| Dalam penulisan teks, yang mana lebih tepat dan gramatis untuk menulis tajuk atau subtajuk, iaitu: 1. Memantapkan Kerjasama Antara Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dan Masyarakat; atau 2. Pemantapan Kerjasama Antara Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dan Masyarakat Mohon penjelasan. Sekian, terima kasih. | Pemantapan Kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang dengan Masyarakat , lazimnya tajuk/subtajuk ditulis dalam bentuk kata nama. | Tatabahasa | 06.01.2015 |
| Selain itu, pihak kerajaan juga menjalankan penguatkuasaan undang-undang untuk mengurangkan kes pemerdagangan manusia. Dalam ayat ini, dua penanda wacana wujud sekaligus. Saya ingin bertanya adakah kedua-dua penanda wacana iaitu selain itu dan juga boleh wujud dalam satu ayat | Ayat yang gramatis, "Pihak kerajaan juga menjalankan penguatkuasaan undang-undang untuk mengurangkan kes pemerdagangan manusia". | Tatabahasa | 22.07.2016 |
| APA ISTILAH TONTO DALAM BAHASA YANG DAPAT MENERANGKANNYA DENGAN TEPAT | orang tengah yang bertindak sebagai pemberi maklumat dan lain-lain untuk menggagalkan tugas penguatkuasaan undang-undang dan lain-lain oleh pihak berkuasa: | Tatabahasa | 04.10.2007 |
| adakah perkataan mata-mata mempunyai maksud yang sama dengan penyiasat? | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat mata-mata bermaksud polis, Polis bermaksud pasukan yang menjaga keamanan negara dan penguatkuasaan undang-undang. Penyiasat pula bermaksud orang yang menyiasat atau menyelidik. Walau bagaimanapun mata-mata atau polis menjadi penyiasat apabila melaksanakan kerja-kerja penyiasatan sesuatu kes. | Makna | 08.03.2008 |
| Apakah perkataan yang lebih sesuai untuk menggambarkan organisasi di Kementerian Kesihatan Malaysia. Adakah: 1. Program Kesihatan Pergigian (sedia ada) 2. Program Perkhidmatan Kesihatan Pergigian 3. Program Pergigian Program berperanan sebagai agensi utama untuk; 1. Menentukan, membangun serta mengkaji semula dasar kesihatan pergigian 2. Menerajui penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan berkaitan amalan kesihatan Pergigian Negara 3. Menerajui pengendalian Perkhidmatan Kesihatan Pergigian termasuk merancang, mengatur, melaksana, memantau dan menilai penjagaan kesihatan pergigian 4. Menerajui pengendalian Aktiviti Promosi Kesihatan Pergigian. | Frasa yang sesuai ialah 2. Program Perkhidmatan Kesihatan Pergigian | Lain-lain | 10.01.2018 |
| Saya ingin memohon pandangan tentang betul atau salah penggunaan struktur bahasa melayu dan maksud "Maritim Malaysia" bagi meringkaskan nama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. 1. Adakah betul penggunaan ringkasan ini? kerana maksud maritim malaysia di dalam kamus adalah berbeza dengan tujuan APMM gunakan nama itu dan tidak melambangkan identiti sebuah agensi penguat kuasa. 2. Adakah penggunaan "maritim malaysia" ini sesuai digunakan terhadap sebuah agensi penguat kuasa yang bertaraf antarabangsa? 3. Adakah penggunaan ini memenuhi maksud struktur bahasa melayu bagi menyampaikan maksud oleh APMM? sebagai contoh ayat yang digunakan "Maritim Malaysia adalah merupakan sebuah agensi penguat kuasa maritim yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di kawasan Maritim Malaysia seluas 64,000 km persegi". | Pengejaan nama khas dalam bentuk singkatan boleh dibuat dalam dua kaedah, iaitu singkatan seperti yang sedia ada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia diringkaskan menjadi APMM dan keduanya akronim, bentuk gabungan kependekan yang boleh disebut sebagai perkataan seperti Mara untuk Majlis Amanah Rakyat. Oleh itu, kami berpandangan penggunaan singkatan APMM mencakupi maksud perkataan yang terkandung di dalamnya dan sebarang perubahan nama seperti Maritim Malaysia melibatkan banyak aspek lain khususnya pentadbiran serta perundangan. Dari aspek bahasa, Maritim Malaysia bukan singkatan atau akronim. | Lain-lain | 16.07.2025 |
| Salam 1 Malaysia, Tuan, Saya memohon pencerahan frasa yang betul: Bahagian Undang-Undang dan Penguatkuasaan atau Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan? Sekian, terima kasih. | Undang-undang bermaksud peraturan yang digubal untuk sesuatu perbadanan (perkumpulan, persatuan, dan lain-lain) oleh orang-orang tertentu, manakala perundangan pula bermaksud yang berhubungan (berkaitan) dgn atau berasaskan undang-undang: menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya termasuk bidang perundangan dan kehakiman. Maka, frasa yang betul ialah Bahagian Undang-undang dan Penguatkuasaan.
| Tatabahasa | 09.11.2014 |
| kuat kuasa. 2 patah perkataan ini apabila ada penambahan awal/akhir seperti dikuat kuasa, dikuatkuasakan, penguat kuasa, berkuat kuasa, penguatkuasaan, apabila jadi kata khas Pegawai penguat kuasa/Pegawai Penguat Kuasa/Pegawai Penguat kuasa. Mohon buat ayat contoh bagi memudahkan kami faham. saya pernah membuat tempahan 'rubber stamp'di sebuah kedai yang biasa kakitangan kerajaan buat local order dimana perkataan 'penguat kuasa' dipersoal oleh seorang guru sekolah kerana menjarakkan perkataan tersebut. sekian terima kasih. | Contoh ayat: 1. Kuat kuasa: Larangan ini berjalan kuat kuasa mulai esok. 2. Berkuat kuasa: Mahkamah pun pd tiap-tiap hari memutuskan hukuman yg berkuat kuasa spt undang-undang juga 3. Menguatkuasakan: Negeri itu menguatkuasakan undang-undang melarang menuba ikan. 4. Penguatkuasaan: Kita boleh menyekat amalan negatif melalui penguatkuasaan undang-undang dan program moral yang giat diamalkan. 5. Penguat kuasa: Dia seorang pegawai penguat kuasa yang tegas. | Istilah | 22.06.2010 |
| Nampaknya penggunaan Bahasa Melayu makin dipinggirkan oleh banyak pihak termasuk kerajaan sendiri. Media cetak lebih lagi eletronik memburukkan lagi keadaan. DBP tidak ada undang-undang penguatkuasaan. Benci betul saya melihat perkataan 'car wash', parking, private properties dan banyak lagi seolah-olah mencabar bahasa Melayu. Undang2 Kecil Bandaran mengenaan bahasa Kebangsaan siapa pun tak ambil tahu. Menteri-menteri Melayu pun sama tak ikut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, sanggup jual bangsa, Bahasa Melayu diganti dengan Bahasa mlaysia. Ada orang sanggup cabar di Mahkamah ke? Cakap banyak pun buat sakit hati, apa yang saya boleh bantu DBP dalam mempertabatkan Bahasa Melayu?. | Terima kasih atas keprihatinan tuan terhadap penggunaan bahasa Melayu di negara kita. Sokongan dan komitmen tuan dalam usaha kami untuk memartabatkan bahasa Melayu amat dalu-alukan dan dihargai. Diharap tuan dapat terus memberikan sokongan kepada usaha dan kegiatan yang kami adakan dari semasa ke semasa. Terima kasih. | Lain-lain | 02.11.2007 |
| PAPAN TANDA NIAGA/IKLAN PERMIS INI TIDAK MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU SEBAGAIMANA UNDANG-UNDANG DARI AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963/67 DAN AKTA KERAJAAN TEMPATAN 1976. BAHASA MELAYU WAJIB DIUTAMAKAN DARI SEGI 1. SAIZ 2. KEDUDUKAN 3. DAN WARNA BERBANDING BAHASA ASING. MOHON PERIKSA PREMIS SEKITAR KAWASAN INI JUGA TERMASUKLAH PAPAN IKLAN/BUNTING/BANNER HARAM YANG LANGSUNG TIDAK MENGGUNAKAN SEPATAH HARAM PUN BAHASA MELAYU. PBT WAJIB MENJALANKAN FUNGSINYA MENGUATKUASAKAN UNDANG-UNDANG SEDIA ADA DAN MEMPERKASA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. "KALAU ADA YANG TIDAK TERIMA BAHASA MELAYU , LEBIH BAIK JANGAN DUDUK DI MALAYSIA," YDPA SULTAN IBRAHIM SUDAH BERTITAH , PEGAWAI KERAJAAN TUNGGU APA LAGI ? SILA AMBIL TINDAKAN DENGAN SEGERA ! | Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih atas keprihatinan tuan terhadap penggunaan bahasa Melayu pada papan premis perniagaan. DBP amat menghargai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Usaha tuan dalam memantau dan melaporkan isu sebegini juga amat diambil berat kerana membantu memperkukuh pematuhan bahasa kebangsaan secara bersama. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan peraturan ini terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan undang-undang kecil berkaitan, termasuk keutamaan bahasa Melayu dari segi saiz, kedudukan, serta warna. Untuk tindakan penguatkuasaan, sila hantar aduan rasmi kepada PBT yang berkenaan (DBKL) berserta dengan gambar, lokasi tepat, dan butiran lain. DBP boleh membantu menyemak kesahihan sijil DBP jika tuan memberikan maklumat lanjut (nombor sijil atau nama penuh premis). Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan dan semangat tuan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. | Lain-lain | 27.01.2026 |