Salam, yang manakah betul antara 'tidur nyenyak' ataupun 'nyenyak tidur'. Ayatnya berbunyi begini, "Ketika itu, Encik Raj sekeluarga sedang nyenyak tidur." Sekian, terima kasih. | Perkataan "nyenyak tidur" betul dan bersesuaian dengan konteks ayat yang digunakan. | Tatabahasa | 18.12.2013 |
Mohon pencerahan tentang kata pembenda.. "Adik tidur dengan nyenyak dan selesanya." atau "Adik tidur dengan nyenyak dan selesa."? "Adik makan dengan gelojohnya." atau "Adik makan dengan gelojoh."? | Kata pembenda ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama menjadi kata nama. Dalam bahasa Melayu, kata sendi nama perlu diikuti oleh kata nama. Dalam frasa dengan nyenyak dan selesa, perkataan nyenyak dan selesa ialah kata adjektif dan tidak boleh hadir selepas kata sendi nama. Kata pembenda -nya perlu diletakkan pada perkataan nyenyak dan selesa supaya menjadi kata nama, iaitu nyenyaknya, selesanya. Begitu juga dengan perkataan gelojoh yang merupakan kata adjektif. Bagi mematuhi rumus tatabahasa, perkataan ini perlu diletakkan kata pembenda -nya untuk menjadi kata nama gelojohnya. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku terbitan DBP seperti yang berikut: (i) Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 653, 1551 dan 2010. (ii) Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 104, 296. (iii) Rumus Tatabahasa Bahasa Melayu: Golongan Kata (DBP, 2017), halaman 168. | Tatabahasa | 11.09.2025 |
'Bagaimanakah anda dapat/boleh tidur nyenyak?' Dalam ayat di atas, 'dapat' atau 'boleh' harus saya gunakan? Terima kasih. | Perkataan 'dapat' digunakan dalam konteks yang menunjukkan keupayaan atau kemampuan, manakala perkataan 'boleh' digunakan dalam konteks yang menunjukkan keizinan atau kebenaran. Dalam contoh ayat yang diberi penggunaan yang betul ialah dapat - 'Bagaimanakah anda dapat tidur nyenyak?' | Tatabahasa | 22.06.2010 |
Apakah kesalahan yang terdapat di dalam ayat di bawah? 1) Keretayang Salmah beli itu mahal harganya. 2) Ikan goreng yang diletakkan di atas meja telah kucing makan. 3) Leman memberitahu ibunya tentang masalah yang dia hadapi. 4) Semua makumat yang diberikan oleh pihak polis adalah rumit. 5) Pengemis itu sungguh nyenyak berseimutkan embun. 6) Mereka berbincang tentang barangan yang perlu mereka bawa ke kem itu. | 1) Kereta yang Salmah beli itu mahal harganya. 2) Ikan goreng yang diletakkan di atas meja telah dimakan oleh kucing. 3) Leman memberitahu ibunya tentang masalah yang dihadapi. 4) Semua maklumat yang diberikan oleh pihak polis adalah rumit. 5) Pengemis itu tidur dengan nyenyak berselimutkan embun. 6) Mereka berbincang tentang barangan yang perlu dibawa ke kem itu. | Tatabahasa | 21.08.2013 |
Salam, dalam Bahasa Melayu, terdapatkah perbedaan halus atau secara semantik untuk kata-kata "apabila," "ketika," dan "tatkala"? Terima kasih. | Kata apabila, ketika dan tatkala ialah kata keterangan yang berfungsi menghubungkan klausa keterangan dengan klausa utama. Penggunaannya berdasarkan konteks ayat - Apabila senja tiba, kelawar berterbangan keluar mencari makanan; Pencuri memasuki rumah itu ketika penghuninya sedang nyenyak tidur dan Tatkala hujan turun, mereka masih di sawah. Dari aspek makna, kata keterangan apabila dan tatkala boleh bertukar ganti penggunaannya. Untuk melihat makna ketiga-tiga kata ini, sila rujuk PRPM. | Tatabahasa | 12.08.2022 |
Apakah perbezaan sunyi dan senyap ? Kedua-dua ialah sinonim atau bukan ? Terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, senyap bermaksud 1. = ~ sunyi = sunyi ~ sunyi sekali, tidak bising sedikit pun, sepi; 2. tidak kedengaran apa-apa, tidak ada sesiapa yg bercakap (berkata-kata): ketika itu ~, tiada siapa yg berani bercakap; 3. tidak berkata-kata, tidak mengatakan apa pun, tidak ber-suara, diam; 4. nyenyak (tidur), lena; 5. tidak sibuk (perniagaan), lengang; 6. tidak diper-katakan lagi (sesuatu perkara): akhirnya perkara itu ~ dgn sendiri. Sunyi pula bermaksud 1. tidak kedengaran sebarang bunyi (suara), hening, senyap: suasana menjadi ~, masing-masing membisu; ~ senyap sangat sunyi; 2. tidak berorang, kosong, lengang, sepi: dr jauh dilihatnya rumah itu ~ sepi; negeri itu ~; pasar sudah mulai ~; 3. bebas drpd, jauh (dr), lepas drpd: manusia di dlm dunia ini tidak ~ drpd tamak dan haloba; bahasa Melayu telah diajarkan dan dipelajari dgn lebih ghairah walaupun tidak ~ drpd masalah; tiada ~nya = tiada ~-~nya tiada putus-putus, selalu, sentiasa. Berdasarkan takrifan tersebut, perkataan ini adalah sama maknanya. | Istilah | 11.11.2010 |