Assalamualaikum. 1. Apakah perbezaan penggunaan kata ' walhal' dan 'meskipun' Terima kasih. | Walhal sama makna dengan padahal, meskipun dan sungguhpun: contohnya, Ia masih belum memahami masalah itu, walhal/padahal/meskipun/sungguhpun sudah berkali-kali diterangkan. | Tatabahasa | 22.06.2011 |
Saya ingin membuat pertanyaan berkenaan soalan di bawah. Kesalahan penggunaan kata hubung. Soalan: Kemajuan negara tercapai adalah padahal kebijaksanaan pemimpin dan kerjasama rakyat. Berdasarkan soalan di atas, penggunaan kata hubung padahal adalah salah dan kata hubung yang sesuai digunakan ialah kerana. Bolehkah kata pemeri adalah boleh digunakan bersama dengan kata hubung kerana? Jawapan: Kemajuan negara tercapai adalah kerana kebijaksanaan pemimpin dan kerjasama rakyat. **Betul atau salah jawapan yang saya berikan ini? | Penggunaan kata pemeri "adalah" hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Perlu diingat penggunaan kata pemeri amat terbatas dan kurang digalakkan dalam pembentukan bahasa Melayu. Dalam konteks ayat yang tuan/puan berikan, ayat yang betul ialah "Kemajuan negara tercapai kerana kebijaksanaan pemimpin dan kerjasama rakyat." | Tatabahasa | 22.10.2023 |
Apakah golongan dan bentuk kata bagi perkataan semata-mata, sepatut, padahal dan termasuk(tergolong dalam)? Terima kasih. | Selamat ptg. Golongan dan bentuk kata bagi perkataan: 1. Semata-mata - kata terbitan 2. Sepatut - kata tugas 3. Padahal - kata hubung 4. Termasuk - kata terbitan /kata kerja Saudari boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lebih lanjut. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 02.03.2016 |
Apakah perbezaan antara "Keterangan" dan "Penerangan" padahal kedua-duanya menerangkan sesuatu?Apakah terjemahan yang betul untuk "Service Description"? Keterangan Perkhidmatan atau Penerangan Perkhidmatan? Terima kasih. | Keterangan bermaksud huraian untuk menerangkan sesuatu, atau dalam kata yang mudah ialah penjelasan, contoh ayatnya: Semua keterangan guru itu didengar oleh Aminah dengan tenang. Manakala penerangan bermaksud perbuatan atau perihal menerangkan (menjelaskan), contoh ayat: Penerangannya padat, alasan-alasannya jitu apabila memperkatakan soal sikap anak muda kini. Mohon tuan berikan dalam bentuk ayat, perkataan Service Description untuk pihak kami memberikan terjemahan yang tepat mengikut konsep yang dimaksudkan. | Tatabahasa | 26.06.2022 |
Salam, kenapakah kamus ada istilah "hasad dengki" padahal kedua-dua kata itu menyampaikan maksud yang sama? Apakah ada perbezaan makna antara hasad dan dengki? Harap jangan "copy-paste" definisi kamus dalam jawapan. Terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, “hasad” bermaksud niat dan keinginan untuk melakukan atau memperoleh sesuatu atau hasrat dan “dengki” bermaksud tidak suka pada seseorang kerana cemburu akan kelebihan yang dimiliki. Manakala “hasad dengki” pula bermaksud sangat iri hati terhadap kelebihan dan kejayaan seseorang, biasanya disertai dengan niat jahat. | Makna | 11.10.2022 |
Mengapakah ejaan yang baku dalam Kamus Dewan "solat", bukan "salat"? Padahal bunyi a atau fathah dalam bahasa Arab sentiasa diserap menjadi a dalam bahasa Melayu baku. | Berdasarkan semakan kami juga, peminjaman perkataan lain daripada bahasa Arab disesuaikan dengan sebutan dan ejaan bahasa Melayu, namun ejaan solat dikekalkan seperti sebutan bahasa sumber. Hal ini merupakan kekecualian dalam bahasa Melayu. | Istilah | 03.12.2021 |
Encik, Mengapakah menurut pihak DBP, "kedua-dua ibu bapa" betul? Padahal ibu bapa sudah menunjukkan jamak. Bagamanakah pula dengan "kedua-dua suami isteri"? Adakah rangkai kata itu merujuk kepada 2 orang ataupun 4 orang. Sila berikan penjelasan? Terima kasih. | Kedua-dua ibu bapa adalah betul kerana kata bilangan kedua-dua membawa maksud himpunan yang menunjukkan kelompok yang terdiri daripada dua orang. Kedua-dua orang suami isteri merujuk suami dan isteri sebagai satu pasangan. | Tatabahasa | 07.03.2009 |
Kenapa saya tidak dapat menghantar soalan kerana katanya "lebih 100 perkataan" padahal belum? | Terima kasih kerana sudi menghubungi kami bagi mendapatkan khidmat penyemakan bahasa. Walau bagaimanapun, soalan tuan tidak dapat dijawab melalui platform Khidmat Nasihat Bahasa kerana soalan yang dihantar terlalu banyak (melalui tiga entri pertanyaan). Kami hanya menerima satu entri pertanyaan dengan satu soalan sahaja. Untuk khidmat penyemakan bahasa atau dokumen yang panjang, tuan boleh menghantar senarai soalan dengan jelas dan berstruktur kepada nawal@dbp.gov.my bagi kami menyediakan sebut harga. | Penyemakan dan penterjemahan | 28.11.2024 |
Mengapa pada dinding bas tertulis 'BAS PEKERJA' dan bukannya 'BAS KILANG' padahal itu pada saya sudah betul. Sama juga dengan 'BAS SEKOLAH', mengapa tidak ditukar kepada 'BAS PELAJAR' sebagai padanan kepada 'BAS PEKERJA'. Sekian Terima Kasih! | Kedua-duanya boleh diterima mengikut konteks yang berbeza. | Lain-lain | 07.06.2010 |
mengapakah pihak dbp mengambil masa yg lama untuk menjawab soalan saya. padahal soalan ini ialah soalan yang dikeluarkan untuk dijawab oleh pelajar tingkatan 3 dalam masa 1 jam sahaja. soalan ini saya anggap soalan yang mudah bagi pihak dbp. pihak dbp mempunyai tenaga kerja yang ramai dan berpengalaman dalam bidang bahasa. tidak mungkin soalan untuk pelajar sekolah menengah ini tidak mampu dijawab dalam masa yang singkat. saya telah menghantar soalan ini pada bulan ogos dan sehingga kini masih tidak menerima jawapan. mungkin pihak dbp langsung tidak mengkaji tentang soalan saya ini, tetapi hanya menghantar emel yang mengatakan soalan belum berjwb. perlukah dbp menyediakan kertas kerja atau thesis untuk menjwb soalan ini? saya masih menunggu jawapan dari pihak dbp dengan sabar. saya memohon maaf sekiranya tulisan saya ini menyinggung mana-mana pihak. | Ayat ' kami akan bersihkan kawasan belukar' sepatutnya ditulis 'kami akan membersihkan kawasan belukar' kerana ayat ini merupakan ayat aktif. Ayat 'akan kami bersihkan kawasan belukar' ialah ayat pasif seperti yang dinyatakan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, halaman 469-470 . | Tatabahasa | 14.09.2007 |