apakah maksud senuk/senok? atau mungkin ada ejaan yang hampir sama dengan perkataan itu? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, tidak terakam kata senuk atau senok. Walau bagaimanapun, kata senuk terakam dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara bermaksud tapir, tenuk. | Lain-lain | 09.07.2010 |
Apakah asas yang terbaik untuk menjadi seorang Penyunting? Di Brunei Darussalam, rasanya belum ada manual penyuntingan yang kukuh. Cuma yang ada hanyalah rujukan ke Kamus Dewan Edisi III & IV, Kamus Bahasa Nusantara, Gaya Dewan. Di DBP BD misalnya,ada tiga buah cawangan di bawah Unit Penyuntingan. 1. Buku Cerita Bergambar - untuk Kanak-kanak 2. Buku Ilmiah dan Umum 3. Buku Sastera Senior saya ada mengatakan untuk menjadi Penyunting kena kreatif dan MESTI berpandukan pada asas seperti di atas. Saya, berpandukan Gaya Dewan,Sintaksis, Morfologi dan Tatabahasa Dewan. Apakah ada kekurangan dari gaya penyuntingan saya. Mohon bantuan | Secara umum, perkara asas untuk menjadi seorang penyunting ialah penguasaan dan pengetahuan dalam bahasa, bidang dan peringkat bahan yang hendak disunting. Penyunting yang bagus dan kreatif terbina melalui pengalaman dan sifat semula jadi, yang antaranya termasuklah minat terhadap kerja penyuntingan, suka membaca, bersifat ingin tahu, analitis dan kritis, serta berdisiplin. Bahan rujukan ialah alat untuk membantu dalam penyuntingan untuk menghasilkan suntingan yang baik. Gaya penyuntingan pula bergantung pada gaya yang telah ditetapkan oleh penerbit; contohnya di DBP, gaya penyuntingan berpandukan buku 'Gaya Dewan'. | Lain-lain | 17.07.2007 |
Nirmala Agung Jan 19th, 11:32pm Salam, saya seorang graduan yang bukan dari bidang bahasa. saya sedang berjinak-jinak untuk menjadi penulis, tujuan saya mengirim pesanan ini adalah untuk menyuarakan kerisauan tentang kandungan kamus dewan. saya berharap kata serapan arab dan inggeris. saya cuma risau nanti bahasa melayu di nusantara ini akan jadi bahasa inggeris pada akademik, sosial dan ekonomi (Malang tidak dapat dielak perkataan Sosial,ekonomi dan akademik adalah serapan dari barat) dan arab pada agama. anak muda-mudi kini semakin hanyut dan hanya tidak sampai sesuku per 100 dari perkataan melayu dari kamus dewan digunapakai. Saya berharap sangat pakar bahasa kembali waras dan sedar tanggungjawab mereka untuk anak cucu melayu di tahun-tahun yang jauh ke dihadapan.. sedangkan penulisan ini pun sudah rosak dengan kata serapan. Sekian,.. Nirmala agung | Antara konsep pembentukan istilah ialah mengambil istilah yang ada dalam pelbagai dialek dan kemudiannya barulah bahasa asing. Cara mengejanya adalah mengikut kaedah ilmiah pembentukan istilah. Bahasa Melayu sebagai bahasa yang dinamik tidak terkecuali dalam hal ini dan menerima unsur/pengaruh daripada bahasa luar termasuk bahasa Inggeris atau bahasa yang lain juga mengikut konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun proses ini tidaklah dilakukan dengan sewenang-wenangnya, melainkan telah mematuhi syarat pembentukan istilah yang sedia ada. | Lain-lain | 19.01.2015 |
Untuk perkataan praktikum (istilah dalam pendidikan), apakah maknanya? | Untuk makluman, huraian untuk perkataan "praktikum" tidak terdapat dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam, huraian untuk "praktikum" ialah bahagian daripada pengajaran yang bertujuan agar siswa mendapat kesempatan untuk menguji dan melaksanakan dalam keadaan nyata apa-apa yang diperoleh dalam teori. | Istilah | 03.05.2013 |
Apakah langkah yang diambil DBP untuk merakam kata-kata baharu seperti 'pengantunan' dan 'amang seksual' atau 'nirbingkai'/'nirwayar' dalam PRPM? Kamus Besar Bahasa Indonesia versi Daring dibawah kendalian Kemendikbud dimutakhirkan dua kali setahun (April dan Oktober). Apakah DBP juga bercadang berbuat demikian? Kamus cetak seperti Kamus Dewan tidak lagi mampu menjadi rujukan terkemas kini akibat perkembangan bahasa yang begitu pesat. Saya rayu DBP untuk memperhebat PRPM sebagai sumber terkemas kini berkait kosakata bahasa Melayu Nusantara. | Kami mengambil maklum cadangan tuan berkaitan frasa ’pengantunan kanak-kanak’, ‘amang seksual’ dan ‘nirbingkai’/nirwayar’. Cadangan tuan akan dikemukakan kepada pihak yang berkenaan. Kami amat menghargai keprihatinan dan cadangan yang diberikan dalam usaha bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan. | Istilah | 15.03.2019 |
Mohon untuk mendapat kepastian, adakah benar perkataan 'mlayu' bukannya kaum melayu, mempunyai definisi lari/ mengembara sepertimana mengikut terjemahan google? Mungkin perkataan ini boleh disalah erti kerana mempunyai persamaan dengan 'melayu' untuk digunakan dalam penulisan, tetapi bolehkah digunakan dalam percakapan harian? Terima kasih. | Untuk makluman, Kamus Dewan Edisi Ke-4 memberi definisi Melayu sebagai: 1. Nama asal bangsa yang mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia Tenggara serta bahasanya. 2. Nama suku bangsa, terutama sekali di Semenanjung Tanah Melayu. Sehubungan dengan itu, pihak kami hanya merujuk definisi tersebut untuk tujuan rasmi, termasuk dalam penulisan. Berkenaan maksud yang terdapat dalam google dan juga percakapan harian, itu di luar kawalan pihak kami. | Makna | 19.12.2015 |
Edy Raden. Isu ejaan betul dan ejaan salah. Istirahat tu idea siapa? Dh elok istirehat bukan? Se-Malaysia.. x perlulah bersempang bagai.. dan byk ejaan yg dipaparkn td menunjukkn pengubahnya mempunyai idea dan pendirian yg tidak tetap dan berfantasi yg mengarut.. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan istirahat berasal daripada kata Arab yang bermaksud rehat. Ia bukan terbit daripada kata dasar rehat dan tidak ada istilah istirehat dalam bahasa Melayu. Ejaan yang betul ialah se-Malaysia. Tanda sempang (-) perlu digunakan apabila awalan se- diimbuhkan pada kata nama khas yang bermula dengan huruf besar. Contoh lain: se-Nusantara dan se-Tanah Melayu. Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu telah diselaraskan dan diisytiharkan penggunaannya sejak tahun 1975. Oleh yang demikian ejaan perkataan bahasa Melayu sudah mantap dan selaras penggunaannya seperti yang tersenarai di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. | Ejaan | 27.02.2015 |
Ejaan untuk sangkakala, kadangkala, purbakala, manakala, senjakala, dahulukala, tatkala, apakala, berkala, sekala dan berkala-kala, semuanya dieja rapat. Mengapa untuk kata barang kala dieja dengan berjarak? Ini merujuk kepada 'carian PRPM@DBP Malaysia. Mohon penjelasan. | Tuan/puan yang dihormati, Berikut ialah penjelasan pengejaan frasa barang kala: Setelah dibuat penelitian dan penyemakan, tiada penjelasan khusus yang dapat diberikan berhubung pengejaan barang kala yg dieja sebagai dua perkataan dan tidak dieja sebagai satu kata seperti sangkakala, kadangkala, purbakala, manakala, senjakala, dahulukala, tatkala, apakala, berkala, sekala dan berkala-kala. Meskipun maksud perkataan barang kala mempunyai kaitan dengan masa, zaman, waktu dan sebagainya, namun pengejaannya tetap berjarak. Dalam Kamus Dewan (1970) lagi, kata barang kala dimasukkan sebagai frasa di bawah kata masukan barang dengan paparan seperti yang berikut: barang bila (kala) sesuatu waktu, bila masa sahaja Begitu juga dengan Kamus Besar Bahasa Indonesia, Kamus Umum Bahasa Indonesia, Kamus Nusantara, Kamus Bahasa Melayu Winstedt, A Malay – English Dictionary oleh RJ Wilkinson yang diterbitkan sejak tahun 50-an lagi. Kesemua kamus yang dirujuk ini memaparkan ejaan barang kala sebagai dua perkataan. Semoga penjelasan ini menjawab persoalan yang dikemukakan. Sekian, terima kasih. | Ejaan | 14.12.2017 |
perkataan seerti dengan perkataan tumpang | Tidak ada perkataan khusus yang seerti dengan perkataan tumpang kerana penggunaan perkataan tumpang boleh membawa pelbagai maksud dalam konteks tertentu. Berdasarkan Kamus Bahasa Melayu Nusantara, tumpang mempunyai 6 tafsiran, iaitu: 1. Berada (terletak, terdapat) di atas sesuatu. Contoh ayat: gumpalan awan hitam sebagai kepala raksasa tumpang di atas puncak gunung. 2. Menaiki kenderaan (kereta, kapal dsb) untuk berpergian. Contoh ayat: Kalau masih ada tempat, saya mahu tumpang kereta api senja. 3. Turut tinggal (bermalam dsb) sementara di rumah orang; singgah (bermalam, tinggal) untuk sementara. 4. Berpergian dengan menaiki kenderaan (kereta) orang lain dengan percuma. 5. Meminta atau memohon supaya diizinkan (berjalan, bertanya dsb). 6. Bersama-sama mengerjakan (melakukan) sesuatu, ikut serta. Saudara juga boleh merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 1733. | Istilah | 18.02.2009 |