Saya ada terlihat di dalam buku teks tahun 4, perkataan "bawa", kata imbuhan pen + an = pembawaan. Soalan saya bagaimana nak terangkan pada anak2 imbuhan pen + bawa + an = pembawaan ? Adakah kata imbuhan "pem" wujud ? Sekian, terima kasih. | Menjawab soalan saudara, imbuhan peN-...-an menjadi pem-...-an apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf b, dan perkataan pinjaman yang bermula dengan huruf-huruf b, f, dan v serta gugus konsonan yang bermula dengan huruf p dan b. Contohnya seperti pembawaan , pembacaan dan juga pembajakan. Bagi membantu saudarai mendapat penerangan terperinci berkaitan perkara ini, saudara boleh membuat rujukan pada Buku Tatabahasa Dewan muka surat 121. | Tatabahasa | 03.04.2007 |
Jelaskan perbezaan imbuhan per- bagi perkataan perburu dan imbuhan pem- bagi perkataan pemburu. | Berburu ialah orang yang mengejar untuk menangkap (membunuh) binatang liar, manakala pemburu ialah orang yang mengejar atau menyusul untuk menangkap sesuatu sama ada orang, binatang, dan sebagainya. | Tatabahasa | 04.10.2009 |
Saya ingin bertanya bagaimanakah istilah 'pempengaruh' yang bermaksud 'influencer' terbentuk? Mengapakah imbuhan awalan 'pem-' digunakan? Terima kasih | Istilah 'influencer' diberikan padanan pempengaruh dalam bidang Komunikasi. Mohon maklum bahawa pembentukan istilah mempunyai kekecualian, antaranya faktor penyesuaian dengan bunyi atau sebutan, iaitu pempengaruh lebih mudah disebut daripada pepengaruh. Selain itu, perbezaan bentuk-bentuk imbuhan juga boleh dipengaruhi oleh faktor perkembangan dan perancangan bahasa yang menghasilkan bentuk-bentuk yang tidak mematuhi kelaziman peraturan fonologi bahasa Melayu. | Istilah | 13.04.2020 |
Apa kata lawan bagi perkataan 'fitrah' (tabiat, sifat semulajadi). Sekian, terima kasih. | Fitrah bermaksud tabii, iaitu mengikut sifat (keadaan, pembawaan dll) yang asli atau yang semula jadi. Dalam sumber rujukan kami tidak ada satu perkataan khusus yang menjadi kata lawan bagi kata fitrah, kata lawan yang berdekatan dengan maksud fitrah ialah sifat yang terhasil melalui rekaan, ciptaan, lakonan dan sebagainya. | Tatabahasa | 08.12.2010 |
piagam | Saudara Nureen, Tiada soalan dikemukakan. Walau bagaimanapun, makna piagam ialah 1. surat rasmi yg menyatakan pemberian hak atau tanah dll (tertulis pd batu, logam, dll); 2. surat atau tulisan rasmi yg mengandungi pernyataan dan persetujuan tentang sesuatu (dasar dll): ~ BB itu dibentuk oleh negara-negara anggota BB sendiri; 3. ark diploma, ijazah; memiagamkan menentukan (menyatakan) sesuatu dlm piagam. Sila kemukakan soalan semula sekiranya ada. | Lain-lain | 11.05.2010 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang sebutan baku bahasa Melayu. Bolehkah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris dibakukan sebutan mengikut ejaannya? | Pembakuan bahasa Melayu bermaksud proses penyeragaman sistem bahasa mengikut rumus-rumus dan peraturan bahasa yang ditetapkan dan digunakan dalam suasana rasmi. Komponen yang terdapat dalam bahasa baku ialah ejaan, tatabahasa, peristilahan, perbendaharaan kata, gaya atau laras bahasa dan sebutan. Oleh itu, kata pinjaman daripada bahasa Inggeris hendaklah dibakukan sebutannya. Sila rujuk buku Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu, DBP,1988, Daftar Umum Sebutan Bahasa Melayu, DBP, 1991 dan Pedoman Sebutan Baku Bahasa Melayu, DBP,1994. | Tatabahasa | 03.03.2009 |
Mohon pihak DBP menukar ejaan istilah 'influencer' dalam bahasa Melayu iaitu 'pempengaruh'. Ini melanggar hukum tatabahasa Melayu sendiri apabila pe- bertemu 'p' dan bertukar menjadi 'pem-' seperti dalam pemutar (putar), pemijak (pijak) dan pemukul (pukul). Mengapalah dibuat begitu???? | Istilah 'influencer' diberikan padanan pempengaruh dalam bidang Komunikasi. Mohon maklum bahawa pembentukan istilah mempunyai kekecualian, antaranya faktor penyesuaian dengan bunyi atau sebutan, iaitu pempengaruh lebih mudah disebut daripada pepengaruh. Selain itu, perbezaan bentuk-bentuk imbuhan juga boleh dipengaruhi oleh faktor perkembangan dan perancangan bahasa yang menghasilkan bentuk-bentuk yang tidak mematuhi kelaziman peraturan fonologi bahasa Melayu. | Ejaan | 04.04.2019 |
Selamat sejahtera. Apakah perbezaan antara imbuhan apitan"per...an" dan "peN...an"? Terima kasih | Apitan peN-...-an boleh membentuk empat alomorf, iaitu pe-...-an, pem-...-an, pen-...-an, dan peng-...-an berdasarkan huruf pertama pada kata dasar yang bercantum dengan bentuk apitan itu. Aspek makna mengikut alomorf yang dibina (sila rujuk buku tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 121 - 127. Apitan per-...-an mempunyai satu bentuk sahaja dan membentuk makna tempat, seperti perkampungan; dan membawa makna abstrak, seperti perakuan. Untuk maklumat lanjut, siila lihat buku yang sama, halaman 127 - 131. | Tatabahasa | 21.01.2016 |
Assalamualaikum. Berkaitan dengan penggunaan imbuhan. Hampir semua buku nahu yang telah saya telitikan, setiap imbuhan ditulis sedemikian: peR- meN- beR- Sebagai seorang penuntut Bahasa Melayu, saya ingin mengetahui hujah dan sebabnya. Terima kasih. Assalamualaikum | Awalan peN-, peR-, beR-, teR- dan sebagainya ditulis sedemikian menandakan bahawa bentu-bentuk awalan tersebut boleh berubah bergantung pada huruf pertama pada kata dasar yang akan bercantum dengan awalan tersebut; dan perkembangan serta perancangan bahasa menghasilkan menghasilkan bentuk-bentuk yang tidak mematuhi kelaziman peraturan fonologi bahasa Melayu. Contohnya: (i) peN- menjadi pem- apabila bergabung dengan kata dasar bermula dengan huruf b dan kata pinjaman yang bermula dengan huruf b, f dan v serta gugus konsonan yang bermula dengan huruf b dan p seperti peN + baca menjadi pembaca dan peN + fatwa menjadi pemfatwa. (ii) Awalan peN- menjadi peN- apabila bertemu dengan kata dasar yang bermula dengan huruf d, c, j, sy dan z dan kata pinjaman yang kata dasarnya bermula dengan huruf t dan s seperti peN + dapat menjadi pendapat dan peN + syarah menjadi pensyarah. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 108 dan 161. | Tatabahasa | 12.09.2011 |
Baaaimana pembetukan kata: a. pembelajaran b. pemelajaran | Pembentukan kedua-dua perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:
Ajar---> belajar--> mempelajari---> pemelajaran. Dengan berdasarkan rumus tersebut di atas, pemelajaran bermaksud aktiviti mempelajari (Transitif).
Ajar-->belajar-->pembelajaran. Dengan berdasarkan rumus tersebut, perkataan pembelajaran bermaksud aktivti belajar (Tak Transitif).
| Tatabahasa | 08.12.2011 |