| contoh dan alasan frasa dua objek. objek tepat dan objek sipi | Dalam binaan ayat, objek yang mengikuti secara langsung kata kerja disebut objek tepat, sementara objek yang mengikuti objek tepat disebut objek sipi, contoh ayat: Hasnah membelikan Asri sebuah buku. Asri - objek tepat dan sebuah buku - objek sipi. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 195. | Tatabahasa | 28.10.2010 |
| Adakah imbuhan mempeR- mempunyai objek tepat dan objek sipi seperti imbuhan apitan meN-..-kan seperti contoh dalam ayat "majikan itu memperalat pekerja syarikatnya". Adakah pekerja objek merupakan tepat dan syarikatnya merupakan objek sipi? | Awalan imbuhan memper-, apabila digabungkan dengan segelintir kata dasar daripada golongan kata nama, membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan sebagai maksud perbuatan dalam kata dasar dan sering membawa maksud kiasan. Contohnya: alat - memperalat daya - memperdaya kacang - memperkacang Objek tepat dan objek sipi pula merupakan dua objek yang terdapat dalam satu ayat . Binaan ayat ialah seperti yang berikut : subjek + kata kerja + objek 1 + objek 2 Contoh ayat: Hasnah membelikan Asri sebuah buku (subjek) (kata kerja) (objek 1) (objek 2) Objek 1 ialah objek yang mengikuti secara langsung kata kerja dan disebut objek tepat, sementara objek 2 yang mengikuti objek tepat disebut objek sipi. Dalam ayat contoh, Asri ialah objek tepat manakala sebuah buku ialah objek sipi. Satu ukuran untuk menentukan yang mana satukah antara kedua-dua objek itu objek tepat atau objek sipi ialah proses pasif. Dalam bahasa Melayu, hanya objek tepat yang boleh mengalami proses pasif, iaitu proses yang mengedepankan objek asal menjadi subjek terbitan ayat pasif, atau unsur yang diterangkan. Bentuk pasif bagi ayat contoh ialah: Asri dibelikan sebuah buku oleh Hasnah Untuk mengetahui sama ada ayat contoh yang mengandungi imbuhan memper- yang saudara berikan itu, mempunyai objek tepat dan objek sipi atau tidak, kita boleh cuba dengan mengubah ayat tersebut menjadi ayat pasif dengan menjadikan objek tepatnya sebagai subjek: Ayat contoh: Majikan itu memperalat pekerja syarikatnya. Apabila dipasifkan: Pekerja diperalatkan syarikatnya oleh majikan itu. Apabila dipasifkan, maksud ayat tidak sama dengan ayat asal dan susunan ayat juga tidak gramatis. Jadi, ini membawa maksud bahawa imbuhan memper_ tidak mengandungi objek tepat dan objek sipi.
| Tatabahasa | 19.02.2014 |
| Ada berapakah objek dalam ayat "Abang membeli sebuah buku untuk adik". Adakah "adik" ialah objek sipi ? | Ada 2 objek: 1. Buku - objek tepat 2. adik - objek sipi | Tatabahasa | 07.04.2009 |
| Mohon penjelasan kepada tuan mengenai ayat di bawah: 1. Dia memberitahu saya bahawa dia akan ke Singapura. Mengapakah SAYA menjadi objek sipi dan BAHAWA DIA AKAN KE SINGAPURA sebagai objek tepat. Tatabahasa Dewan tidak menjelaskan perkara tersebut. 2. Bolehkah ayat di bawah disongsangkan bentuknya (dikedepankan pelengkapnya): Dia berpendapat bahawa perkara itu belum boleh diambil tindakan. Jawapan diperlukan segera. Sekian, terima kasih. | 1. Dia memberitahu saya bahawa dia akan ke Singapura. - pada asalnya saya tidak hadir dalam ayat ini, ayat asal berbunyi (Dia memberitahu bahawa dia akan ke Singapura - objek: bahawa dia akan ke Singapura), apabila ada penambahan perkataan saya - perkataan tersebut menjadi objek sipi. 2. Boleh disongsangkan menjadi "Bahawa perkara itu belum boleh diambil tindakan, pendapatnya". Untuk keterangan lanjut sila rujuk pakar-pakar bahasa. | Tatabahasa | 19.01.2010 |
| Frasa : Ali mencarikan ayah sebuah rumah sewa (gramatis)? | Ayat 'Ali mencarikan ayah sebuah rumah sewa.' adalah gramatis. Ayat ini ialah ayat aktif transitif dengan dua objek. Objek yang mengikuti secara langsung kata kerja disebut objek tepat (ayah), sementara objek yang mengikuti objek tepat ialah objek sipi (sebuah rumah sewa). | Tatabahasa | 04.07.2011 |
| Salam sejahtera, Soalan: Saya menghadiahi Ali sebuah basikal. Jika ditukarkan kepada ayat pasif, adakah berbunyi begini: Jawapan: Sebuah basikal saya hadiahi Ali. Atau salah. Jika salah, mengikut objek tepat dan objek sipi seperti yang pernah saya email kepada DBP: Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormat.... ditukarkan pasif akan jadi: Pahlawan itu dianugerahi bintang kehormat oleh baginda. Terima kasih. | Ayat pasif ialah Ali dihadiahi saya sebuah basikal atau ayat pasif songsang menjadi Saya hadiahi Ali sebuah basikal. | Tatabahasa | 30.07.2010 |
| Tuan, minta lihat contoh ayat di bawah. 1. Hal ini perlu diberi perhatian. ayat (1) setelah diaktifkan, menjadi ayat (2): 2. (Pelaku) perlu memberi hal ini perhatian. Ayat aktif ini juga boleh berbentuk seperti ayat (3), 3. (Pelaku) perlu memberikan perhatian kepada hal ini. jikalau ayat pasif ayat (3) berbentuk macam ini: 4. Perhatian perlu diberikan kepada hal ini. Tetapi, tuan mengatakan bahawa setelah frasa 'diberikan perhatian' dalam ayat (1) diaktifkan, akan menjadi 'memberikan perhatian', itu salah tuan. Sepatutnya objek dalam ayat (1) ialah 'hal ini'. Perkataan 'perhatian' ialah objek sipi. Maka, objek tepat, iaitu 'hal ini' yang dipindahkan ke belakang kata kerja aktif setelah ayat pasif diaktifkan, membentuk frasa kerja 'memberi hal ini perhatian'. Perhatikan bahawa objek sipi 'perhatian' diletakkan di belakang objek tepat 'hal ini'. Objek penerima ialah 'hal ini', jadi digunakan selepas kata kerja 'memberi', manakala 'perhatian' ialah sesuatu yang disampaikan, diberikan atau diserahkan. | Jika ayat pasif, "Hal ini perlu diberi perhatian", aktifnya "...memberi hal ini perhatian" dan jika ayat pasif "Perhatian perlu diberikan kepada hal ini", aktifnya "... perlu memberikan perhatian kepada hal ini". Hal ini ialah "objek tepat" dan perhatian ialah "objek sipi". Kami mengambil maklum pandangan tuan dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 19.11.2014 |
| ( tuan,inilah penerangan tuan sebelum ini.) 1. Ayah memberi wang sakukepada saya. 2. Ayah membeli sepasang sepatu untuk saya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 194 - 196. apabila objek sipi asal (wang saku dansepasang sepatu) berubah kedudukannya selepas kata kerja dan menjadi objek yang baharu manakala objek tepat yang asal (saya) berpindah ke bahagian akhir ayat dan menerima kata sendi namakepada atau untuk, kata kerjanya tidak mengandungi -kan. ( tuan, bagaimana pula dengan soalan sejumlah RM50000 diberi kepada pesakit jantung yang akan menjalani pembedahan secepat mungkin.) diberi atau diberikan digunakan. | 1. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 392 di bawah tajuk 13.4.2 Frasa Kerja dengan Dua Objek. Perhatikan contoh ayat yang diberi: 74. Ahmad menghadiahkan buku kepada Ali. 75. Wanita itu membeli baju untuk anaknya. Kedua-dua contoh ayat tersebut mempunyai dua objek (objek tepat dan objek sisi) dan kata sendi nama. Tidak timbul isu perubahan kedudukan objek tepat dan objek sisi. 2. Perkataan memberi dan memberikan merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan memberi hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala memberikan hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa. Diberi dan diberikan adalah bentuk pasif memberi dan memberikan. Oleh itu ayat "Sejumlah RM50000 diberi kepada pesakit jantung yang akan menjalani pembedahan secepat mungkin" adalah betul. | Tatabahasa | 20.07.2011 |
| Salam sejahtera, saya ingin bertanya tentang pertukaran ayat biasa kepada ayat songsang. Jika soalan saya berbunyi (1) Sazali terpakasa menangguhkan perkahwinannya kerana menghadapi masalah kewangan. (2) Pasangan penggantin diraja duduk di atas peterana sebaik-baik sahaja diarak oleh pasukan kompang. (3) Dia menonton bola sepak di Stadium. Apakah jawapan yang betul bagi ketiga-tiga soalan di atas? Soalan saya yang kedua ialah adakah Ayat Susunan Songsang tidak mempunyai makna? atau sebahagiannya mungkin tidak ada makna? Soalan saya yang ketiga ialah pernah pihak DBP menjawab soalan saya yang berbunyi menukarkan ayat pasif (Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormat) kepada ayat pasif (Pahlawan itu dianugerahi bintang kehormat oleh baginda). Jika mengikut hukum objek tepat dan objek sipi, bagaimanakah jawapan yang diberikan oleh DBP bagi soalan "Saya menghadiahi Ali sebuah basikal" akan menjadi Sebuah basikal dihadiahi saya? Bukan ke bagi orang pertama formula atau penyusunan binaan ayat pasif mesti "Kata ganti nama pertama atau kedua diikuti kata kerja"? Bukan ke jawapan yang sebenarnya harus berbunyi "Ali saya hadiahi sebuah basikal" yang sememangnya ikut hukum tatabahasa (objek tepat dan objek sipi serta hukum binaan ayat pasif bagi pelaku I dan II? Sekian, terima kasih. | Saudara, 1. Kerana menghadapi masalah kewangan Sazali terpaksa menangguhkan perkahwinannya. 2. Sebaik-baik sahaja diarak oleh pasukan kompang pasangan pengantin diraja duduk di atas peterana. 3. Di stadium dia menonton bola sepak . Susunan yang betul ialah ' Ali saya hadiahi sebuah basikal'. Mungkin jawapan yang diberikan oleh petugas sebelum ini tidak lengkap. Maaf atas kesulitan yang berlaku. | Tatabahasa | 13.08.2010 |
| 1 wang saku diberikan oleh ayah kepada saya. 2. sepasang sepatu dibelikan oleh ayah kepada saya. tuan, kedua-dua ayat di atas, jawapan yang diberikan adalah "diberi" dan "dibeli". namun, saya berasa tidak tepat. apakah pandangan tuan? | Jawapan "dibeli" dan "diberi" adalah betul kerana apabila objek sipi asal (wang saku dan sepasang sepatu) berubah kedudukannya selepas kata kerja dan menjadi objek yang baharu manakala objek tepat yang asal (saya) berpindah ke bahagian akhir ayat dan menerima kata sendi nama kepada atau untuk, kata kerjanya tidak mengandungi -kan. Oleh itu, ayat pasif tersebut berasal daripada ayat berikut: 1. Ayah memberi wang saku kepada saya. 2. Ayah membeli sepasang sepatu untuk saya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 194 - 196. | Tatabahasa | 06.04.2011 |