| Apakah beza paru-paru dan peparu? Perkataan yang manakah paling tepat untuk digunakan dalam buku teks sains sekolah (rendah dan menengah)? | "Paru-paru" dan "peparu" kedua-duanya merupakan perkataan yang betul dan membawa maksud yang sama, iaitu organ pernafasan utama dalam badan manusia. Walau bagaimanapun, paru-paru merupakan istilah yang lazim digunakan dalam penulisan umum dan percakapan harian. | Tatabahasa | 01.12.2025 |
| Mohon dapatkan terjemahan "Green Lungs" dalam konteks kawasan hijau perhutanan di dalam bahasa Melayu. "Jantung Hijau" atau "Paru-Paru Hijau" agak janggal. | Belum ada maklumat tentang Green Lung dalam bahasa Melayu. Perkataan Lung diterjemahkan kepada Paru-paru, berkemungkinan bukanlah merujuk paru-paru itu secara fizikal tetapi fungsinya sebagaimana penggunaannya dalam bahasa Inggeris. Secara harfiah Green Lung diterjemahkan kepada Paru-paru Hijau sama seperti rumah hijau (green home) dan pasir hijau (green sand) yang telah digunakan dalam bahasa Melayu. | Penyemakan dan penterjemahan | 27.01.2015 |
| Tepatkah jika "collapsed lung" dipadankan dengan "paru-paru mengecut"? | Padanan bahasa Melayu yang sesuai untuk "collapsed lung" ialah paru-paru kempis. | Istilah | 18.06.2022 |
| Assalamualaikum, Mohon jasa baik pihak tuan/puan mengenal pasti penggunaan ayat manakah yang lebih tepat. 1. Suami kesayangan saya ini sudah menderita akibat penyakit kanser paru-paru selama lebih dua setengah tahun. 2. Suami kesayangan saya ini sudah menderita akibat penyakit kanser paru-paru selama lebih dua tahun setengah. Jasa baik dan perhatian daripada pihak tuan/puan didahului dengan ucapan Terima Kasih:) | Yang betul adalah yang pertama, iaitu Suami kesayangan saya ini sudah menderita akibat penyakit kanser paru-paru selama lebih dua setengah tahun. | Tatabahasa | 21.11.2011 |
| Yang manakah betul? 'melepaskan batuk di tangga' ATAU 'melepaskan batok di tangga'. Jika merujuk KD edisi 4 m/s 137. Makna 'batuk' -mengeluarkan nafas dari paru-paru dengan keras dan bising bunyinya, bunyi seseorang batuk, penyakit. Sebaliknya' batok' lebih sesuai kerana 'batok' ialah 'tempurung' yang biasanya digunakan untuk meneguk air. Harap dapat memberikan penjelasan. terima kasih. | Data dalam Kamus Istimewa Peribahasa Bahasa Melayu ialah "melepaskan batuk di tangga". Peribahasa "melepaskan batuk di tangga" ini telah diterima pakai sekian lama walaupun ada yang memberikan pandangan bahawa perkataan yang betul ialah batok bukan bantuk. | Tatabahasa | 28.09.2012 |
| maksud fungsi dlm bahasa melayu | Saudara, Makna fungsi ialah 1. tugas, jawatan: kalau Pengarah sakit, Timbalan Pengarah menjalankan ~ Pengarah; 2. kerja (bahagian tubuh dll), tugas, peranan: apakah ~ paru-paru dlm tubuh manusia? berfungsi mempunyai fungsi, melaksanakan fungsi, bertugas: JPM mesti selalu meninjau semula bidang ilmunya utk terus maju dan ~ kpd masyarakat; fungsian yg dilihat dr segi fungsi: rangka rujukan teorinya yg bkn analisis ~ itu amat berkesan. | Makna | 03.07.2010 |
| maksud sebenar "batuk" dalam peribahasa : seperti melepaskan BATUK di tangga. batuk itu merujuk kepada apa? dan : biar mati ANAK jangan mati adat. anak merujuk kepada? | Dalam Kamus Dewan batuk bermaksud mengeluarkan nafas dari paru-paru dengan keras dan bising bunyinya. Merujuk peribahasa yang dimaksudkan, ada pendapat mengatakan yang dimaksudkan sebenarnya ialah batok iaitu sejenis alat yan digunakan untuk menceduk air yang diperbuat daripada tempurung. Manakala anak yang dimaksudkan ialah anak kepada ibu bapa seperti yang difahami umum. | Makna | 09.07.2009 |
| Salam sejahtera. Dalam tatabahasa dewan m/s526, 'dan' juga merupakan penanda wacana, iaitu sebagai penghubung tambahan. Bolehkah pihak tuan memberikan contoh ayat supaya saya lebih memahami fungsi 'dan' sebagai penanda wacana? Sekian, terima kasih. | Saudara, Contoh ayat adalah seperti yang berikut: Ahmad menghidap barah paru-paru. Doktor meramalkan Ahmad dapat hidup dalam tempoh tiga bulan. Dan, tiga bulan selepas itu, Ahmad pun meninggal. | Tatabahasa | 11.07.2010 |
| Kami dapati tiada perkataan "decarbonation" dalam kamus untuk dipadankan dengan " pendekarbonan". Perkataan yang didapati ialah "decarbonization". Bolehkah jika kami mengekalkan perkataan "decarbonation" tersebut dan dipadankan dengan "pendekarbonan". | Istilah sumber bagi pendekarbonan ialah "decarbonization" yang terdapat dalam bidang perubatan dan kimia yang bermaksud proses pembuangan karbon daripada darah di dalam paru-paru secara penukargantian oksigen dengan karbon dioksida. Cadangan terjemahan bagi decarbonation ialah pengenyahkarbonatan | Makna | 18.07.2021 |
| 1. “Warna kereta itu sudah luntur”,”Warna kereta itu sudah sebam”. Ayat manakah yang betul? 2. “Bolehkah kamu berikan nasi lemak ini kepada Aiman?”,Mengapakah perkataan ‘berikan’ tidak boleh digantikan dengan ‘memberikan’ dalam ayat ini? 3. “Mereka balik ke kampung menaiki kereta api”. Mohon bantuan untuk baiki ayat ini dan tolong sertakan alasan bagi setiap kesalahan. 4. “Ramai kanak-kanak di taman asuhan itu bijak berbahasa Inggeris”. Mohon bantuan untuk baiki ayat ini dan tolong sertakan alasan bagi setiap kesalahan. 5. “Paru-paru merupakan organ pernafasan kepada manusia”. Mohon bantuan untuk baiki ayat ini dan tolong sertakan alasan bagi setiap kesalahan. 6. “Pengawal itulah yang sedang bertugas ketika itu”. Mohon bantuan untuk baiki ayat ini dan tolong sertakan alasan bagi setiap kesalahan. 7. “Feri itu menepi ke dermaga untuk memunggah barang”. Mohon bantuan untuk baiki ayat ini dan tolong sertakan alasan bagi setiap kesalahan. 8. “Saki-baki lauk-pauk itu dibawa pulang oleh Mak Munah”. Mohon bantuan untuk baiki ayat ini dan tolong sertakan alasan bagi setiap kesalahan. Terima kasih. | 1. Ayat yang betul, "Warna kereta itu sudah luntur". 2. Ayat yang gramatis ialah "Bolehkah kamu memberikan nasi lemak ini kepada Aiman?" 3. Ayat yang gramatis ialah "Mereka balik kampung menaiki kereta api." Perkataan "balik ke" mempunyai unsur kelewahan. 4. Ayat yang gramatis ialah "Banyak kanak-kanak di taman asuhan itu bijak berbahasa Inggeris." "Ramai" menunjukkan suasana, manakala "banyak" menunjukkan bilangan. 5. Ayat yang gramatis ialah "Paru-paru merupakan organ pernafasan manusia." Tidak perlu perkataan "kepada" kerana perkataan "merupakan" telah menunjukkan keterangan pemilikan. 6. Terdapat pengulangan perkataan "itu" dalam satu ayat. Boleh ditukarkan menjadi "Pengawal tersebutlah yang sedang bertugas ketika itu." 7. Ayat yang gramatis ialah "Feri itu berlabuh di dermaga untuk memunggah barang." Perkataan "menepi ke" mengelirukan. 8. Ayat yang gramatis ialah "Lebihan lauk-pauk itu dibawa pulang oleh Mak Munah." Perkataan "saki-baki" dalam konteks makanan membawa konotasi yang negatif. | Tatabahasa | 26.11.2014 |