Saya sedang menulis buku berkaitan natural farming. Apakah terjemahan yang paling cocok untuk natural farming? Adakah Pertanian Alami sebagaimana saudara kita, Indonesia terjemahkan? | Dalam data rujukan kami, belum terdapat padanan khusus bagi istilah “natural farming”. Walau bagaimanapun, terdapat istilah dalam bidang pertanian iaitu “natural planting” yang dipadankan sebagai tanam semula jadi dan “commercial farming” yang dipadankan sebagai pertanian dagangan. Oleh itu, cadangan kami bagi istilah “natural farming” ialah pertanian semula jadi. | Istilah | 09.10.2019 |
Apakah terjemahan terbaik untuk istilah natural farming? Hal ini kerana istilah pertanian organik tidak berapa tepat. Adakah sesuai diterjemahkan sebagai pertanian alami? | Istilah natural farming masih belum ada dalam pangkalan data kami, cadangan daripada pihak kami, terjemahan natural farming ialah perladangan, pertanian atau penternakan semula jadi mengikut kesesuaian konteks ayat yang ingin digunakan. | Makna | 13.05.2019 |
Assalamu'alaikum. Apakah terjemahan yang tepat untuk "natural right"? Terima kasih. | Untuk makluman, padanan istilah bahasa Melayu untuk natural rights ialah hak semula jadi (bidang Sains Politik). | Istilah | 19.05.2011 |
Mohon untuk dapatkan istilah dalam Bahasa Melayu untuk istilah berikut: calcined natural bone ash adakah: 1. abu tulang bakar asli atau 2. abu tulang asli bakar Ayat penuh: Bone china ertinya apa-apa chinaware atau porselin yang mengandungi 25 peratus atau lebih calcined natural bone ash atau trikalsium fosfat dan penyerapan air tidak lebih daripada 0.4 peratus Segala bantuan amat dihargai. Terima kasih. | Cadangan kami untuk terjemahan calcined natural bone ash ialah abu tulang bakar asli. | Tatabahasa | 04.05.2012 |
Assalamualaikum.. Saya sedang menulis tesis phD Multimedia berkenaan antara muka = user interface dan saya pohon tuan mncadangkan istilah bahasa melayu DBP untuk NATURAL USER INTERFACE yang digunakan dalam teknologi multimedia memandangkan istilah ini tiada dalam carian kata web ini | Kami mencadangkan natural user interface diterjemahkan kepada antara muka pengguna lazim, walau bagaimanpun jika cadangan kami ini kurang tepat mohon kerjasama tuan mengemukakan konteks penggunaan perkataan tersebut. | Penyemakan dan penterjemahan | 04.08.2014 |
Apa terjemahan terbaik bagi perkataan yang berikut : a) “natural”, bolehkah guna perkataan “semulajadi”? Contoh : melegakan gejala menopaus secara semulajadi b) “hormone free treatment for menopausal ”? Bolehkah menterjemahkan kepada “Bebas hormone rawatan untuk menopaus?” c) “Mood Swing”, bolehkah guna perkataan “Emosional” atau “Perubahan emosi”? d) “Hot flushes and night sweats”, bolehkah guna perkataan “Rasa panas dan berpeluh malam”? e) “Urinary frequency or involuntary loss of urine”, bolehkah menterjemahkan kepada “ kekerapan kencing atau kekurangan air kencing secara tidak terkawal?” | a) Perkataan semula jadi boleh digunakan untuk “natural”. Oleh itu ayat "melegakan gejala menopaus secara semula jadi" adalah betul . b) hormone free treatment for menopausal - rawatan bebas hormon untuk menopaus c) mood swing - perubahan emosi/berubah angin/berubah suasana d) hot flushes and night sweats - hangat memerah dan peluh malam e) urinary frequency or involuntary loss of urine - kekerapan kencing atau pengeluaran air kencing secara tidak terkawal | Penyemakan dan penterjemahan | 17.02.2016 |
Selamat Sejahtera! Made of natural origin ingredients. Cadangan terjemahan 1:Dirumus dengan bahan-bahan yang diperoleh daripada sumber semulajadi. Cadangan terjemahan 2: Dirumus dengan bahan-bahan daripada sumber semulajadi Cadang terjemahan 3: Dirumus dengan bahan-bahan berasaskan sumber semulajadi Antara ketiga-tiga cadangan, mana satu adalah terjemahan yang betul? | Pada pandangan kami, “Dirumus dengan bahan berasaskan sumber semula jadi dianggap sebagai terjemahan yang sesuai. Tidak perlu kata ganda untuk perkataan “bahan” kerana maksud “dirumus” sudah merangkumi maksud menggunakan lebih daripada satu bahan. Semula jadi terangkum dalam kategori kata majmuk yang perlu dieja terpisah. | Penyemakan dan penterjemahan | 19.03.2019 |
Formulated with a blend of natural derived ingredients. BM Translation: Dirumus dengan bahan-bahan yang diperolehi daripada sumber semulajadi. apply and gently lather BM Translation: sapukan dan mengusap secara lembut Terima kasih. | Tuan, Ayat 1: Bahan yang dirumus dan diperoleh daripada sumber semula jadi. Ayat 2: Gunakan dan sapukan secara lembut. Sekian, terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 22.06.2017 |
Terjemahan yang biasa dipakai bagi perkataan bahasa Inggeris 'natural' adalah 'semula jadi'. Contoh,' alam semulajadi'. Pada pandangan saya, ini bertentangan dengan shariat Islam kerana tiada sesuatu pun di muka bumi ini yang terjadi dengan sendirinya atau secara semulajadi. Semuanya dijadikan atau dicipta oleh Allah SWT. Mohon pihak DBP memberi perhatian terhadap perkara di atas. | Kami ambil maklum pandangan tuan. Sedikit maklumat yang dapat diberikan ialah Kamus Dewan menakrifkan semula jadi sebagai bukan buatan manusia. Kami berpandangan takrifan ini jika tidak persis serratus peratus tetapi hampir kepada maksud semula jadi mengikut konteks tertentu. | Makna | 16.09.2018 |
Ingin menukar bahasa dari Inggeris kepada Bahasa Melayu. Compressed Natural Gas Mother Station 1. Stesen Induk Gas Asli Termampat 2. Stesen Utama Gas Asli Termampat 3. Stesen Induk Gas Asli Mampat 4. Stesen Utama Gas Asli Mampat Yang mana satu pilihan yang paling hampir maknanya? Kerjasama pihak tuan amatlah saya hargai. Terima kasih, Ikhwan | Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan ialah Stesen Induk Gas Asli Termampat. | Istilah | 18.05.2016 |