| Saya ada beberapa persoalan yang ingin dikemukakan kepada pihak tuan seperti yang berikut: 1. Apakah perbezaan di antara imbuhan awalan men.....,imbuhan berapitan men.....kan dan men.....i?Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan imbuhan seperti yang disebutkan di atas? 2. Apakah perbezaan di antara imbuhan awalan di.....,imbuhan berapitan di.....kan dan di.....i?Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan imbuhan seperti yang disebutkan di atas? 3. Manakah penggunaan kata arah yang betul? a.)Di dalam bilik tidur atau di bilik tidur b.)Di dalam rumah atau di rumah? c.)Menyusun buku di atas rak buku atau menyusun buku pada rak buku? 4. Apakah perbezaan maksud di antara kata arah (sisi,tepi,samping dan sebelah?Saya berasa tidak pasti dan waswas dengan penggunaan kata arah yang disebutkan dalam pembentukan ayat? 5. Apakah perbezaan maksud di antara merampas,merenggut,meragut? Sekian sahaja dengan penamatan persoalan saya dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tuan atas bantuan tuan untuk menyelesaikan kemusykilan saua. | 1. Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif, sama ada transitif atau tak transitif, contohnya "menyala". Apitan meN-...-kan terdiri daripada empat golongan kata utama, iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja, dan kata tugas untuk membentuk kata kerja transitif, contohnya "menghambakan". Apitan meN-...i terdiri daripada empat golongan kata utama, iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja, dan kata tugas boleh menerima apitan ini untuk membentuk kata kerja, contoh "membelakangi". Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, muka surat 151, 191, dan 202. 2. Awalan di- ialah awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja pasif bagi ayat yang subjek asalnya terdiri daripada pelaku orang ketiga, contohnya "ditulis". Apitan di...kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan.Segala ciri apitan ini dan maknanya tidak berubah daripada yang terkandung dalam imbuhan-imbuhan di- dan -kan. Seperti di-...-kan, apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya "dipelopori". Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, muka surat 175, 202 dan 208. 3. Kedua-dua (a) dan (b) boleh digunakan mengikut konteks. Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat, manakala di dalam ialah penggunaan kata sendi nama di diikuti dengan kata arah dalam bagi menunjukkan kedudukan sesuatu benda itu dengan nyata. 4. Kata arah ialah sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk meunjukkan hala atau jurusan. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 286. 5. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, "merampas" ialah mengambil dengan kekerasan atau merebut. "Merenggut" bermaksud menarik (mengambil, mencabut, menyentak, merebut) dengan kekerasan atau merampas. "Meragut" bermaksud menarik (menyentak, merabut, mencabut) dengan paksa atau dengan kekuatan. | Tatabahasa | 05.01.2010 |
| 1. Bagaimanakah membezakan penggunaan kata hubung tetapi dan manakala. 2. Antara ayat yang berikut, yang manakah betul penggunaan kata hubung tetapi dan manakala? a. Abu suka makan roti canai tetapi saya suka makan piza. b. Abu suka makan roti canai manakala saya suka makan piza. 3. Ada pendapat yang menyatakan kata hubung tetapi digunakan untuk pelaku yang sama sahaja. Contohnya: a. Budak itu pandai tetapi pemalas. b. Dia pemarah tetapi hatinya baik Adakah pendapat ini betul? | 1. Perkataan tetapi digunakan untuk menyatakan hal yang berlawanan atau bertentangan, seperti ayat: Budak itu pandai tetapi malas. Perkataan manakala pula membawa banyak maksud, iaitu 1. apabila, bilamana; 2. tetapi; dan 3. sedangkan. Perkataan manakala boleh dibezakan apabila membawa maksud pertama dan ketiga. 2. a. Abu suka makan roti canai tetapi saya suka makan piza. b. Abu suka makan roti canai manakala saya suka makan piza. - kedua-dua ayat ini betul 3. Perkataan tetapi digunakan untuk menyatakan hal yang berlawanan dalam ayat majmuk gabungan. Tidak ada maklumat dalam buku Tatabahasa Dewan mensyaratkan hal yang berlawanan itu digunakan untuk pelaku yang sama. b. Dia pemarah tetapi hatinya baik - dari aspek tatabahasanya ayat ini adalah betul, tetapi kurang tepat dari aspek makna. | Tatabahasa | 12.05.2011 |