Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Adakah kata "obsess" boleh diterjemah menjadi "obses", dan "obses" dapat berfungsi menjadi kata kerja? Atau "obsess" diterjemah menjadi "obsesi", akan tetapi obsesi itu kata nama. Atau ada perkataan yang lebih tepat untuk menterjemah kata obsess? terima kasih | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 1554, “obses” merupakan kelas kata adjektif yang bermaksud asyik atau sentiasa memikirkan atau mengenangkan sesuatu, manakala “obsesi” merupakan kelas kata nama yang bermaksud keinginan atau kebimbangan yang keterlaluan terhadap seseorang atau sesuatu. | Tatabahasa | 13.05.2025 |
Selamat petang, Adakah wujudnya perkataan 'obses' dan 'pemerdagangan' dalam bahasa Malaysia? | Istilah obses tidak ada dalam bahasa Melayu, yang diterima pakai ialah obsesi yang bermaksud 1. sesuatu yg sentiasa mengganggu atau menghantui fikiran seseorang: segera dapat saya tangkap semacam ~ dlm kepala teman itu; 2. keadaan terlalu memikirkan sesuatu. Istilah pemerdagangan boleh digunakan dan ada dalam istilah ekonomi sebagai padanan kepada commercialization. | Istilah | 20.04.2010 |
Salam. Berdasarkan carian kata di PRPM, Obsess membawa maksud terlalu memikirkan sesuatu; menghantui. 1) Jika dalam contoh ayat, "She is obsessed with cartoon," bolehkah diterjemahkan Obsessed sebagai taksub? 2) Apa pula penerangan bagi perkataan Taksub? Ia tiada dalam PRPM. 3) Menurut PRPM, Obsession pula diterjemahkan sebagai obsesi, jadi mungkin boleh dipertimbangkan terjemahan ini, Obsess (BI) --> Obses (BM). Salam. | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "taasub" bermaksud kuat pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang, fanatik. Padanan bahasa Inggeris untuk "taasub" ialah doctrinaire. Istilah "obses" tidak ada dalam bahasa Melayu, yang diterima pakai ialah "obsesi" yang bermaksud sesuatu yang sentiasa mengÂganggu atau menghantui fikiran seseorang. | Makna | 04.11.2016 |
Sebelum saudara/i dihujani dengan soalan soalan yang saya bangkitkan, saya ingin memperkenalkan diri saya. Saya Sathya Seelan A/l Armugam, pelajar Tingkatan 4, High School Bukit MErtajam. Soalan -soalan saya adalah yang berikut ;- 1. Adakah kamus yang umum untuk peribahasa telah diwujudkan oleh DBP ? 2. Saudara, bolehkah saudara memberikan saya alasan mengapa kata - kata yang terdapat dalam Kamus Dewan terlalu obses DALAM penterjemahaan kata secara terang daripada perkataan Bahasa Inggeris ? 3. Kalau saya dapat mengarang karangan / sajak yang agak menarik, ke manakah saya boleh menghantarkannya ? Saya akan berasa gembira jika saudar/i menjelaskan kemusykilan bahasa . | Sdr. boleh rujuk Kamus Simpulan Bahasa Edisis Kedua atau Kamus Dewan Edisi Keempat. Untuk makluman sdr. DBP bukanlah sebuah organisasi yang memberikan keutamaan kepada kata dalam bahasa Inggeris. Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan sebuah kamus umum bahasa Melayu yang menjadi rujukan utama pengguna bahasa Melayu yang disusun berdasarkan kajian korpus. Sesetengah kata bahasa Inggeris yang diserapkan dalam bahasa Melayu melalui penyesuaian ejaan sudah pun diterima dan digunakan oleh masyarakat. Tujuan penyerapan ini adalah untuk memperkaya perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu dan ini tidak bermakna kata dalam bahasa Melayu digugurkan. Kata-kata ini masih digunkan bergantung pada konteks dan tujuan penggunaan, cthnya bagi penggunaan umum kata dalam bahasa Melayu digunakan , bagi konteks teknikal dan lebih ilmiah kata serapan bolehlah dipilih. Tentang sajak yang dihasilkan sdr. bolehlah cuba menghubungi Jabatan Sastera. | Lain-lain | 19.04.2008 |