Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[pe.nuh] | ڤنوه

Definisi : 1. seluruhnya berisi, tidak sedikit pun kosong (terluang), pepak: tong itu ~ lagi berisi minyak; bas itu sudah ~; ~ sesak (padat, pepak, ruah, tumpat) sangat penuh; 2. banyak berisi (sesuatu), banyak mengandungi (sesuatu): kedai itu ~ dgn kain; 3. ki tidak kurang, cukup: kalau dia sudah sembuh, dia akan mendapat gaji ~; markah ~; sijil ~; 4. banyak (ramai) sekali: ~lah pasar itu dgn perempuan; ~ harapan dgn berharap sangat; ~ kesedaran dgn cukup sedar; ~ perasaan dgn seluruh perasaan (hati); ~ sarat penuh sekali; ~ semangat dgn bersemangat sekali; sepenuh secukup(nya), segenap, selengkap, seluruh, semua(nya): diberi keterangan ~nya; ~ perhatian dgn seluruh perhatian; memenuhi 1. mengisi (memuatkan) penuh­-penuh: air paip itu dibiarkan ~ baldi itu; 2. memadai, memuaskan, mencukupi: mengapa aku tidak dapat ~ hasrat hatinya?; pemohon-pemohon dijemput mengemukakan permohonan bagi ~ jawatan guru; 3. memuaskan permintaan dll, menyampaikan harapan dll, mengabulkan: sekadar ~ permintaan yg berulang-ulang diucapkan itu; 4. menjalan­kan (kewajiban dll), menepati (janji dll), me­nunaikan, menyempurnakan: kita yakin tuntutan-tuntutan yg dua lagi itu pasti akan dipenuhi jua seterusnya; memenuhkan menyebabkan sesuatu men­jadi penuh, menjadikan penuh: dia sedang ~ baldi itu dgn air; terpenuhi sudah dipenuhi, dapat dilaksanakan (diluluskan). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[pe.nuh] | ڤنوه

Definisi : 1 sudah berisi seluruhnya; tidak ada yg terluang lagi: Tangkinya sudah ~. 2 banyak berisi sesuatu: Sakunya ~ dgn buah mata kucing. Orang ramai ~ sesak di stesen kereta api. 3 tidak dikurangkan apa-apa; lengkap: Tiap-tiap bulan, dia menerima gaji ~ sebanyak RM910.00. memenuhi 1 masuk atau dimasukkan ke dlm sesuatu sehingga penuh: Berita ttg peperangan di Vietnam ~ halaman kedua surat khabar hari ini. 2 mencapai sesuatu yg diperlukan; meluluskan atau menyampaikan permintaan dll; menunaikan; mengabulkan: Baginda tidak dpt ~ syarat-syarat itu. memenuhkan menyebabkan sesuatu jadi penuh; mengisi: ~ timba dgn pasir. sepenuh tidak ada kecualinya; selengkapnya; semuanya: Ketika belajar, kita hendaklah memberikan ~ perhatian kpd pengajaran guru. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
penuh (adjektif)
1. Bersinonim dengan berisi: tepu, padat, pepak, mampat, tumpat, sarat, pejal, rapat, ketat, sendat, lejuh, merepuh,
Berantonim dengan kosong

2. Bersinonim dengan banyak: sesak, sakan, bertimbun-timbun, berlebihan, melimpah, melaut, lebat, rendang, merenduh, berkelun-kelun, berkepul-kepul, bergumpal-gumpal, rapat, tebal, rimbun, belanar, jenuh,
Berantonim dengan sedikit

3. Bersinonim dengan lengkap: cukup, sempurna, memadai, genap, tuntas,
Berantonim dengan kurang

4. Bersinonim dengan ramai: banyak, berduyun-duyun, berpusu-pusu, berasak-asak, bersesak-sesak, berbondong-bondong, terpermanai, berjuak-juak,
Berantonim dengan sedikit

Kata Terbitan : sepenuhnya, memenuhi, memenuhkan,

Puisi
 

Hujan lebat perigi penuh,
     Kapal besar dari muara;
Kalau tak dapat si buntar penuh,
     Biar kumati berbuang nyawa.


Lihat selanjutnya...(17)
Peribahasa

Moncong penuh oleh air,
     perut berisi batu.

Bermaksud :

Tidak dapat mengatakan sesuatu yang terasa dalam hati, kerana telah berhutang budi dan sebagainya.

 

Lihat selanjutnya...(20)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Bolehkah peribahasa bagai menatang minyak yang penuh digunakan dalam karangan jenis autobiografi. Misalnya, Aku sepasang kasut. Contoh ayatnya. Tuan aku selalu menjaga aku dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Terima kasih.Penggunaan peribahasa dalam ayat "Tuan aku selalu menjaga aku dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh" adalah betul. Tidaklah menjadi suatu kesalahan menggunakan peribahasa dalam penulisan asalkan disesuaikan dengan maknanya dengan konteks ayat tersebut.Tatabahasa10.08.2011
DBP yg dihormati, bagaimanakah untuk membezakan kata nama tunggal yang mana perlu diganda penuh dan yang mana diganda separa? adakah semua kata nama tunggal itu blh diganda penuh dan juga boleh diganda separa? Terima kasih DBP.

Penggandaan penuh melibatkan seluruh kata dasar jenis kata nama yang digandakan tanpa sebarang perubahan bentuk dan boleh terdiri daripada semua jenis bentuk termasuk kata nama tunggal. Contoh meja-meja dan alat-alat. Bagi penggandaan separa ialah penggandaan yang melibatkan sebahagian sahaja kata dasar juga termasuk kata nama tunggal. Contohnya siku menjadi sesiku, gelang menjadi gegelang dan sebagainya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 136.

Tatabahasa27.05.2010
versi penuh peribahasa biar mati anak jangan mati adat

Saudara Muhammad Ali Sobri,

Makna peribahasa tersebut ialah adat yang tidak boleh dilanggar.

Makna10.03.2010
maksud penuh 'plagiarism'Plagiarism merupakan sesuatu perbuatan meniru atau mengutip sebahagian atau keseluruhan karya orang lain tanpa izin atau tanpa memaklumkan nama pengkarya berkenaan. Sebaliknya, mengakui karya tersebut sebagai usahanya sendiri. plagiarisme.Makna19.02.2009
Farhan dengan penuh yakin, melangkah ke dewan peperiksaan berbekalkan doa ibunya. Adakah apa-apa kesalahan dalam ayat tersebut?Ayat yang diberikan adalah betul.Tatabahasa05.07.2013
mohon penjelasan penuh dari segi tatabahasa malaysia (cth; kata kerja, kata bilangan dan sebaginya); ayat berbunyi: (abang ceraikan kakak kamu, cerai,cerai,cerai)1. Kata kerja digolongkan kepada dua kumpulan utama: i. kata kerja transitif ii. kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya.Cth. Murid sedang membaca buku; saya telah menjawab soalan sdr. Kata kerja transitif dapat dibahagikan kepada kata kerja yang berfungsi dalam ayat aktif dan kata kerja yang berfungsi dalam ayat pasif. kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. kata kerja tak transitif dapat dibahagikan kepada dua subgolongan. iaitu kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dan kata kerja tak transitif berpelengkap. Cth. kata kerja tak transitif tanpa pelengkap: semua orang pulang.; adik saya masih tidur. Cth. kata kerja berpelengkap: keadaan bapanya beransur baik.; mereka tinggal di Kampung Paya. Untuk keterangan lanjut, sila dapatkan buku Tatabahasa Dewan Edisi, terbitan DBP.
2.Kata bilangan boleh dibahagikan kpd. dua, iaitu kata bilangan kardinal (menyatakan jumlah secara keseluruhan, cth: dua, tiga puluh, empat puluh sembilan) dan kata bilangan ordinal (ditulis dgn. angka, cth: 2, 30, 49). Untuk makluman, kata ordinal kesatu boleh bertukar ganti dengan pertama yang merupakan pinjaman bahasa Sanskrit. 2. Kata kerja transitif - kata kerja yg. mengandungi objek yg. terdiri drpd. frasa nama utk melengkapkan maksudnya. Cth: menendang bola, menaiki bas). Kata kerja tak transitif - kata kerja yg. tak memerlukan penyambut/objek sesudahnya. Kata kerja jenis ini boleh dibahagikan kpd. dua subgolongan, iaitu: i) Kata kerja tak transitif berpelengkap (cth: Mereka tinggal di kampung, dia menjadi guru) ii) Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap (cth: padi sedang menguning, pemuda itu tersenyum). Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, hal. 140- 145.
Tatabahasa25.04.2012
'hayati erti hijrah dengan penuh keimanan&ketaqwaan' atau 'hayati semangat hijrah dengan penuh keimanan& ketaqwaan' ayat manakah yang lebih gramatis?Kedua-dua ayat tersebut membawa makna yang berbeza. Erti hijrah ingin mengungkap makna, maksud, takrif hijrah itu manakala semangat hijrah pula ialah kemahuan untuk melakukan sesuatu atau perasaan hati terhadap erti hijrah tersebut. Maka, untuk memilih ayat yang lebih gramatis tidak adil kerana kedua-duanya memberi makna yang berbeza. Sekian.Lain-lain12.01.2007
1. Ejaan bagi kilometer, kilogram, sentimeter dan sepuluh ringgit perlu dieja secara penuh atau singkatan? 2. Bagi nombor perlu dieja dengan perkataan atau angka? terima kasih...

1. Boleh dieja penuh ataupun menggunakan singkatan.

2. Nombor yang kurang daripada 10 hendaklah dieja sepenuhnya. 

Ejaan22.05.2009
Buku-buku yang dibawanya itu penuh hingga satu beg. Mengapakah ayat ini dikira salah?Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa.

Ayat yang betul ialah "Buku-buku yang dibawanya itu penuh satu beg."
Tatabahasa01.10.2013
saya ingin mengetahui makna: Kata ganda penuh / seluruh, Kata ganda separa, Kata ganda berirama dan Kata ganda berimbuhan. Harap dapat tolong.Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata tersebut diulang keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Kata ganda penuh ialah penggandaan seluruh kata dasar jenis kata nama tanpa sebarang perubahan bentuk, contoh : buku-buku dan sekolah-sekolah. Kata ganda separa ialah penggandaan yang melibatkan sebahagian sahaja kata dasar, contoh : gegelang, sesiku dan sesumbu. Kata ganda berirama/berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar jenis kata nama mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar, contoh : kuih-muih, kayu-kayan dan saudara-mara. Kata ganda berimbuhan ialah menambah imbuhan awalan pada kata dasar yang diulang, contoh : beramai-ramai. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.Makna27.02.2008
12345678910...

Kembali ke atas