Tuan/Puan Saya ingin mengetahui lebih lanjut lagi berkenaan yang mana betul untuk menggunakan: Prof Emeritus Datuk Dr diikuti nama atau Datuk Prof Emeritus Dr diikuti. Terima kasih. allinda | Mengikut peraturan dari sudut protokol, gelaran paling awal ditulis ialah "Datuk". Walau bagaimanapun, sebutan gelaran ini bergantung kepada individu. Ada sesetengah tokoh yang lebih mengutamakan "Prof. Emeritus" baharu diikuti gelaran "Datuk" kerana untuk mendapat status Prof. Emeritus amat sukar dan memerlukan kepakaran yang tinggi. | Lain-lain | 19.10.2016 |
Salam sejahtera, Para peniaga di pasar malam mulai/mula tiba. (perlu tambah imbuhan akhiran atau tidak perlu) Sekian, terima kasih. | Salam sejahtera, Ayat yang tepat ialah Para peniaga di pasar malam mula tiba. perkataan Mula membawa maksud paling awal atau dahulu sekali. Oleh itu, imbuhan akhiran tidak perlu digunakan. Sekian. Tuan/puan boleh melayari pusat rujukan persuratan melayu atau prpm.dbp.gov,my untuk mengetahui lebih lanjut. | Pengembangan | 25.02.2020 |
Apakah perbezaan antara mula dan mulai? | Kamus Dewan Edisi Empat, perkataan mulai ialah mula-mula melakukan sesuatu: pada malam Jumaat mulailah dia datang mengintai di situ; 2. sejak (semenjak), dari: larangan itu berlaku mulai hari Khamis ini. Mula pula ialah asal, mula asal, pokok pangkal: mari kita kembali ke mulanya; 2. yang paling awal, yang dahulu sekali, punca atau pangkal (keadaan tempat, waktu, dll); ~ pertama yg paling awal, pertama sekali; wang mula wang yang dibayar dahulu (cengkeram, pertaruhan); 3. sebab, lantaran, fasal: apa mulanya dia datang ke mari? | Makna | 18.02.2013 |
"Beberapa bulan kemudian, padi mula menguning","Beberapa bulan kemudian, padi mulai menguning". Ayat manakah yang betul? Apakah perbezaan di antara "mula" dengan "mulai" dan bagaimanakah penggunaannya? Terima kasih. | Kamus Dewan Edisi Empat, perkataan mulai ialah mula-mula melakukan sesuatu: pada malam Jumaat mulailah dia datang mengintai di situ; 2. sejak (semenjak), dari: larangan itu berlaku mulai hari Khamis ini. Mula pula ialah asal, mula asal, pokok pangkal: mari kita kembali ke mulanya; 2. yang paling awal, yang dahulu sekali, punca atau pangkal (keadaan tempat, waktu, dll); ~ pertama yg paling awal, pertama sekali; wang mula wang yang dibayar dahulu (cengkeram, pertaruhan); 3. sebab, lantaran, fasal: apa mulanya dia datang ke mari? Beberapa bula kemudian, padi mulai menguning. Mulai bermaksud mula-mula melakukan sesuatu. | Lain-lain | 23.10.2014 |
Sepuluh ___________ rumah kedai di Shah Alam musnah akibat gempa bumi awal pagi tadi. Lengkapkan ayat yang berikut dengan jawapan yang paling sesuai. A) baris B)keping C)pintu D)biji Apakah jawapan betul untuk soalan ini? Bolehkah tuan/puan menjelaskan jawapan dan soalan ini? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 323, “buah” merupakan penjodoh bilangan untuk benda yang bermacam-macam bentuk dan jenisnya. Penjodoh bilangan yang betul untuk "rumah" ialah “buah”. Oleh yang demikian, ayat yang betul ialah “Sepuluh buah rumah kedai di Shah Alam musnah akibat gempa bumi awal pagi tadi.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 106 – 107. | Tatabahasa | 25.01.2024 |
Apakah perkataan paling tepat dalam subtajuk penulisan saya ini, sama ada Ciri PBD atau Ciri-ciri PBD 2.3 Ciri PBD atau Ciri-ciri PBD? Terdapat 9 ciri utama yang dapat membantu guru dalam PBD. PBD yang dilaksanakan oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan dapat diatasi dengan segera. | Subtajuk yang sesuai ialah Ciri-ciri PBD | Tatabahasa | 16.09.2021 |
Salam sejahtera, saya ingin mendapatkan khidmat nasihat pihak tuan/puan tentang beberapa padanan terjemahan berikut: (1) Caring for others is the top priority: Sifat penyayang terhadap orang lain diutamakan @ Sifat penyayang diberikan perhatian paling utama ? (2) “The Great Learning” (buku klasik konfusianisme tentang pemupukan nilai-nilai murni dsb) : Pengajian Agung @ Pengajian Besar @ Pembelajaran Agung? (3) A concrete embodiment of ancient Chinese philosopher’s concept : penjelmaan konkrit/kukuh konsep ahli falsafah China purba ? (4) A single remark makes a country prosper: Satu komen/teguran/sebuah ungkapan dapat membantu sesebuah negara berkembang maju ? (5) Influence others without preaching: Mempengaruhi orang lain tanpa bersyarah tentang ajaran? (memandangkan ‘berkhutbah’(preaching) hanya boleh digunakan dalam konteks agama Islam, bolehkah ‘preaching’ dalam ayat tersebut diterjemahkan menjadi “bersyarah tentang ajaran”? (6) has a complete image of the bamboo in his mind: wujudnya@timbulnya imejan yang lengkap tentang buluh dalam kepalanya@ fikirannya@ mindanya? (7) Parallel style: gaya sejajar @ selari (dalam konteks kesusasteraan) (8) Convey the spirit: menyebarkan semangat? Terima kasih. | Berikut merupakan padanan bahasa Melayu untuk frasa yang dinyatakan: 1. Caring for others is the top priority: Sifat penyayang terhadap orang lain diutamakan 2. The Great Learning: Pengajian Agung/Pembelajaran Agung 3. A concrete embodiment of ancient Chinese philosopher’s concept: Penjelmaan kukuh konsep ahli falsafah China purba 4. A single remark makes a country prosper: Satu teguran kecil mampu mengubah kekayaan negara 5. Influence others without preaching: Mempengaruhi tanpa perlu berkata-kata 6. has a complete image of the bamboo in his mind: seseorang yang mempunyai strategi awal yang jelas dalam fikirannya Frasa ini merupakan simpulan bahasa (idiom). 7. Parallel style: Gaya sejajar/selari 8. Convey the spirit: Memberikan semangat Padanan perkataan bergantung pada kesesuaian serta konsep penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Makna | 13.10.2021 |
Salam, 1. Saya ingin bertanya tentang skop penerbitan novel remaja peringkat sekolah menengah. Apakah kriteria-kriteria yang perlu untuk menghasilkan manuskrip novel remaja peringkat sekolah menengah. Aspek lain seperti ketebalan manuskrip dan perkara-perkara yang perlu dielakkan dalam penulisan novel remaja peringkat sekolah menengah. Terima kasih. | Salam. Remaja terbahagi kepada dua iaitu remaja awal (13-15 tahun) dan remaja akhir (16-21 tahun). Sebenarnya tiada batasan dalam skop penerbitan novel remaja, sama ada peringkat sekolah menengah atau peringkat yang lebih tinggi, yang penting adalah mesej yang hendak saudara sampaikan kepada khalayak saudara, iaitu para remaja. Setiap mesej yang hendak disampaikan perlulah mempunyai nilai-nilai murni yang wajib diterapkan ke dalam jiwa setiap remaja. Manuskrip pula janganlah terlalu tebal, maksudnya lebih kurang dalam 200 - 250 halaman untuk remaja awal, kerana bagi setiap 100 halaman kertas kuarto, novel tersebut akan menjadi 200 halaman. Bagi remaja akhir pula, lebih kurang 300 - 350 halaman, paling tebal pun 400 halaman, iaitu lebih kurang 200 halaman kertas kuarto. Setiap karya yang ditulis hendaknya janganlah menyentuh sensitiviti kaum, agama dan adat resam serta budaya sesuatu kaum. Pena itu lebih tajam daripada sebilah pedang, kerana itu apa sahaja yang hendak ditulis perlulah berhati-hati. Saudara juga mesti membuat penyelidikan tentang apa yang hendak saudara tulis, supaya tidak berlaku bercanggah atau kelihatan tidak masuk akal atau mengarut, setiap fakta mesti dengan disokong dengan bukti. Karya juga hendaklah sesuai dengan pembaca sasaran. | Lain-lain | 18.11.2009 |
Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan terutamanya? | Merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 2490, perkataan “terutama” merupakan kata adjektif terbitan yang bermaksud paling utama; mula-mula sekali; lebih baik; lebih-lebih lagi. Dalam penulisan, perkataan “terutama” digunakan sebagai penanda wacana, iaitu unsur yang menghubungkan atau mengaitkan pelbagai entiti dalam sesuatu wacana. Perkataan “terutama” atau “terutamanya” digunakan untuk menjelaskan atau menekankan tentang suatu hal atau aspek yang memiliki tingkat penting atau keutamaan yang lebih tinggi daripada yang lain dalam suatu konteks tertentu pada ayat. Oleh yang demikian, perkataan “terutamanya” digunakan pada bahagian tengah ayat dan tidak digunakan pada awal ayat. Contoh ayat: - Coklat merupakan manisan yang disukai ramai terutama kanak-kanak.
- Persembahan tablo biasanya dijadikan selingan terutamanya pada setiap akhir adegan dalam sesebuah drama.
Untuk maklumat lanjut berkenaan contoh penggunaan perkataan “terutama” atau “terutamanya”, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) atau laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP melalui https://prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 03.10.2024 |
Mohon pencerahan berkenaan didahului: Kerjasama tuan dalam hal ini amatlah dihargai dan "didahului" dengan ucapan ribuan terima kasih. kerjasama tuan dalam hal ini amatlah di dihargai dan pihak kami mendahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih. Semakan saya menggunakan kamus dewan 4 ,perkataan didahului tidak wujud. Mohon Juga pencerahan sama ada perkataan mendahului, didahulukan ....wujud.Sekian, terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, terdapat perkataan “didahului”, “mendahului” dan “didahulukan”. Antara maksud perkataan “didahului” dan “mendahului” seperti yang berikut: - Melepasi (seseorang atau sesuatu) dan berada di hadapan.
- Melebihi atau mengatasi seseorang atau sesuatu dari segi bilangan, markah, prestasi dan sebagainya yang diperoleh.
- Melakukan sesuatu lebih awal atau lebih cepat daripada seseorang atau sesuatu.
- Berlaku atau wujud sebelum atau lebih awal daripada sesuatu yang lain.
- Menduduki tempat paling atas dalam (senarai, carta dan sebagainya).
- Memberikan keutamaan pada sesuatu berbanding dengan yang lain.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, muka surat 466. | Makna | 10.12.2023 |