Salam sejahtera. Adakah penggunaan "Namun", "Namun begitu", "Sebenarnya", "Dulu" & "Sekarang" pada permulaan ayat perlu diletakkan tanda koma? Terima kasih. | Penggunaan penanda wacana pada permulaan ayat perlu diletakkan tanda koma. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 525. | Tatabahasa | 02.01.2021 |
kemusykilan tentang ayat di bawah ini: Namun begitu, setelah dipujuk akhirnya, dia ------- soalannya: tanda koma lepas perkataan "akhirnya", boleh diterima atau tidak. atau diletak pada lepas perkataan "dipujuk". jadi begini: Namun begitu, setelah dipujuk, akhirnya dia .......... | Penggunaan tanda baca yang betul ialah - "Namun begitu, setelah dipujuk akhirnya dia ..." | Tatabahasa | 23.09.2009 |
Salam, bolehkah menggunakan "namun begitu" atau " namun " sahaja? | Kata namun dan namun begitu, kedua-duanya boleh digunakan dan maknanya sama sahaja, oleh itu memadai dengan penggunaan namun. | Tatabahasa | 12.03.2012 |
Prestasi Ali sangat membanggakan ----,dia harus mengiat usaha untuk mengekalkan kecemerlangan ini,''kata guru besar. A malahan B namun begitu | Prestasi Ali sangat membanggakan, namun begitu, dia harus mengiat usaha untuk mengekalkan kecemerlangan ini,'' kata guru besar. | Tatabahasa | 07.08.2015 |
salam 1 Malaysia, soalan saya: apakah perkataan yang lebih sesuai untuk ayat berikut: "bagi" atau "dalam" contoh 1 : Namun begitu, keputusan analisis menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan kompetensi guru dalam subkonstruk Pengurusan bilik darjah bagi tiga angkubah demografi iaitu jantina, lokasi dan pengalaman mengajar. contoh 2 : Namun begitu, keputusan analisis menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan kompetensi guru dalam subkonstruk Pengurusan bilik darjah dalam tiga angkubah demografi iaitu jantina, lokasi dan pengalaman mengajar. tq | Salam, Ayat yang betul ialah "Namun begitu, keputusan analisis menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan kompetensi guru dalam subkonstruk Pengurusan bilik darjah bagi tiga angkubah demografi iaitu jantina, lokasi dan pengalaman mengajar." | Tatabahasa | 17.08.2015 |
apakah perbezaan antara namun begitu dengan namun? bolehkah kedua-duanya di letakkan di hadapan ayat? bolehkah kata malah digunakan di hadapan ayat sebagai penanda wacana? kalau kata malah diletakkan pada tengah-tengah ayat, perluke letak koma sebelum kata malah? cth: Saya tidak pernah menghinanya, malah saya memujinya. | Kata namun dan namun begitu, kedua-duanya boleh digunakan dan maknanya sama sahaja, oleh itu memadai dengan penggunaan namun. Tanda koma perlu diletak sebelum kata malah (apabila berada di pertengahan ayat). | Tatabahasa | 09.08.2010 |
Saya ingin mendapatkan nasihat untuk penggunaan "tetapi" di awal ayat. Saya faham penggunaan kata hubung tidak dibenarkan di awal ayat. Bagaimana boleh saya menunjukkan percanggahan dengan ayat sebelumnya? Tolong sahkan jika penggunaan di bawah adalah gramatis. 1. Namun/Namun begitu, dia tidak bercakap benar. 2. Akan tetapi, dia tidak bercakap benar. 3. Walau bagaimanapun, dia tidak bercakap benar. 4. Mengapa "tetapi" tidak boleh digunakan di pangkal ayat, tetapi "Namun" boleh? Bukankah kedua-duanya kata hubung? | Perkataan tetapi dan namun boleh berfungsi sebagai penanda wacana selain kata hubung gabungan. Penggunaan lebih gramatis apabila ditambah perkataan akan, begitu atau demikian yang akan menjadi akan tetapi, namun begitu atau namun demikian. | Tatabahasa | 27.06.2021 |
Salam, bolehkah kita mulakan ayat dengan kata pemeri, seperti "Adalah dianggarkan ..." atau seperti, "Namun begitu, adalah tidak tepat ...?" Terima kasih | Kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh demikian, penggunaan kata pemeri "adalah" dalam ayat "Adalah dianggarkan ..." tidak betul. Pada umumnya, kata pemeri tidak boleh hadir bersama-sama kata nafi kecuali dalam binaan adalah + kata nafi + frasa adjektif. Oleh itu, ayat "Namun begitu, adalah tidak tepat ... " boleh digunakan. | Lain-lain | 14.03.2022 |
Salam...terima kasih diatas bantuan yang diberikan. Namun begitu saya masih lagi keliru dengan terma 'food deserts'. Bersama-sama -sama ini saya sertakan ayat berkaitan ' People who live in food deserts often have no option but to rely on smaller stores where prices are higher and the quality and variety of fresh food is more limited' Apakah terma yang sesuai digunakan bagi menjelaskan food deserts bagi ayat di atas. Terima kasih | Untuk makluman istilah food desert tidak ada dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, terdapat perkataan cultural desert yang padanan bahasa Melayunya ialah ketandusan budaya. Oleh itu, cadangan padanan bahasa Melayu untuk food desert ialah ketandusan makanan. Dalam konteks ayat yang diberikan, padanan yang dicadangkan ialah kawasan ketandusan makanan. | Istilah | 20.05.2011 |
Saya membuka satu gudang/kedai di rumah kedai, namun begitu tidak pasti apa nama yang sesuai untuk digunakan. kami hanya mengumpul dan membungkus semula makanan seperti sayur, buah, ikan dan ayam yang akan kami jual melalui Truck. jadi apakah kategori gudang/kedai saya ini? dan kategori apa yang sesuai sekiranya ingin memohon perlesenan Majlis Perbandaran Tempatan. | Sekiranya bersesuaian dengan konteks perniagaan puan, kami mencadangkan keterangan aktiviti perniagaan puan sebagai PUSAT PEMBUNGKUSAN MAKANAN. Jenis/kategori iklan ialah Papan Premis Kedai/Pejabat/Syarikat. | Lain-lain | 18.03.2021 |