| Tuan, sila tengok yang saya garrisbawahi. (i) Keterangan musabab KETERANGAN MUSABAB ialah unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. KATA HUBUNG KETERANGAN MUSABAB adalah seperti kerana, lantaran, SEBAB, dan oleh sebab. Tuan, saya sudah banyak kali membaca tetapi sudah jelas dan nyata bahawa SEBAB yang tercatat di kategori KATA HUBUNG KETERANGAN MUSABAB. Dipetik daripada Tatabahasa Dewan Ketiga.pg 515, 18.3.3.1. | Sila baca dengan teliti Tatabahasa Dewan Ketiga halaman 515 18.3.1 Jenis Ayat Keterangan (i) Keterangan Musabab. Kata hubung keterangan musabab adalah seperti kerana, lantaran, dan oleh sebab. | Tatabahasa | 27.08.2014 |
| bolehkah perkataan 'sebab musabab' ditambah 'dan' di tengah seperti 'sebab dan musabab'? | Perkataan sebab musabab tidak boleh diletakkan "dan" di tengah-tengah kerana kedua-dua perkataan itu sama maknanya. Ia hanya boleh ditulis "sebab-musabab" yang bermakna berbagai-bagai sebab, atau "sebab musabab" yang bermakna yang menjadikan sebab atau yang menyebabkan. | Istilah | 06.05.2014 |
| Apakah perbezaan di antara oleh yang demikian dan oleh itu? | Kedua-dua frasa tersebut merupakan penanda wacana penghubung musabab. Penghubung musabab ini digunakan untuk sebab berlakunya sesuatu. Tiada perbezaan penggunaan frasa tersebut dalam ayat yang menunjukkan sebab berlakunya sesuatu. Kedua-duanya boleh digunakan.
| Tatabahasa | 16.08.2012 |
| salam, sebab-musabab betul atau tak penggunaanya. dan mesti ada tanda sempangkah? | Berdasarkan Kamus Dewan Keempat, perkataan dan ejaan yang betul ialah sebab musabab. | Ejaan | 21.07.2023 |
| "Dengan ini" boleh hadir di pangkal ayat yang berfungsi sebagai penanda wacana? Sebab saya selalu nampak ada ayat-ayat yang dimulakan dengan "Dengan ini". Mohon pencerahan | “Dengan ini” boleh hadir pada pangkal ayat yang berfungsi sebagai penanda wacana penghubung musabab. Penghubung musabab ialah penanda wacana yang merupakan sebab berlakunya sesuatu. Contohnya, “Semua pihak perlu berganding bahu mengembangkan bahasa Melayu. Dengan ini, bahasa Melayu akan terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan”. Penanda wacana penghubung musabab juga boleh hadir pada pertengahan ayat. Contohnya, “Kerana terlalu susah hidupnya, maka itu terpaksa dia berpindah ke tempat lain.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2008) halaman 527. | Tatabahasa | 18.10.2024 |
| apa beza etiologi dan punca penyakit | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, etiologi membawa maksud kajian tentang punca (sebab) timbulnya penyakit. Etiologi juga mempunyai makna, kajian atau falsafah tentang sebab-musabab. Oleh itu, etiologi lebih cenderung kepada kajian-kajian yang dilakukan untuk mengetahui sesuatu punca atau sebab musabab berlakunya sesuatu misalnya punca berlakunya penyakit. Manakala punca didefinasikan sebagai pangkal, perdu (asal mulanya, kerana, lantaran, sebab), pokok, tajuk. Ayat mudah punca lebih kepada sebab berlakunya sesuatu perkara misalnya dalam pertanyaan di atas punca kepada berlakunya penyakit. Berbeza dengan etiologi, etiologi merupakan kajian yang dilakukan untuk mengetahui punca kepada berlakunya penyakit. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk maklumat lanjut. | Istilah | 25.07.2012 |
| Tetapi tuan, sila rujuk kembali tatabahasa dewan pg 515, (I)keterangan musabab ,18.3.3.1., contoh ayat ke 115, ayat tersebut telah menggunakan 'sebab' sebagai kata hubung. Bolehkah tuan memberikan penjelasan kepada saya . Sekian. | Sila baca dengan teliti Tatababasa Dewan, halaman 515. Ayat 115 yang dimaksudkan jelas menyatakan: Oleh sebab mereka datang lambat, mereka tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan. Ayat ini menggunakan kata hubung keterangan musabab oleh sebab, bukannya sebab. | Tatabahasa | 02.09.2014 |
| Bagaimanakah penggunaan istilah "Yang-diPertua" dan "Yang-diPertuan" yang betul serta ejaannya. Adakah penggandaan berentak "sebab-musabab" betul di dalam bahasa Melayu? | Ejaan yang betul ialah 1. Yang di-Pertuan digunakan khusus untuk ketua negara dan ketua negeri. Contohnya, Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Negeri (Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak) 2. Yang di-Pertua digunakan bagi ketua dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara dan dewan Negeri. Contohnya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 3. Yang Dipertua pula digunakan untuk ketua bagi sesebuah organisasi atau pertubuhan. Contohnya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang. Penggandaan sebab-musabab adalah betul. | Lain-lain | 29.05.2010 |
| Pembetulan pada soalan. 'Kerana' ialah kata hubung pancangan keterang musabab. Harap maklum | Dalam Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu ms 241, kerana ialah kata hubung pancangan keterangan. | Tatabahasa | 12.08.2007 |
| Tuan, hari itu yang saya tanyakan adakah 'sebab' boleh digunakan sebagai fungsi kata hubung.Tuan telah menjawab soalan saya, tetapi yang mengelirukan ialah jawaban tuan berbeza dengan. Tatabahasa Dewan. Tuan sila merujuk ke Tatabahasa Dewan 18.3.3.1 (I)keterangan musabab. pg.515.. Harapkan tuan dapat memberikan penjelasan yang tepat dan benar kepada saya untuk menyelesaikan komplikasi tersebut.Sekian. | Jawapan yang diberikan adalah tepat dan benar serta merujuk pada Tatabahasa Dewan halaman 515, iaitu berkaitan keterangan musabab. Sangat jelas dinyatakan kata hubung keterangan musabab adalah oleh sebab bukannya sebab. Perkataan sebab ialah kata nama. Kata sebab perlu ditambah dengan oleh menjadi oleh sebab untuk digunakan sebagai kata hubung. Sila baca berulang kali untuk mendapatkan kefahaman dalam perkara ini. | Tatabahasa | 20.08.2014 |