Adakah wujud perkataan ‘pengkumur’ untuk menggantikan perkataan ‘mouthwash’? Saya terpanggil untuk menyemak setelah melihat penggunaan perkataan ini dalam satu iklan ubat kumur di media massa. Untuk imbuhan peng, apakah hukum (rules) imbuhan secara umum? Mengikut pemahaman saya, untuk perkataan bermula dengan k, huruf k digugurkan apabila imbuhan peng ditambah (prefix). Eg: kawal - pengawal. Adakah huruf k dikekalkan hanya untuk kata pinjaman? Eg: katalog - pengkatalogan. Bagaimana pula dengan perkataan kelas yang merupakan kata pinjaman inggeris ‘class’ namun menjadi pengelasan dan bukannya pengkelasan. Adakah terdapat faktor tambahan dalam kes ini? | 1. Kata pengkumur masih belum terakam dalam kamus terbitan DBP. Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat. Berdasarkan korpus, kata pengkumur mulut untuk ‘mouthwash’ adalah lebih tinggi kekerapannya berbanding pengumur. Dari segi semantik jika menggunakan perkataan pengumur, makna pertama yang muncul dalam minda masyarakat ialah perkaitan makna dengan kata akar umur, berbanding apabila menggunakan pengkumur, masyarakat akan terus mengaitkan makna bagi kata akar kumur. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 109, huruf p, t, k, s pertama pada kata dasar yang bercantum dengan awalan peN-, huruf pertama tersebut akan luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya dengan bunyi pertama pada kata dasar, iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s, seperti dalam contoh yang berikut. Contoh: pemukul (pukul), penahan (tahan), pengarang (karang) dan penyelam (selam). 2. Huruf pertama pada kata dasar yang bercantum dengan apitan peN-…-an tidak akan luluh untuk kata pinjaman seperti penkatalogan. Contoh lain: pemprosesan (proses), pengkateran (kater), dan pemvetoan (veto). (rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 107-111) 3. Walau bagaimanapun, kata asing yang telah terserap dalam bahasa Melayu, huruf pertama kata dasarnya akan luluh apabila menerima imbuhan apitan peN-…-an. Contoh: penyeteman (setem), pengelasan (kelas), penelefon (telefon). | Tatabahasa | 08.06.2024 |
saya ingin bertanya, adakah imbuhan pe/peng juga boleh merujuk kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan? saya ingin mendapatkan takrifan bagi perkataan pengguna. contoh : pak mat membeli freskis untuk kucingnya tompok. pak mat tidak makan freskis itu. tompok yang makan. siapakah pengguna freskis itu? pak mat atau tompok? atau kedua-duanya? terima kasih. . | Pengguna bermaksud orang dan lain-lain yang menggunakan termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Hal ini boleh dijelaskan melalui konteks ayat atau penceritaan dalam ayat. Berdasarkan contoh ayat yang diberikan mudah untuk kita menentukan siapa yang menggunakan/makan makanan tersebut. | Tatabahasa | 04.12.2012 |
Saya dimaklumkan oleh rakan sejawat bahawa penggunaan imbuhan peng- adalah salah bagi perkataan libat. Berdasar carian soalan khidmat nasihat dinyatakan PELIBATAN adalah tepat dan PENGLIBATAN juga telah dientrikan sebagai betul berdasarkan keadaan semasa. Saya membuat carian di dalam kamus online dbp dan dinyatakan carian kata PELIBATAN tidak ditemui di dalam kamus terkini. Mohon pencerahan berkenaan penggunaan yang terkini. PELIBATAN atau PENGLIBATAN? | Apitan kata nama peN-...-an menjadi pe-...-an apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf m, n, ng, r, l, y, dan w. Oleh itu, kata terbitan yang tepat bagi libat ialah pelibatan. Walau bagaimanapun, kata terbitan penglibatan juga telah mantap penggunaannya dalam bahasa Melayu. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), hlm. 121-122. | Tatabahasa | 18.07.2024 |
Kami sekeluarga atau saya sekeluarga? | Yen Peng, Kedua-dua ayat ini betul tetapi kita perlu ingat bahawa saya digunakan sekiranya hanya seorang yang bercakap, manakala kami merujuk lebih daripada seorang. Terima kasih | Makna | 25.03.2010 |
Soalan ini berdasarkan soalan saya yang lepas. Berdasarkan hukum tatabahasa awalan kata nama, PEN- menjadi peng- apabila digabungkan dengan kata dasar yang bermula dengan huruf "g" dan "h" dan "a, "e", "i", "o", "u", serta ada pengecualian untuk kata dasar yang bermula dengan huruf K. Soalan saya adalah terjemahan yang sesuai untuk istilah nama panggilan ayam belanda dalam bahasa Inggeris iaitu Strutter dan Gobbler. Strut ialah perbuatan mengigal. Gobbler ialah ayam belanda jantan, tapi bagi istilah ini adalah panggilannya sebagai haiwan yang suka berkelokok. Bolehkah strutter diterjemahkan kepada pengigal dan gobbler diterjemahkan kepada pengelokok berdasarkan hukum kata awalan. Rujukan di muka surat 111 buku Tatabahasa Dewan Edisi Tiga. Terima kasih. | Berdasarkan rumus tatabahasa, kata terbitan yang boleh dibentuk ialah pengigal dan pengkelokok. Walau bagaimanapun, kedua-dua bentuk kata ini tidak ditemukan dalam mana-mana sumber rujukan mahu pun carian di Internet. Kata pengigal mungkin boleh dibentuk, namun agak janggal untuk kata pengkelokok. | Penyemakan dan penterjemahan | 08.08.2021 |
penggunaan apitan kata nama:penge-...an, per-..-an dan apitan me-..-kan | Apitan peng-...-an menjadi penge-...-an apabila bergabung dengan kata dasar yang berekasuku kata, iaitu kata dasar yang mempunyai satu suku kata sahaja, contohnya syor menjadi pengesyoran dan bom menjadi pengeboman. Apitan peR-...-an mempunyai satu bentuk sahaja, iaitu per-...-an apabila bergabung dengan semua kata dasar yang bergabung itu berawalkan huruf r. Dua huruf r yang bergabung itu akan menjadi satu r melalui proses peleburan, contohnya satu menjadi persatuan. Apitan me-...-kan tergolong dalam apitan kata kerja, contohnya main menjadi memainkan dan sebagainya. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 70, 124-129 untuk memahaminya dengan lebih lanjut. | Tatabahasa | 10.06.2009 |
Apakah perbezaan penggunaan perkataan "usaha sama" dengan "kerjasama"? Terima kasih | Usaha sama membawa maksud perusahaan (kegiatan, peng-hasilan, perniagaan, dll) yg diusahakan ber-sama oleh dua atau beberapa pengusaha (syarikat dll) sbg suatu perkongsian. Manakala, kerjasama membawa maksud 1. kerja (usaha dsb) bersama-sama atau saling membantu (antara dua atau beberapa pihak), gotong-royong 2. sumbangan pelbagai rupa (bersifat bantuan tenaga, sokongan, persefahaman, dll) dr satu pihak kpd pihak yg lain utk faedah bersama. kerjasama merupakan kata nama bagi padanan bahasa Inggeris "collaboration". Manakala, usaha sama kata adjektif bagi padanan "collaborative"
| Makna | 29.04.2015 |
apakah perbezaan antara menghadkan dan mengehadkan | Perkataan yang betul ialah mengehadkan, bukan menghadkan. Peng- menjadi penge- apabila bergabung dengan kata dasar yang mempunyai satu suku kata sahaja, baik perkataan Melayu ataupun perkataan pinjaman. Contoh lain: cat - pengecat, bom - pengebom, pam - pengepam. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 111. | Istilah | 16.07.2009 |
Singkatan EDITOR ILLUSTRATOR PENTERJAMAHAN PENYUSUN PENGARANG PERSEMBAHAN TIADA TEMPAT PENERBIT TIADA TARIKH PENULIS PENERBIT | Editor - Ed. Illustrator - Ilust. Penterjemah - Pent. Penyusun - Peny. pengarang - Peng. Tiada Tempat penerbit - t.t.p. (cadangan) Tiada tarikh - t.t. (cadangan) | Penyemakan dan penterjemahan | 03.09.2013 |
Salam, Boleh saya tahu perbezaan maksud 'perantara' dan 'pengantara' serta konteks penggunaan kedua-duanya? Terima kasih. | Menurut data kami, perkataan perantara membawa maksud orang tengah, penghubung (dalam perundingan dan lain-lain): dia hanya berlaku sebagai ~ dalam perselisihan saya dengan Leman. (Kamus Dewan Edisi Keempat) manakala pengantara bermaksud 1. perihal mengantarai (bertindak sebagai orang tengah): dalam pertikaian antara Malaysia dgn Indonesia diminta ~ dari negeri Siam; 2. penghubung (antara dua orang dan lain-lain): saya kirim surat ini dengan ~ kawan saya; 3. = dengan ~ dengan jalan, melalui: kursus itu diberikan dengan ~ radio; 4. ark hubungan (pertalian, pergaulan): ~ dgn majikannya sudah kurang baik; (Kamus Dewan Edisi Keempat)Sehubungan dengan itu, kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan kerana membawa maksud hampir sama. | Makna | 12.08.2018 |