| saya kurang arif mengenai penambahan 'kan'. | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Untuk penjelasan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Empat, halaman 183,184,185 | Tatabahasa | 03.07.2014 |
| 1.apakah perbezaan antara penambahan dan pertambahan?penambahan bilangan sekolah sedang diusahakan oleh pihak tertentu.adakah ayat ini betul?kalau betul mengapa? 2.apakah perbezaan antara imbuhan mem...i atau mem...kan. terima kasih | Saudara Khoo, 1. Perkataan pertambahan bermaksud perihal bertambah: penduduk luar bandar sedang mengalami ~ besar; Perkataan penambahan bermaksud 1. perihal menambah (menambahi, menambahkan), perihal memberi tambahan pd; 2. perihal memberi imbuhan pd kata pokok. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. Dalam hal ini ayat yang betul ialah 'Penambahan bilangan sekolah sedang diusahakan oleh pihak tertentu. 2. Imbuhan meN...kan dan meN...i berbeza dari segi fungsinya. MeN...kan menandakan kausatif manakala meN...i menandakan lokatif. Contohnya, a. Pak Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat, halaman 197-207. | Tatabahasa | 25.08.2009 |
| Maaf kerana menggangu anda. Saya ingin bertanya tentang satu soalan. Apakah perbezaan antara perkataan "mendapat" dan "mendapatkan"? Selepas penambahan akhiran -kan kepada perkataan mendapat, apakah pula perbezaannya? Bagaimanakah penggunaan kata mendapat dan mendapatkan? Tolong berikan ayat contoh untuk saya menjelaskan perbezaan perkataan mendapat dan mendapatkan ini. Sekian, beribu-ribu terima kasih saya ucapkan kepada tokoh bahasa Melayu yang saya sanjung. Tambahan pula, antara perkataan menyanjung (sanjung) dengan menyanjungi (sanjungi), apakah perbezaan maksudnya? | Kata mendapat sebagai bentuk terbitan daripada kata dapat mempunyai erti yang berbeza dengan kata “dapat”. Kata mendapat bererti “menerima atau beroleh”. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut: 1. Saya sudah mendapat maklumat yang saya perlukan. 2. Para pekerja mendapat upah daripada titik peluh mereka. Kata mendapatkan mempunyai makna-makna yang lain. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut: 1. Anak kecil itu segera mendapatkan ibunya apabila dipanggil. (mendapatkan bererti “pergi kepada”) 2. Kamsiah mendapatkan adiknya pakaian yang digemarinya. (mendapatkan bererti “mendapat atau beroleh sesuatu untuk orang lain”) 3. Untuk mendapatkan hasil yang lumayan, kita perlu berusaha. (mendapatkan bererti “berusaha memperoleh sesuatu”). Sila rujuk buku Kamus Dewan untuk memahami makna setiap perkataan. | Makna | 27.04.2014 |
| Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai penambahan imbuhan (atau kata sambungan yang lain) kepada perkataan bukan Bahasa Melayu. Contoh yang kerap muncul dalam penulisan ialah: -Best-nya cerita ni! -Ter-over pulak! -Try-lah yang lain. -Tolong print-kan -Dia meng-italik-kan perkataan Jerman itu (dan lain-lain) Adakah wujud peraturan tatabahasa untuk kategori ini? Bagaimana sepatutnya ia ditulis? Adakah dengan meletakkan sengkang seperti di atas, atau perkataan itu dicondongkan dan disambung sahaja seperti perkataan Bahasa Melayu? Terima kasih atas maklum balas. | Untuk makluman perkataan yang menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tidak diterima sebagai bentuk yang rasmi dalam bahasa Melayu. Bentuk ini biasanya digunakan dalam bahasa percakapan seharian yang tidak mempunyai kaedah rasmi yang khusus untuk menulis perkataan tersebut. Perkataan seperti "best, over, try dan print" telah ada padanan bahasa Melayunya dan tidak perlu ditulis dalam bahasa Inggeris. | Tatabahasa | 28.01.2016 |
| Salam, Adakah benar tidak ada penambahan 3 imbuhan dalam ayat bahasa Melayu? Contohnya, mempertahankan, memperkemaskan, memperindahkan, mempersaudarakan dan lain-lain lagi. JIka tidak benar, apakah prinsip atau rumus untuk mengetahui bahawa terdapat 3 penambahan imbuhan dalam ayat bahasa Melayu? Terima kasih. | Dalam tatabahasa bahasa Melayu, terdapat apitan kata kerja mempeR-...-kan. Golongan kata nama dan kata kerja bergabung dengan apitan "mempeR-...-kan" untuk membentuk kata kerja seperti memperkenalkan, memperdengarkan, memperlihatkan (kata kerja), memperisterikan, memperbudakkan (kata nama) dll. Apitan mempeR-...-kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam maksud kata kerja. Apitan mempeR-...-kan dengan kata nama membawa maksud kausatif. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 208. | Tatabahasa | 10.12.2010 |
| Bagi ayat dibawah ini, didapati perkataan "diasinkan" mempunyai imbuhan "-kan". Adakah perkataan "dikon, diawet dan dijeruk juga perlu ditambah imbuhan -kan? (7) Manufactured meat may contain— (a) where such meat or part of such meat is corned, cured, pickled or salted, sodium nitrite, potassium nitrite, sodium nitrate or potassium nitrate, alone or in combination, as permitted preservative, provided that the final product does not contain more than 200 ppm of total nitrate and nitrite calculated together as sodium nitrite; (7) Daging kilangan boleh mengandungi— (a) jika daging atau sebahagian daripada daging itu dikon, diawet, dijeruk atau diasinkan, natrium nitrit, kalium nitrit, natrium nitrat atau kalium nitrat, sendirinya atau dalam kombinasi, sebagai bahan pengawet yang dibenarkan, dengan syarat bahawa hasil terakhirnya itu tidak mengandungi lebih daripada 200 bsj jumlah nitrat dan nitrit dihitung bersama sebagai natrium nitrit | Kata terbitan terhasil melalui penambahan awalan, akhiran dan apitan. Ada perkataan yang boleh menerima awalan meN... atau apitan meN...kan (bentuk pasif di...kan) dan ada yang boleh menerima kedua-dua bentuk terbitan. Hal ini perlu merujuk kamus untuk memastikan pembentukan kata yang betul. Dalam konteks ayat yang diberikan, corned dalam bidang istilah diterjemah kepada kon seperti daging kon. Walau bagaimanapun dalam konteks umum, perkataan tersebut diterjemahkan kepada maksud yang terkandung dalam perkataan tersebut, contoh meat is corned ... boleh diterjemahkan kepada daging yang digaramkan (iaitu proses membubuh garam pada daging), diawet, dijeruk ... Corned dan salted sekiranya membawa maksud yang sama diterjemahkan sekali sahaja. | Istilah | 05.06.2021 |
| Assalam. Tuan/Puan, Saya nak bertanya adakah penggunaan ayat bagi tema "Budayakan Inovasi Semarakkan Produktiviti" ini bersesuaian dan tepat. Sekiranya tidak bersesuaian, memohon cadangan dan pembetulan ayat bagi tema tersebut. Sekian, terima kasih. | Produktiviti ialah daya pengeluaran, lazimnya perkataan ini dirangkaikan dengan kata yang memberi makna penambahan kepada produktiviti seperti meningkatkan produktiviti. Kami juga berpandangan, bentuk kata terbitan me-/meN-...-kan lebih sesuai digunakan bagi menunjukkan kebersamaan seperti "Membudayakan Inovasi, Meningkatkan Produktiviti".
| Tatabahasa | 24.04.2015 |
| apa perbezaan perkataan memperundangkan dan diperundangkan. dalam cheking spelling dalam dewan eja pro tidak ada perkataan diperundangkan. tetapi perkataan ( diperun dang) ada. kenapa diperun (jarak) dang. Dieja dengan dua perkataan. terima kasih. | Tuan Rusli, Menurut Kamus Dewan dan Dewan Eja Pro kata "memperundangkan" iaitu menjadikan sesuatu undang-undang: Manakala kata "diperundangkan" merupakan kata yang dipasifkan dengan penambahan imbuhan diper-...-kan dalam ayat pasif. Contoh ayat: segala hukum yang diperundangkan oleh Allah terhadap hambanya.(Mohon rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat dan Dewan Eja Pro dengan mencari kata dasar" undang", tuan akan menemukan subentri perkataan memperundangkan dan diperundangkan ). | Tatabahasa | 02.05.2009 |
| apa perbezaan perkataan memperundangkan dan diperundangkan. dalam cheking spelling dalam dewan eja pro tidak ada perkataan diperundangkan. tetapi perkataan ( diperun dang) ada. kenapa diperun (jarak) dang. Dieja dengan dua perkataan. Adakah ayat ini betul: perlu letak diperundangkan atau memperundangkan. Enakmen pinjaman Negeri Pulau Pinang projek bangunan arkib dan pusat makanan laut di Batu Kawan 2009, maka dengan ini adalah diperundangkan oleh kuasa undangan Negeri Pulau Pinang. terima kasih. | Tuan Rusli, Menurut Kamus Dewan dan Dewan Eja Pro kata "memperundangkan" iaitu menjadikan sesuatu undang-undang: Manakala kata "diperundangkan" merupakan kata yang dipasifkan dengan penambahan imbuhan diper-...-kan dalam ayat pasif. Contoh ayat: segala hukum yang diperundangkan oleh Allah terhadap hambanya.(Mohon rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat). Bersama-sama ini disertakan ayat tuan yang telah diedit oleh pihak kami: Maka dengan ini, Enakmen Pinjaman Negeri Pulau Pinang yang diperundangkan oleh kuasa undangan Negeri Pulau Pinang terhadap projek bangunan arkib dan pusat makanan laut di Batu Kawan 2009. Walau bagaimanapun, ayat ini bergantung pada konteks keseluruhan dokumen yang ada pada pihak tuan. | Tatabahasa | 02.05.2009 |