Apakah kata pengganti nama bagi barang. misalnya; Saya sukan akan basikal ini. Ia saya beli kelmarin. Betulkah penggunaan "Ia" itu? | Perkataan "ia" merupakan kata ganti nama orang ketiga, sama seperti "dia", "mereka" dan "-nya". Tiada kata ganti nama bagi barang. Dalam ayat tersebut perkataan "ia" digantikan dengan pengulangan perkataan basikal. Contoh: 1) Saya suka akan basikal itu. Basikal itu saya beli kelmarin. 2) Saya sukakan basikal yang saya beli kelmarin. | Tatabahasa | 06.12.2006 |
As salam / selamat sejahtera, Situasi: Ketua Syarikat bergelaran Datuk. Salutasi yang selalu digunakan untuk surat menyurat ialah YBhg. Datuk. Apabila dia meninggalkan tugas atas urusan rasmi, seorang pengganti telah dilantik untuk menjalankan tuga s-tugas beliau. Pengganti tersebut bukan bergelaran Datuk. Soalan saya: Dalam penyediaan dokumen untuk perakuan Ketua Syarikat (di mana dokumen tersebut akan diperakukan oleh pengganti sebagai mewakili Ketua Syarikat), apakah salutasi yang patut digunakan di dalam surat tersebut? Adakah kami perlu menggunakan YBhg. Datuk juga atau tuan sahaja. Mohon nasihat. Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan Yang Berbahagia ialah rujukan kehormat yang digunakan untuk mereka yang bergelar Tan Sri, Puan Sri, Datuk Seri, Datin Seri, Datuk Paduka, Datin Paduka, Dato, Datuk dan Datin (yang bukan wakil rakyat). Bagi situasi tersebut, saudari boleh menggunakan perkataan "tuan". | Tatabahasa | 18.07.2013 |
Salam, apakah terjemahan bahasa Melayu untuk istilah Inggeris berikut, "body double"? Untuk makluman body double merujuk kepada pelagak ngeri yang menjadi pengganti kepada pelakon sebenar ketika melakukan aksi-aksi berbahaya. Terima kasih. | Untuk makluman, belum ada istilah bahasa Melayu yang khusus untuk "body double". Istilah bahasa Melayu yang dicadangkan ialah pelakon pengganti. | Istilah | 16.10.2012 |
Assalammualaikum en. Soalan saya: 1. Apakah pengganti yang sesuai untuk ayat " Memori Korporat" 2. Adakah "Susur Galur Korporat" mempunyai makna yang sama dengan "Memori Korporat"? 2. Apakah term yang sesuai yang boleh digunapakai untuk menggantikan "korporat?" Terima kasih Encik | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud korporat ialah berkaitan dengan syarikat atau perbadanan. Jika ingin menukar perkataan korporat, cadangan daripada pihak kami tuan boleh menggunakan perkataan syarikat. | Istilah | 13.06.2019 |
Salam, Apakah perkataan handfon boleh digunakan sebagai pengganti istilah telefon bimbit? Sekian terima kasih! | Tidak boleh. Padanan dalam bahasa Melayu untuk perkataan Handphone ialah Telefon Bimbit. | Tatabahasa | 06.07.2020 |
Bolehkah menggunakan perkataan 'KE' untuk bertanya sebagai pengganti kata hubung 'atau' dan partikel '-kah'? Misalnya, betul ke tidak? Sudah masuk waktu Maghrib ke? | Penggunaan yang gramatis untuk ayat tanya ialah -kah. | Lain-lain | 23.11.2015 |
adakah perkataan 'akhirulkalamnya' atau 'akhirkalamnya'boleh digunakan sebagai pengganti perkataan 'kesimpulannya'dalam penutup karangan??? terima kasih | Akhir kalam sama maksudnya dengan akhir kata, dan lazimnya dalam penulisan disebut sebagai kesimpulan. | Tatabahasa | 31.07.2010 |
Saya ingin bertanya mengenai penggunaan perkataan "ke" yang seringkali menjadi pengganti perkataan "kah" seperti contoh: "Ada ke awak pasti" / "Adakah awak pasti". Bolekah ini diterima? Sekian, terima kasih! | Untuk makluman, ayat tanya yang betul ialah "Adakah awak pasti?". Manakala, ayat tanya "Ada ke awak pasti?" lazimnya hanya digunakan dalam bahasa lisan. | Tatabahasa | 21.04.2020 |
(a) Apakah golongan kata 'justeru'? (b) Bolehkah kata 'justeru' digunakan sebagai penanda wacana sebagai pengganti kepada 'oleh itu'? (c) Adakah penggunaan 'muthakir ini' bermakna 'dewasa ini'? (d) Adakah frasa 'faktor afdal' bermaksud 'faktor utama' atau 'faktor penting'? Sekian. | 1. Justeru termasuk dalam golongan penanda wacana, dan justeru bermaksud kebetulan, tepat, malahan dan bahkan. Oleh itu penggunaan perkataan justeru perlu disesuaikan dengan makna tersebut. 2. Mutakhir bermaksud terakhir, akhir-akhir ini, terbaharu, dan kemas kini; manakala dewasa ini bermaksud pada masa ini atau pada ketika ini. 3. Yang lazim digunakan ialah faktor utama atau faktor penting, sedangkan afdal bermaksud lebih utama atau terutama. Oleh itu, penggunaan faktor utama/faktor penting tidak boleh bertukar ganti dengan faktor afdal (jika ada penggunaannya). | Tatabahasa | 05.03.2010 |
Bolehkah ayat bermula dengan ini? | Perkataan ini ialah kata ganti nama tunjuk umum yang menjadi pengganti kata nama dan mendukung maksud menunjukkan benda atau perkara yang dirujuk. Terdapat dua kata ganti nama tunjuk umum, iaitu ini (menunjuk pada yang dekat), dan itu (menunjuk pada yang jauh). Contoh dalam ayat: 1. Ini hasil nukilan penulis muda itu. 2. Itu buku biografi Pendeta Za'ba. | Tatabahasa | 15.08.2011 |