Apakah yang dimaksudkan dengan wawancara? Apakah perbezaan antara wawancara dengan forum dan dialog? | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat wawancara bermaksud soal jawab antara wartawan dsb.dengan orang yang terkemuka dll. untuk mendapatkan keterangan atau pandangan untuk disiarkan. Forum bermaksud perjumpaan untuk perbincangan terbuka tentang perkara yang menjadi kepentingan awam. Dialog bermaksud perbincangan atau perundingan antara dua pihak yang bertelingkah kepentingannya. Daripada keterangan di atas diharap saudara dapat melihat perbezaan antara ketiga-tiga perkataan tersebut. Wawancara melibatkan dua orang, iaitu wartawan dan orang yang diwawancara. Forum dan dialog melibatkan sekumpulan orang atau panel. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat . | Makna | 30.01.2008 |
Contoh bagaimana untuk menulis tentang watak protagonis dalam novel Lamunan Puitis? | Watak protagonis ialah watak utama dalam sesuatu cerita, drama; penyokong terkemuka sesuatu perjuangan, pergerakan dan sebagainya. Novel Lamunan Puitis mempunyai trilogi yakni mengandungi tiga novel dalam satu buku. Kisah pertama bertajuk "Sebuah Mimpi Hari Tua" mengisahkan sebuah keluarga yang teringat akan orang tua di kampung. Mengenang kembali akan sawah yang sudah tidak diusahakan lagi. Novel kedua bertajuk "Titipan" mengisahkan tentang kenangan watak utama dengan ibunya. Novel yang terakhir bertajuk "Embun". Mengisahkan tentang watak dan sifat embun dan kaitannya dengan sifat hujan. Kisah embun yang mencari jati diri dan cuba memisahkan diri dari 'jemaah hujan'. Saudara boleh menceritakan watak utama dalam ketiga-tiga novel tersebut berdasarkan perwatakan yang dibawa oleh watak utama. Watak atau sifat (seseorang) yang zahir dan batin (merangkumi budi pekerti dan tabiatnya, tingkah lakunya, jiwanya, pemikirannya, dsb): yang ditunjukkan oleh watak protagonis. Saudara juga boleh menghubungi Bahagian Penyelidikan Sastera DBP untuk lebih lanjut melalui e-mel iaitu hanafi@dbp.gov.my selain membuat rujukan di Pusat Dokumentasi Melayu, buku rujukan dan lain-lain. | Sastera | 26.02.2013 |
maksud perkataan terunggul, terbilang, unggul | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud terbilang ialah 1. terhitung, dapat dihitung, termasuk hitungan: perahu pun tiada ~ banyak nya; 2. terkenal, terkemuka: sebuah kampung yg ~ kaya; banyak sudah pahlawan ~ pihak China yg telah rebah ke bumi; 3. dimaklumi (sbg mempunyai sesuatu sifat): dia memang ~ sbg orang yg lekas naik radang; manakala perkataaan unggul bermaksud melebihi (mengatasi) yang lain (baik, bijak, cekap, tinggi, dll), terbaik, teristimewa, terutama: dia seorang ahli olahraga yg ~; ahli sains yg ~;. Oleh itu, perkataan terunggul tidak perlu digunakan. | Makna | 02.06.2009 |
sila tutup dengan perlahan-lahan sila tutup dengan perlahan antara dua ayat ini yang mana 1 betul dan diterima oleh pihak dbp | Perlahan bermaksud = perlahan-lahan 1. tidak terburu-buru (tergesa-gesa, cepat-cepat), lambat-lambat: ia berjalan sangat ~ spt tiada berdaya lakunya; setiap pelukis mestilah belajar melukis dan kemudian perlahan-lahan meningkat naik hingga menjadi pelukis yg terkemuka; 2. tidak kuat (percakapan, suara), lembut: cakaplah perlahan-lahan sedikit supaya tidak didengar orang; 3. tidak dgn tenaga yg banyak, tidak kuat-kuat, sedikit-sedikit: meriam itu ditarik perlahan-lahan; Oleh itu, kedua-dua ayat tersebut betul dan boleh digunakan. | Lain-lain | 01.10.2010 |