Sdr., dari segi bentuk, kesusasteraan Melayu tradisional terbahagi kepada dua iaitu prosa dan puisi atau disebut juga sebagai genre prosa dan genre puisi. Genre prosa merangkumi cerita-cerita yang dikategorikan pula kepada, a. Sastera Hikayat ( cerita-cerita daripada sumber Hindu, Islam dan tempatan) b. Sastera Epik( epik tempatan dan berunsur Islam) c. Sastera Panji dan Perwayangan ( sumber daripada Jawa dan Hindu) d. Sastera Sejarah ( cerita yang berhubung dengan sejarah atau salasilah sebuah kerajaan Melayu silam) e.Cerita Para Nabi dan Tokoh-Tokoh Islam ( sumber daripada sejarah Islam) f. Sastera Kitab( berhubung dengan kitab fikah, tasawuf dan sebagainya) g. Sastera Undang-undang dan ketatanegaraan ( undang-undang, peraturan dan adat istiadat sesebuah kerajaan Melayu) h. Kepustakaan Ilmu Tradisional ( berhubung dengan ilmu penujuman, ilmu mendukun dan sebagainya) Genre puisi pula termasuk pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, mantera, teromba dan sebagainya. Mohon sdr. merujuk buku Kesusasteraan Melayu Tradisional( DBP,2000) yang ditulis oleh Dr. Harun Mat Piah dll. untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut tentang persoalan yang di atas. |