Apakah terjemahan untuk "ground arrangement" iaitu istilah yang biasa digunakan dalam industri agensi pelancongan? Cadangan saya ialah "pengaturan darat" atau "pengaturan atas tanah". Mohon khidmat nasihat untuk istilah yang bertepatan. | Dalam data rujukan kami, belum terdapat padanan istilah tersebut. Pihak kami akan mengemukakan perkataan tersebut dalam Jawatankuasa Istilah untuk mendapatkan padanan yang sesuai. | Istilah | 24.02.2019 |
Bolehkah Title Transfer Collateral Arrangement diterjemahkan kepada Pengaturan Cagaran Pemindahan Hak Milik?Terima kasih | Dalam data kami collateral bermaksud cagaran atau sandaran. Jika konteks yang dimaksudkan ialah cagaran, maka terjemahan yang dicadangkan boleh diterima. | Penyemakan dan penterjemahan | 11.12.2018 |
Full Back to Back Guarantee Arrangemant | Padanan bahasa Melayu bagi istilah tersebut ialah pengaturan jaminan sandar-menyandar penuh. | Istilah | 24.03.2008 |
Salam sejahtera, Tuan, Saya sedang menulis tesis PHD di USM, justeru saya ingin mengetahui perkataan Melayu yang paling sesuai untuk perkataan bahasa Inggeris yang berikut; 1. self-determination 2. self regulation 3.psychological empowerment 4.self realization Mohon jasa baik tuan untuk membantu saya. Sejuta penghargaan dan terima kasih saya dahului. Yang benar, Sohba Velloo Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang | Cadangan kami, frasa yang berikut diterjemahkan kepada: 1. self-determination - penentuan diri, penentuan nasib sendiri 2. self regulation - pengaturan diri, pengaturan sendiri 3. psychological empowerment - pengehakupayaan psikologi 4. self realization - realisasi kendiri Untuk maklumat lanjut, sila rujuk www.prpm.dbp.gov.my. | Penyemakan dan penterjemahan | 26.12.2014 |
Apakah beza penyenggaraan dan penyelenggaraan? Adakah 'penyelenggaraan' lebih sesuai digunakan untuk peralatan komputer seperti PC, Server, Firewall dsb. dan adakah 'penyenggaraan' lebih sesuai digunakan ke atas sistem aplikasi? | Penyenggaraan bermaksud 1. penyelenggaraan, pengurusan, pengusahaan, pengelolaan, pengaturan, pengendalian, pentadbiran, pelicinan, pemberesan, penyusunan, penjagaan, pengawasan. Akasnya ialah pembengkalaian. Penyelenggaraan bermaksud 1. pengurusan: pengusahaan, pengelolaan, pelaksanaan, pengaturan, pengendalian, pentadbiran, pelicinan, pemberesan, penyusunan. Akasnya ialah pembengkalaian. 2. pemeliharaan: pembelaan, penjagaan, perawatan, perlindungan, pertolongan, penaungan, pengawasan. Akasnya ialah penderaan. Walaupun perkataan penyenggaraan dan penyelenggaraan mempunyai maksud yang sama bagi mengelakkan pembengkalaian, tetapi perkataan penyenggaraan lebih sesuai untuk kerja yang melibatkan peralatan atau perkakasan dan pengetahuan sains dan teknologi. Contohnya: penyenggaraan komputer, web, sistem, dan jentera. Penyelenggaraan boleh dilaksanakan oleh orang atau organisasi. Contohnya: penyelenggaraan taman, harta, pesakit, dan pameran. Untuk bidang komputer, perkataan penyenggaraan lebih digunakan. Perkataan penyelenggaraan boleh digunakan tetapi hendaklah sesuai mengikut konteks tugas yang dilaksanakan. | Makna | 28.04.2011 |
Bagi tujuan penyelidikan master, saya telah menggunakan istilah regulasi metakognitif, tetapi perkataan ini belum termasuk dalam kamus DBP, maksud regulasi juga tidak diketemui. Perkataan metakognitif adalah berasal daripada metakognisi iaitu bermaksud kognisi tentang kognisi. Walau bagaimana pun, perkataan metakognitif, kesedaran metakognitif, regulasi metakognitif telah digunapakai dalam penyelidikan ilmiah. Istilah regulasi sinonim dengan istilah pengaturan | Sila kemukakan soalannya berkaitan dengan penyataan itu. | Istilah | 19.06.2019 |
Sejahtera dan selamat pagi, pada 20/01/2014 saya pernah menanyakan istilah-istilah asli dlm bahasa Melayu utk "doktor",''seminar'',''kempen'',''modulasi'',''sistem'',''proses'',''konjugasi'' dan polis. Akan tetapi ahli bahasa mengatakan tidak ada istilah dlm bahasa Melayu. Baiklah, hari ini saya sudah menjumpai semua kata padanannya yg lebih tepat dan asli akan tetapi tak digunakan oleh ahli DBP sebagai bahasa yg lebih rasmi dlm bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu asli, "doktor" disebut "pengubat" atau "tabib" atau "pawang" atau "datu", "seminar" disebut "bengkel", "kempen" disebut "gerakan", "modulasi" disebut "pengawalaturan" atau "pengaturan", "sistem" disebut "tata" atau "susunan", "process" disebut "olah", "konjugasi" disebut "tasrif" atau "taarif", dan "polis" disebut "mata-mata", "piung", "bayangkar", "ketual", "katwal" dan sebagainya. Kenapa ahli bahasa tidak memelihara dan menjaga keaslian bahasa Melayu? | Istilah yang tuan kemukakan telah lama diterima dalam bahasa Melayu dan telah mantap penggunaannya. Walau bagaimanapun, tuan boleh mengemukakan cadangan ini kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka untuk dipertimbangkan. | Istilah | 13.02.2017 |