Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[na.mun] | نامون

Definisi : 1. asalkan (sahaja), kalau, sekadar: apa kehendakmu akan kuberikan, ~ jangan juga aku engkau bunuh; 2. akan (hal), berhubung dgn, berkenaan, tentang; 3. biarpun, meski­pun, sungguhpun, walaupun: ~ begitu, cerita yg berbeza-beza itu mempunyai dasar yg sama; 4. tetapi: walaupun begitu ~ ia masih perlu mengetahui sebab-musabab anak murid­­­­nya itu menangis. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[na.mun] | نامون

Definisi : 1 sungguhpun; meskipun; wa­lau­­pun: Banyak bahagian Hong Kong yg berbukit bukau, ~ demikian, lebih 3.7 juta orang tinggal di tanah jajahan yg kecil itu. 2 tetapi: Walaupun Laksamana Hang Tuah telah lama meninggalkan kita, ~ nama dan semangat kepahlawanannya tetap hidup dlm ingatan seluruh bangsa. 3 asalkan; sekadar: Apa kehendakmu ku­beri­kan, ~ jangan juga aku kaubunuh. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
namun (kata tugas)
Bersinonim dengan tetapi, sebaliknya.,

Puisi
 

Kalau begitu rupanya padi,
     Namun mengindang layu-layu;
Kalau begitu rusuhnya hati,
     Mahu menumpang biduk lalu.


Lihat selanjutnya...(17)
Peribahasa

Cekel berhabis,
     lapuk berteduh.

Bermaksud :

Biarpun kikir namun harta akan habis juga akhirnya atau hilang percuma saja. cekel = kikir, pelit.

 

Lihat selanjutnya...(22)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam, bolehkah menggunakan "namun begitu" atau " namun " sahaja?Kata namun dan namun begitu, kedua-duanya boleh digunakan dan maknanya sama sahaja, oleh itu memadai dengan penggunaan namun.Tatabahasa12.03.2012
apakah perbezaan antara namun begitu dengan namun? bolehkah kedua-duanya di letakkan di hadapan ayat? bolehkah kata malah digunakan di hadapan ayat sebagai penanda wacana? kalau kata malah diletakkan pada tengah-tengah ayat, perluke letak koma sebelum kata malah? cth: Saya tidak pernah menghinanya, malah saya memujinya.

Kata namun dan namun begitu, kedua-duanya boleh digunakan dan maknanya sama sahaja, oleh itu memadai dengan penggunaan namun. Tanda koma perlu diletak sebelum kata malah (apabila berada di pertengahan ayat).

Tatabahasa09.08.2010
bolehkah ayat dalam karangan dimulai dengan ' antara'. cth: Antara kesan - kesan pencemaran....Bolehkan ayat dimulai dengan 'namun'. Cth: Namun, banyak pihak yang tidak mengendahkan...Ayat boleh dimulai dengan perkataan antara, contohnya 'Antara tempat yang boleh dilawati di Sabah termasuklah ...'; dan kata namun boleh digunakan pada permulaan ayat sebagai menyambung wacana sebelumnya untuk menunjukkan perkaitan cerita dengan wacana seterusnya.Tatabahasa20.01.2011
kata hubung berpasangan walaupun.... namun boleh ke digunakan? atau hanya walaupun sahaja boleh digunakan dalam sesuautu ayat dan bukannya berpasangan dengan namun?

Penanda wacana "walaupun" dan "namun" boleh digunakan secara berpasangan dalam satu ayat.

Tatabahasa11.08.2010
Adakah perkataan lain yang lebih sesuai digunakan selain daripada perkataan 'NAMUN' dalam sesuatu ayat? Ada cadangan lain yang difikirkan sesuai untuk mengelakkan dari penggunaan kata itu pada setiap perenggan. Contoh ayat : Namun apabila difikir-fikirkan, ada juga kebenaran kata-katanya. Terima kasih.Selain "namun", boleh juga digunakan "biarpun", "meskipun", "tetapi","sungguhpun", "walaupun" mengikut konteks dan keseuaian ayat. Dalam ayat di atas, "namun" boleh ditukar dengan "tetapi".Tatabahasa16.08.2007
kemusykilan tentang ayat di bawah ini: Namun begitu, setelah dipujuk akhirnya, dia ------- soalannya: tanda koma lepas perkataan "akhirnya", boleh diterima atau tidak. atau diletak pada lepas perkataan "dipujuk". jadi begini: Namun begitu, setelah dipujuk, akhirnya dia ..........Penggunaan tanda baca yang betul ialah - "Namun begitu, setelah dipujuk akhirnya dia ..."Tatabahasa23.09.2009
Biarpun terdapat perbezaan pendapat di antara mereka adik-beradik, namun hubungan mereka tetap mesra. atau Biarpun terdapat perbezaan pendapat antara mereka adik-beradik, namun hubungan mereka tetap mesra. Perkataan di antara atau antara betul? Mengapakah perkataan tersebut tidak sesuai?Biarpun terdapat perbezaan pendapat antara mereka adik-beradik, namun hubungan mereka tetap mesra. Frasa sendi di antara hanya dapat digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau arah. Contoh; Tambak Johor terletak di antara Johor dengan Singapura.Tatabahasa26.03.2011
Salam, saya ingin bertanyakan satu soalan. Namun, terlebih dahulu, perkara ini sebenarnya bersangkut paut dengan Majlis Peperiksaan Malaysia. Namun, sebagai peneraju dalam bidang bahasa, mungkin pihak DBP@PRPM dapat jelaskan perkara ini. Saya merujuk kertas peperiksaan SJK UPSR 2013. Bagi soalan objektif, dinyatakan dari soalan 1-17, sedangkan soalan 18 ditanyakan penjodoh bilangan. Saya tidak mahu mengusik soalan 19-20 kerana bertanyakan sinonim & antonim. Maka, ketiadaan soalan 19-20 dalam arahan boleh diterima pakai. Namun, mengapa tidak ditulis sebagai 'soalan 1-18'? Mengapa pula hanya ditulis 'soalan 1-17'?Harap soalan saya jelas. Terima kasih.

Kami ambil maklum tentang perkara tersebut. Mungkin terdapat kesilapan daripada penyedia kertas soalan. Saya mencadangkan puan merujuk terus kepada Majlis Peperiksaan Malaysia.

Lain-lain27.05.2013
Bolehkah memulakan ayat dengan perkataan ' Namun ' ? Sekian, terima kasih.Namun boleh digunakan untuk memulakan ayat. Walau bagaimanapun, ayat tersebut perlu mempunyai unsur koheren. Tatabahasa06.05.2009
bolehkah kata 'sejak kebelakangan ini' atau 'sejak belakangan ini' digunakan dalam ayat? atau 'sejak akhir-akhir ini' ? kata hubung berpasangan 'walaupun.... namun' boleh ke digunakan? cth: Walaupun dia miskin, namun dia bercita-cita tinggi. betulke ayat tersebut? tq

Saudara,

Kebelakangan atau belakangan merupakan sejak masa-masa yg kemudian ini/ akhir-akhir ini/ kebelakangan/belakangan juga ditakrifkan sebagai kesudahannya, akhirnya atau kemudian. Contoh ayat: Pergolakan di Indonesia kebelakangan ini berjalan sangat cepat sehingga amat susah utk mengikutinya. Contoh ayat kedua: Mula-mula ia menolak, tetapi belakangan ini menerima juga tawaranku. Untuk makluman saudara, penggunaan kebelakangan dan belakangan ini sebenarnya sering bertukar ganti penggunaannya.

Namun bermaksud biarpun, meskipun, sungguhpun walaupun,tetapi. Oleh itu, ayat tersebut  betul kerana perkataan namun dalam ayat itu bermaksud tetapi.

Tatabahasa21.07.2010
12345678910...

Kembali ke atas