BAGAIMANA CARA MUDAH MENERANGKAN KEPADA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH PERBEZAAN PENGGUNAAN IMBUHAN ME...I DAN ME...KAN SEBAGAI KATA KERJA DI DALAM AYAT. | Penerangan hendaklah dilakukan dengan terperinci kepada pelajar dan setiap penerangan disertai dengan latihan bagi mengukuhkan pemahaman mereka. Sebagai guru semestinya saudara lebih memahami akan permasalahan.Saudara boleh menggunakan Kamus Dewan sebagai rujukan dan menerangkan kepada pelajar makna setiap perkataan apabila mengalami proses pengimbuhan. Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Harap maklum. | Tatabahasa | 08.05.2013 |
1. Cara mudah untuk membolehkan murid membezakan penggunaan imbuhan me....i dan me....kan. 2. Senarai Kata Hubung yang lengkap. | Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Contoh ayat: Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad. Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan. Untuk makluman lanjut berkaitan apitan (me-...kan, me...i, memper...kan) dan awalan (memper...) sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 190 - 197 untuk mengetahui setiap peraturan yang tersebut. Terima kasih. | Tatabahasa | 01.02.2011 |
boleh saya dapatkan formula/ cara mudah untuk belajar semua tatabahasa BM? cth Kata kerja, Kata nama dll | Puan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan untuk mengenali semua kelas kata yang ada dalam tatabahasa bahasa Melayu serta komponen lain dalam tatabahasa seperti binaan kata, binaan ayat dan penanda wacana. | Tatabahasa | 12.05.2011 |
Apakah bezanya antara maksud perkataan 'BARU' dengan 'BAHARU" . Berikan cara mudah untuk memahaminya. | Menurut Kamus Dewan, baharu atau baru bermaksud membaharui, memperbaharui, membaiki semula (melakukan sesuatu, mengubah, dll). Bagi menjawab pertanyaan saudara, "baru" kebiasaannya merujuk kepada masa, bagi membantu, dalam bahasa Inggeris, kata "just" digunakan untuk mempamerkan penggunaan kata ini. Contoh ayatnya, Dia baru tiba dari Kuala Lumpur. Kata "baharu" pula merujuk kepada sesuatu yang baru. Terjemahan dalam bahasa inggerisnya, "new" , termasuk digunakan untuk barang-barang. Contoh , Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. | Makna | 02.07.2009 |
Assalamualaikum dan selamat sejahtera Tuan/ Puan, di sini saya ingin bertanyakan tentang cara mudah untuk mengenal pasti kata majmuk. Hal ini dikatakan demikian kerana, saya mempunyai pemahaman yang kurang jelas untuk mengenal pasti sesuatu perkataan tersebut merupakan kata majmuk atau sebaliknya. Jasa budi pihak tuan amat saya hargai, terima kasih. | Proses pembentukan kata majmuk ialah proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima penyisipan unsur lain. Misalnya kata kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan dengan unsur lain, misalnya "yang". Sebaliknya pinggang mangkuk bukan kata majmuk kerana boleh disisipkan dengan kata hubung "dan" - pinggang dan mangkuk. Perkataan kasih sayang juga bukan kata majmuk kerana boleh disisipkan perkataan lain contohnya, kasih dan sayang. Kasih dan sayang ialah kata adjektif perasaan (rujuk halaman 91). Untuk makluman tuan terdapat juga bentuk kekecualian beberapa kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap dieja bercantum walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar contohnya, jawatankuasa. Untuk maklumat lanjut tuan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (halaman 72-75). Carian jawapan juga boleh dibuat dengan mengklik pautan Carian Kata. Taip perkataan dan klik butang Cari dan Khidmat Nasihat untuk melihat arkib soalan. | Tatabahasa | 09.08.2022 |
Bolehkan penggunaan kata ganti nama diri beliau untuk kanak-kanak. Contohnya tokoh kanak-kanak. Cara mudah untuk membezakan penggunaan imbuhan meN----i dan meN ....kan | Beliau ialah kata ganti nama diri ketiga untuk orang yang lebih tua atau yang dihormati (kerana pangkat atau gelaran). Apitan meN...i diikuti objek yang bernyawa, contohnya; Ayah mengirimi Ali surat, manakala apitan meN...kan diikuti objek yang tidak bernyawa, contohnya; Ayah mengirimkan surat kepada Ali. | Tatabahasa | 08.06.2010 |
Sejak kebelakangan ini saya sering menemui perkataan 'memudahcarakan' dalam beberapa artikel, contohnya dalam tajuk berita di Bernama - 'Malaysia memudahcarakan dasar industri broker saham untuk pacu inovasi'. Malah perkataan tersebut juga diguna pakai oleh beberapa GLC dan badan kerajaan dalam penulisan mereka. Soalan saya, adakah perkataan 'memudahcarakan' ini diterima pakai kerana saya tidak menemuinya dalam daftar kata DBP. Atau,adakah perkataan ini pernah dicadangkan penggunaannya? Jika ya, apakah definisinya? Jika tidak, wajarkah perkataan ini diguna pakai? | Untuk makluman tuan, perkataan tersebut tiada dalam daftar kata DBP. Terdapat perkataan pemudah cara dalam bahasa Melayu yang bermaksud orang (pihak) yang memudahkan sesuatu tindakan atau proses. Walau bagaimanapun, kata dasar mudah cara tiada dalam data yang mewajarkan pembentukan perkataan melalui imbuhan apitan. Oleh yang demikian, kami mencadangkan agar menggunakan perkataan yang lain seperti memudahkan cara, cara yang mudah jika bersesuaian dengan maksud yang hendak disampaikan. | Tatabahasa | 19.10.2020 |
apakah cara yang paling mudah utk membezakan pepatah, bidalan dan perbilangan? berikan contoh yg sesuai. tq | Cara yang paling mudah untuk mencari beza setiap kata ialah mengetahu makna kata tersebut. Pepatah bermaksud peribahasa yang berisi nasihat dan lain-lain; kata-kata orang tua-tua yang terdapat ajaran di dalamnya, pepatah sama seperti bidalan dan perbilangan. | Tatabahasa | 20.10.2010 |
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang cara paling mudah untuk membezakan penggunaan perkataan memberi dengan perkataan memberikan. sering kali berlaku kekeliruan untuk membezakan penggunaan kata tersebut dalam penulisan ayat. berikan tips yang mudah untuk menerangkannya kepada murid. | Saudara, Bagi kata kerja tertentu, perbezaan penggunaan apitanmeN...kan dan men...i adalah dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan men...kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa dan apitan meN...i menerima objek yang bernyawa. Contoh ayat: i. Ali memberi kucing makanan. ii. Ali memberikan makanan kepada kucing. | Tatabahasa | 02.08.2010 |
Salam dan terima kasih kerana membantu. Adakah ayat-ayat berikut gramatis? "Sentiasa mencuba dan tetap menggunakan cara yang mudah adalah penting, terutamanya pada mulanya. Akan terdapatnya banyak bahagian yang bergerak, tarikh akhir yang sukar untuk ditepati dan matlamat yang hebat. Semakin ringkas struktur kempen anda, semakin efisien dan berkesan struktur itu akan menjadi." | Ayat yang betul: 1. Sentiasa mencuba dan tetap menggunakan cara yang mudah merupakan perkara penting, terutamanya pada peringkat permulaan. 2. Semakin ringkas kempen, semakin efisien dan berkesan. 3. Akan terdapatnya banyak bahagian yang bergerak, tarikh akhir yang sukar untuk ditepati dan matlamat yang hebat - Ayat ini tidak dapat difahami, sila berikan padanan jika diterjemahkan daripada bahasa Inggeris untuk kami lihat kesesuaian konsepnya sebelum memberikan jawapan yang tepat. | Lain-lain | 04.09.2019 |