Yang mana betul? A) Pasaraya Jusco B) Pasar Raya Jusco Yang mana betul? A) Leburaya Persekutuan B) Lebuh Raya Persekutuan Terima kasih | Saudara, Ejaan yang betul adalah seperti yang berikut: i. Pasar Raya Jusco ii. Lebuh Raya Persekutuan Kedua-dua perkataan pasar raya dan lebuh raya ialah kata majmuk dan dieja sebagai dua perkataan. | Ejaan | 08.02.2010 |
1.Sayur-sayuran yang dijual di Pasar raya Giant sangat segar. 11.Kata-katanya yang tajam itu masih segar dalam ingatan saya. 111.Dia berasa segar setelah mandi. 1V.Bunga mawar itu menjadi segar semula setelah menyirami air. jawapan :II,III &IV. mengapa 1 salah?? | Ayat yang betul ialah ii. dan iii. Ayat i. mempunyai kesalahan dari segi ejaan, iaitu perkataan "raya" sepatutnya dieja dengan huruf besar, iaitu Raya kerana Pasar Raya Giant ialah nama khas. Ayat iv. mempunyai kesalahan pada perkataan "menyirami". Ayat yang betul ialah: Bunga mawar itu menjadi segar semula setelah disirami air. | Tatabahasa | 23.11.2012 |
“Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah ….” Pasangan “antara – ialah” seperti dalam ayat ini kerap kita temukan dan saya juga menggunakannya. Benarkah penggunaan kata “ialah” dalam ayat ini SALAH? Jika benar, mengapa dan apa pula pasangan yang betul? | Penggunaan kata pemeri "ialah" hadir di hadapan atau sebelum kata nama dalam sesuatu ayat. Misalnya: (i) Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara. (ii) Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia. Oleh yang demikian, ayat saudara: Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah ….” betul penggunaannya mengikut tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini, demikian kata "ialah" dalam ayat ini menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Walau bagaimanapun, tidak tepat sekiranya sdr mengatakan "antara-ialah" sebagai pasangan. Terdapat juga perkataan "antara" - "dengan". Misalnya; (i) Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. Ayat sdr seperti yang di atas dapat juga dibina seperti berikut: (ii) Antara barang yang kami beli di pasar raya itu termasuk garam, gula, kopi, dan teh. Sekiranya saudara ingin memahami penggunaan kata sendi dan kata pemeri, sdr boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terbitan DBP. | Tatabahasa | 23.02.2009 |
MOHON NASIHAT PENGGUNAAN PERKATAAN KE DAN KEPADA. | Ke : i. awalan untuk membentuk bilangan yang menunjukkan kedudukan dalam siri atau urutan (kelapan, ketiga); ii. awalan membentuk kata nama (kekasih, kecantikan); iii. kata sendi yang menunjukkan arah (ke utara); iv. Pergi (menuju sesuatu tempat) - ke pasar. Kepada : i. Kata untuk menyatakan arah (mengirim surat kepada adiknya); ii. Terhadap, akan (jangan buat jahat kepada orang); iii. Daripada, pada (Beliau penolong kepada Pegawai Daerah). | Makna | 17.01.2008 |
saya kurang arif mengenai penambahan 'kan'. | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Untuk penjelasan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Empat, halaman 183,184,185 | Tatabahasa | 03.07.2014 |
Saya ingin bertanya perihal perkataan 'pun'. 1) Adakah ianya boleh digunakan di akhir ayat seperti dalam ayat berikut: Di bilik itu tiada sesiapa pun. 2) Dalam ayat-ayat berikut, ayat yang manakah mengandungi kesilapan penggunaan 'pun'? i) Di bilik ini tiada sebuah pun kerusi. ii) Di bilik ini tiada sebuah kerusi pun. iii) Di bilik ini sebuah kerusi pun tiada. Terima kasih. | Kata penegas pun ditulis terpisah daripada perkataan yang mendahuluinya jika pun bermaksud: (a) juga - Adik pun ingin pergi ke pasar (b) bahkan - Berjalan pun dia tidak boleh, apatah lagi berlari. (c) biar - Betapa sukar pun projek itu, dia tetap akan meneruskannya. (d) menguatkan pokok ayat - Tidak ada seorang pun calon yang gagal dalam ujian itu. (e) turutan - Selepas itu, pasukan polis pun bertindak. (f) penguat kata ganti tak tentu - Sesiapa pun boleh masuk./Apa-apa pun boleh dibincangkan. Merujuk pertanyaan daripada tuan, cadangan jawapan adalah seperti yang berikut 1. Di bilik itu tiada sesiapa pun. (√) 2. Di bilik ini tiada sebuah pun kerusi (×) 3. Di bilik ini tiada sebuah kerusi pun (√) 4. Di bilik ini sebuah kerusi pun tiada (√) | Tatabahasa | 07.02.2019 |
Saya masih samar-samar tentang cara penggunaan akhiran "kan" pada kata kerja . Apakah peraturan-peraturannya? Sekian. Terima kasih | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Untuk penjelasan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Empat, halaman 183,184,185. | Lain-lain | 29.07.2010 |
masalah penggunaan 'kan". keadaan bagaimana verb boleh tambah 'kan'. keadaan bagaimana 'kan' dihujung kata perbuatan tak patut letak 'kan' . saya perlu jawapan segera, kerana banyak 'kan' saya kena potong oleh supervisor semak thesis phd | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Mohon tuan dapat berikan contoh penggunaan -kan dalam tesis yang diterima dan dipotong. | Tatabahasa | 03.07.2014 |
Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
bagaimanakah penggunaan tanda koma yang sebetulnya dalam ayat: Kami membeli pelbagai jenis sayur-sayuran seperti bayam kangkung sawi dan kobis. Adakah 'simpati' satu perkataan ataupun berasal dari 'simpat' dengan imbuhan akhiran 'i'? Sekian terima kasih. | Tanda koma berfungsi sebagai i. unsur pemisah kata dan frasa yang berurutan. Contoh, kami membeli sayur-sayuran seperti bayam, kangkung, sawi dan kubis; Bendera itu berjalur merah, putih dan biru. ii. Mengapit aposisi"dan sebaginya","dan yang lain", dan seumpamanya. Contoh, Sayur kubis, bayam,salad,kangkung,sawi, dan sebagainya, banyak dijual di pasar tani. Perkataan 'simpati' ialah satu perkataan dan bukan daripada perkataan 'simpat' dengan imbuhan akhiran'i'. Makna perkataan 'simpati' ialah 1. perasaan belas kasihan, timbang rasa, dsb terhadap seseorang atau sesuatu, terutamanya apabila ditimpa kesusahan: bencana spt itu seharusnya mendapat ~ dan bantuan dr dlm dan luar negeri; 2. perasaan bersetuju dgn menyokong sesuatu idea, pendapat, dsb bagi tujuan tertentu; Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Tatabahasa | 11.08.2009 |