Adakah kata "pengaruh" berasal dari kata "aruh"? | Pengaruh yang mempunyai makna pengalir berbentuk gelung yang menghasilkan medan magnet (induktor) terbit daripada kata aruh. Manakala pengaruh yang mempunyai makna: kebolehan atau kelebihan yang ada pada seseorang atau sesuatu yang dapat mengubah pandangan, fikiran dan sebagainya seseorang; keupayaan yang ada pada alkohol, dadah dan sebagainya hingga dapat menguasai kewarasan seseorang; kuasa yang disebabkan oleh kedudukan, kekayaan dan sebagainya seseorang atau sesuatu pihak; berdiri sendiri sebagai kata dasar yang menjana terbitan lain seperti berpengaruh, mempengaruhi, pengaruh-mempengaruhi dan terpengaruh. | Lain-lain | 12.05.2025 |
Salam sejahtera, Adakah "needle test probes" sesuai diterjemahkan kepada "kuar uji jarum"? Frasa digunakan dalam bidang kejuruteraan. Mohon pendapat dan bantuan pihak DBP. Terima kasih. | Dalam data kami kami, kuar uji ialah jarum logam daripada bahan pengalir yang hujungnya bermata tajam atau bercangkuk yang digunakan untuk memeriksa litar dengan menyentuhkan mata kuar tersebut pada litar. Hujung kuar pula disambungkan pada peralatan pengukuran. Jika needle test probes ialah alat kami merasakan terjemahan yang lebih sesuai ialah jarum kuar uji. | Penyemakan dan penterjemahan | 21.11.2018 |
Assalamualaikum Tuan, Pertanyaan saya seperti berikut: - 1) “Junk cleaner analyzes background hibernate apps and running apps overheating your phone” diterjemahkan kepada “Pembersih sarap menganalisa aplikasi berehat sementara latar belakang dan aplikasi yang sedang berjalan yang menjadikan telefon anda terlampau panas”. Adakah “hibernate” sesuai diterjemahkan kepada “berehat sementara”, “hibernat” dan “hibernasi”? Jika tidak sesuai, diharap tuan dapat memberikan penjelasan dan perkataan yang betul serta penggunaan imbuhan yang tepat. 2) “Battery Power Saver extend battery life by analyzing battery status and hibernating battery-draining apps.” diterjemahkan kepada “Penjimat Kuasa Bateri memanjangkan hayat bateri dangan menganalisa status bateri dan merehatkan sementara aplikasi pengalir bateri.” Adakah “hibernating” sesuai diterjemahkan kepada “merehatkan sementara”, “menghibernatkan” dan “menghibernasikan”. Jika tidak sesuai, diharap tuan dapat memberikan penjelasan dan perkataan yang betul serta penggunaan imbuhan yang tepat. Sekian, terima kasih. | Waalaikumussalam. Terjemahan yang sesuai adalah seperti yang berikut: 1) Pembersih sarap menganalisis aplikasi rehat sementara di latar belakang dan aplikasi sedang jalan yang menjadikan telefon anda terlampau panas. 2) Penjimat Kuasa Bateri memanjangkan hayat bateri dengan menganalisis status bateri dan aplikasi susut kuasa bateri yang sedang rehat sementara. Sekian. Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 03.03.2017 |