dan sebagainya) yang mengakibatkan perubahan ciri tertentu organisma tersebut; 2. (Lin) pengubahsuaian bunyi dalam satu kata yang dipengaruhi oleh bunyi-bunyi yang berhampiran. | Lain-lain | 17.05.2017 |
soalan 1 1. Anizah _________ dinaikkan pangkat walaupun dia sudah berkhidmat selama 12 tahun A. belum pernah B. masih belum kenapa memilih jawapan tersebut soalan 2 Pilih jawapan yang betul A. Aziah tidak perempuan yang mementingkan harta B. Lawatan ke Sarawak itu tidak cadangannya. C.Ainah bukan mudah terpedaya akan pujuk rayu jurujual itu. D.Roti itu tidak buatan syarikat tempatan mana satu jawapanya?kenapa memilih jawapan tersebut | 1. Dari segi tatabahasa bahasa Melayu, kedua-dua jawapan yang diberikan, iaitu "belum pernah" dan "masih belum" adalah betul dan boleh digunakan. 2. Semua jawapan yang diberikan adalah salah kerana penggunaan perkataan "bukan" dan "tidak" adalah tidak betul. Soalan A, B dan D sepatutnya menggunakan perkataan "bukan", dan soalan C sepatutnya menggunakan "tidak". | Tatabahasa | 19.04.2012 |
Mohon pandangan berkenaan penggunaan ayat berikut dalam iklan suratkhabar: 1. Susah sangatke nak pilih... Di IOC mudah. 2. Susah sangatkah hendak memilih? Di IOC mudah. 3. Susah sangatkah membuat pilihan? Di IOC mudah... | Cadangan kami ialah "Sukar membuat pilihan? Semuanya mudah di OIC". | Tatabahasa | 16.01.2017 |
1. Cara mudah untuk membolehkan murid membezakan penggunaan imbuhan me....i dan me....kan. 2. Senarai Kata Hubung yang lengkap. | Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Contoh ayat: Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad. Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan. Untuk makluman lanjut berkaitan apitan (me-...kan, me...i, memper...kan) dan awalan (memper...) sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 190 - 197 untuk mengetahui setiap peraturan yang tersebut. Terima kasih. | Tatabahasa | 01.02.2011 |
Soalan 1: Yang manakah betul? "Dengan 3 langkah mudah" "Dalam 3 langkah mudah" Dengan atau Dalam, manakah yang lebih tepat? Soalan 2: Untuk aturan adjektif dalam BM, adakah terdapat susunan yang perlu diikut? contohnya adjektif berkaitan rupa, saiz, warna, pendapat, dan seterusnya? tolong berikan penerangan ringkas. | 1. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud "dengan" ialah "kata yg digunakan untuk menunjukkan cara sesuatu itu dilakukan" manakala "dalam" pula bermaksud yg "berkaitan dengan atau terbatas pada lingkungan sesuatu". Maka ayat yang lebih sesuai ialah "dengan tiga langkah mudah". 2. Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Kata adjektif dibahagikan kepada sembilan jenis, iaitu: i. Kata adjektif sifatan atau keadaan : baik, curiga, cerdik, lemah ii. Kata adjektif warna : merah, putih, ungu, kelabu iii. Kata adjektif ukuran : panjang, kecil, besar, tebal iv. Kata adjektif bentuk : bulat, leper, lurus, kempis v. Kata adjektif waktu : awal, cepat, segera, lampau vi. Kata adjektif jarak : jauh, dekat, hampir, rapat vii. Kata adjektif cara : laju, gopoh, jelas, perlahan viii. Kata adjektif perasaan : rindu,benci, suka, marah ix. Kata adjektif pancaindera : sedap, manis, payau, masin, kelat Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP,2014), halaman 225.
| Tatabahasa | 19.03.2024 |
Salam sejahtera, Mohon beri penjelasan mengenai perkataan 'vulnerabiliti'. Adakah perkataan ini diambil daripada perkataan 'vulnerabilty'? adakah perkataan ini boleh digunakan bagi tujuan rasmi. Sekian, Mariammal Subramaniam | Tidak ada perkataan ‘vulnerabiliti’ dalam bahasa Melayu. Mengikut Kamus Inggeris Melayu Dewan, perkataan <i style="mso-bidi-font-style: normal;">vulnerability i>mempunyai tiga maksud, iaitu 1. mudah terdedah; 2. mudah dikecam; dan 3. mudah diserang. Dalam bidang teknologi maklumat, perubatan, dan kejuruteraan istilah <i style="mso-bidi-font-style: normal;">vulnerability i>diberikan padanan kerentanan. | Istilah | 15.12.2014 |
1. APAKAH DIA AYAT MUDAH? 2. APAKAH DIA KATA NAMA AM TAK HIDUP INSTITUSI? | Ayat mudah yang lengkap ialah ayat yang mempunyai subjek dan predikat. Kata nama am tak hidup merujuk badan atau institusi yang bersifat tidak hidup tetapi mendukung makna am. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 99-100. | Tatabahasa | 08.01.2015 |
1) Apakah perkataan yang sesuai untuk menggantikan istilah 'gadget'? 2) Apakah yang dimaksudkan dengan istilah 'peranti mudah alih'? 3) Adakah 'peranti mudah alih' , 'peranti elektronik' dan 'peranti digital' mempunyai maksud yang berbeza? Sekiranya berbeza, mohon bantuan untuk dijelaskan setiap maksud perkataan ini. Terima kasih. | 1. Padanan bagi gadget ialah alat atau alatan. 2. Peranti mudah alih ialah padanan bagi istilah mobile device. 3. Peranti mudah alih ialah peranti pengkomputeran dalam telefon pintar, komputer dan sebagainya. Peranti elektronik ialah komponen yang mengawal arus elektrik. Peranti digital ialah peranti yang mengandungi sistem digital seperti telefon pintar. Untuk mengenal pasti persamaan atau perbezaan ketiga-tiga peralatan ini, perlu merujuk pihak yang pakar, kamus hanya dapat memberi makna perkataan tanpa perincian yang jelas. | Istilah | 06.11.2019 |
Cikgu, dalam ayat di sebelah, kata sendi nama manakah tersesuai digunakan? 1. Orang itu tidak mudah berpuas hati kepada / terhadap / akan / tentang keputusan peperiksaannya. | Ayat yang sesuai ialah "Orang itu tidak mudah berpuas hati terhadap keputusan peperiksaannya." | Tatabahasa | 22.02.2015 |
1. Melalui kem motivasi, murid akan didedahkan dengan tip untuk belajar dengan lebih mudah oleh pakar motivasi yang terlatih Atau 2. Melalui kem motivasi, murid akan didedahkan tip untuk belajar dengan lebih mudah oleh pakar motivasi yang terlatih. Ayat 1 atau ayat 2 yang betul. | Ayat yang betul ialah “Melalui kem motivasi, murid akan didedahkan kepada tip untuk belajar dengan lebih mudah oleh pakar motivasi yang terlatih”. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 495. | Tatabahasa | 05.03.2024 |