| Soalan 1 Mengapakah "semakin bertambah mantap" adalah salah?Berikan penjelasannya. Soalan 2 Yang mana betul?Berikan penjelasannya Di kiri dan di kanan jalan/di kiri dan kanan jalan Soalan 3 Adakah anggota badan seperti pinggang, bahu dikira sebagai tempat dan harus diikuti dengan perkataan dari/daripada? Soalan 4 Yang mana betul?Berikan penjelasan a)Kejadian gempa bumi yang berlaku sejak akhir-akhir ini menimbulkan kebimbangan. b)Kejadian gempa bumi yang berlaku akhir-akhir ini menimbulkan kebimbangan. Soalan 5 Apakah perbezaan antara jarang dan jarang-jarang? Yang mana betul? Pelajar itu terpilih sebagai pelajar cemerlang kerana dia (jarang/jarang-jarang) ponteng sekolah. Soalan 6 Yang mana betul? kedua-dua orang ibu bapa/kedua-dua ibu bapa Soalan 7 Adakah imbuhan ter- yang diikuti dengan perkataan sekali boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya atau terdapat sebarang pengecualian? Berikan beberapa contoh perkataan yang menggunakan imbuhan ter- dengan perkataan sekali. Soalan 8 Yang mana betul? Sejak kebelakangan ini/sejak belakangan ini Soalan 9 Yang mana betul? a)Sebagai anak kita mestilah sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kita. b)Sebagai anak, mestilah sentiasa kita ikuti nasihat ibu bapa kita. | 1. Semakin bermaksud kian bertambah. Jika ditulis semula "semakin bertambah mantap" menjadi "kian bertambah bertambah mantap". Adakah betul? 2. Di kiri dan di kanan jalan. Sekiranya membawa maksud bersama (sekali), ayat "di kiri dan kanan jalan" juga boleh digunakan. 3. Ya. 4. (b) betul. Sejak bermaksud: bermula dari, mulai, dari. 5. jarang:- tidak rapat, renggang, bersela-sela, tidak kedap (tenunannya dll): gigi ~; kain yg ~; 2. tidak lebat, tidak padat: rambut yg ~; jarang-jarang tidak sering, tidak kerap, tidak selalu, tidak lazim; ~ berlaku tidak sering berlaku; ~ dapat tidak selalu dapat; dia ~ datang dia tidak sering datang; ~ dipakai tidak lazim dipakai; Pelajar itu terpilih sebagai pelajar cemerlang kerana dia jarang-jarang ponteng sekolah. 6. Kedua-dua ibu bapa. 7. Penanda darjah penghabisan yang terakhir ialah: amat, sungguh dan sangat diikuti oleh kata adjektif kemudian kata penguat biasa sekali. Contohnya, amat besar sekali. Frasa "ter-... sekali", contohnya, "terpandai sekali" adalah salah kerana terdapat dua penanda darjah penghabisan, iaitu ter- dan sekali. Sila rujuk akhbar sisipan Berita Harian, Klik DBP bil. 53, 22 Oktober 2008. 8. Kedua-duanya betul. 9. Sebagai anak, kita mestilah sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kita. | Lain-lain | 20.12.2008 |
| apakah maksud emic dan penjelasannya..? berikan maksud sineretik....? | Kedua-dua istilah yang saudara kemukakan tidak terdapat dalam sumber kami. Mohon saudara jelaskan di manakah perkataan ini diperoleh atau contoh ayat yang mengandungi perkataan ini. Terima kasih. | Lain-lain | 11.04.2010 |
| disalah tafsir atau disalahtafsirkan? boleh berikan penjelasannya juga? terima kasih | Salah tafsir ialah kata majmuk dan perlu ditulis berasingan. Sekiranya ditambah imbuhan "di" hadapan sahaja, kata majmuk ini tetap dieja sebagai dua perkataan, iaitu disalah tafsir. Kata majmuk akan dieja bercantum sekiranya ditambah imbuhan di hadapan dan di belakang. Contohnya: disalahtafsirkan, mencampuradukkan dan diurusniagakan. | Ejaan | 03.05.2013 |
| Mohon bimbingan pihak tuan mengenai ayat berikut beserta penjelasannya. 1. Dinding dewan itu kami (hiasi,hiaskan) dengan poster -poster bertemakan kemasyarakatan. 2. Mural bunga raya itu kami (warnakan,warnai) dengan cat merah dan hijau. Terima kasih. | 1. Dinding dewan itu telah kami hias dengan poster-poster bertemakan kemasyarakatan. 2. Mural bunga raya itu akan kami lukis dengan cat merah dan hijau. Ayat pasif kata ganti diri pertama diikuti dengan kata kerja dasar, "kami hias" dan "kami lukis". | Tatabahasa | 09.11.2020 |
| Saya ingin bertanya, " di samping" merupakan kata apa? Apakah penjelasannya? | "Di samping" ialah frasa sendi nama iaitu "di" (kata sendi nama) + "samping" (kata nama). | Makna | 25.05.2023 |
| Harap dapat memberitahu adakah ayat-ayat tersebut betul dan penjelasannya. 1. Orang ramai (berebut-rebut / berduyun-duyun) masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselataman. ( mana yang tepat ) 2.Marina terpaksa menangguhkan niatnya menyambung pelajaran kerana kesempitan wang. 3. Serina menamai kucingnya Putih kerana bulu kucingnya itu putih. 4. Ikhwan dan Alif gemar betul membaca buku cerita. 5. Novel yang paling tebal itu tidak terbaca oleh saya dalam tempoh dua hari. 6. Mereka membincangkan lain-lain perkara dalam mesyuarat agung itu. 7. Yang muda hendaklah dinasihati dan yang tua hendaklah disayangi. Sekian, terima kasih. | 1. Orang ramai (berebut-rebut / berduyun-duyun) masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselamatan. ( mana yang tepat ) Orang ramai berebut-rebut/berasak-asak masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselamatan. (tepat) - dalam konteks ayat ini, situasi pintu dibuka oleh pengawal. 2.Marina terpaksa menangguhkan niatnya menyambung pelajaran kerana kesempitan wang. (Tepat) 3. Serina menamai kucingnya Putih kerana bulu kucingnya itu putih. (tepat) 4. Ikhwan dan Alif gemar betul membaca buku cerita. (TEPAT) 5. Novel yang paling tebal itu tidak terbaca oleh saya dalam tempoh dua hari. (TEPAT) 6. Mereka membincangkan lain-lain perkara dalam mesyuarat agung itu. frasa yang betul ialah perkara-perkara lain. 7. Yang muda hendaklah dinasihati dan yang tua hendaklah disayangi.(Tepat) | Tatabahasa | 13.08.2012 |
| adakah "soal balas" mempunyai maksud tertentu? cari dalam kamus tiada penjelasannya tetapi dalam buku latihan ada pilihan ini. | Merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), kata "soal balas" membawa maksud: kata nama 1. perbuatan menyoal seseorang untuk memastikan kebenaran kenyataan yang dikemukakannya; 2. Undang-undang perbuatan menyoal seseorang yang memberikan keterangan, biasanya saksi bagi sesuatu kes mahkamah, oleh sesuatu pihak, biasanya dilakukan oleh peguam pihak lawan, untuk memastikan kesahihan keterangan yang diberikan orang atau saksi tersebut; kata kerja transitif 3. lihat menyoal balas. Untuk mendapatkan maklumat berkaitan bahasa Melayu, sila rujuk kamus terbitan DBP yang terkini iaitu Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 24.10.2024 |
| Antara dua ayat berikut, yang manakah yang betul dan apakah penjelasannya? A. Aku akan pulang ke kampung minggu hadapan kerana ayah dan ibu sudah mendapat tarikh berlepas menunaikan umrah. B. Aku akan pulang ke kampung minggu hadapan kerana ayah dan ibu sudah dapat tarikh berlepas menunaikan umrah. | Kami mencadangkan jawapan A dengan sedikit penambahbaikan A. Aku akan pulang ke kampung pada minggu hadapan kerana ayah dan ibu sudah menerima/mengetahui tarikh berlepas menunaikan umrah. Pemilihan perkataan yang dicadangkan lebih tepat. | Tatabahasa | 17.04.2023 |
| Adakah ayat berikut betul strukturnya: 1. Pokok yang telah berbuah ditanam oleh nenek Mei Li. Apakah penjelasannya sekiranya betul atau salah? | Ayat yang lebih gramatis ialah "Pokok yang telah berbuah itu ditanam oleh nenek Mei Li". Ini dan itu ialah kata ganti nama tunjuk, iaitu perkataan yang menjadi pengganti kata nama dan mendukung maksud menunjukkan benda atau perkara yang dirujuk. | Tatabahasa | 11.03.2014 |
| Penselnya yang hilang itu tidak berwarna merah. Penggunaan tidak di sini betul atau tidak? Kalau salah, bagaimanakah penjelasannya sebab berwarna merah itu frasa adjektif | Frasa "tidak berwarna merah" tidak tepat. Ayat yang betul ialah Penselnya yang hilang itu bukan yang berwarna merah. | Lain-lain | 30.09.2021 |