1. Bila perlu guna perkataan penukaran dan pertukaran 2. Ejaan pengwujudan yang betul | 1. Penggunaan setiap kata perlu bersesuaian dengan maksudnya; penukaran merujuk perihal menukarkan (mengubahkan, memindahkan, menggantikan, dan lain-lain), contohnya: diadakan penukaran tandatangan sebagai cenderamata; manakala pertukaran merujuk perihal bertukar (mempertukarkan), pergantian, perubahan, perbuatan, bertukar-tukar pendapat dan sebagainya, contohnya: sebagaimana mata pelajaran lain, pelajaran senaman juga menghendaki pertukaran dari satu jenis ke satu jenis yang lain. 2. Ejaan yang betul ialah pewujudan. | Tatabahasa | 14.01.2011 |
As Salamu Alaikum Warahamtullah, Apakah perbezaan kata terbitan merasa dan berasa? Apakah perbezaan kata terbitan pertukaran dan penukaran? APakah kata dasar bagi pertukaran dan penukaran? Terima kasih | Berasa dan merasa, kedua-dua perkataan tersebut terbitan daripada kata rasa dan maknanya keduanya hampir sama (merujuk Kamus Dewan). Dari segi amalannya perkataan berasa biasanya dikaitkan dengan perasaan/rasa hati), manakala merasa dikaitkan dengan perbuatan menikmati/mencuba sesuatu dengan lidah umpamanya. Pertukaran dan penukaran, kedua-duanya kata terbitan daripada kata tukar. Pertukaran bermaksud perbuatan atau hal bertukar; atau disebut juga pergantian seperti contoh ayat: Pertukaran iklim secara mengejut telah menyebabkan ia sakit; manakala penukaran ialah perbuatan menukar atau menukarkan seperti contoh ayat: Penukaran permata asli dgn permata palsu itu dibuat secara sulit. | Tatabahasa | 03.02.2011 |
pertukaran atau penukaran ? | Pertukaran ialah perbuatan atau hal bertukar, pergantian, perubahan, dsb bertukar-tukar(melibatkan sesuatu yang baru). Contoh ayat, pertukaran iklim secara mengejut telah menyebabkan ia sakit. Penukaran pula ialah perbuatan (hal dsb) menukar atau menukarkan. Contoh ayat, penukaran permata asli dgn permata palsu itu dibuat secara sulit. | Makna | 03.02.2010 |
Saya agak keliru dengan penukaran ayat pasif kepada ayat aktif. Conthonya seperti ayat di bawah; Ayat aktif: Kamu mesti menyiram sayur-sayuran di belakang rumah. Ayat pasif 1: Sayur-sayuran di belakang rumah mesti kamu siram. Ayat pasif 2 : Sayur-sayuran mesti kamu siram di belakang rumah. Sekiranya soalan tersebut dikemukakan dalam peperiksaan SPM, adakah kedua-dua jawapan di atas boleh diterima? terima kasih | Merujuk Tatabahasa Dewan dan seperti yang dijelaskan dalam pertanyaan sebelum ini, kedua-dua ayat pasif tersebut adalah betul. Jika hal ini berkaitan dengan peperiksaan, saudara perlu merujuk Majlis Peperiksaan Malaysia. | Tatabahasa | 03.03.2011 |
Saya agak keliru dengan penukaran ayat pasif kepada ayat aktif. Conthonya seperti ayat di bawah; Ayat aktif: Kamu mesti menyiram sayur-sayuran di belakang rumah. Ayat pasif 1: Sayur-sayuran di belakang rumah mesti kamu siram. Ayat pasif 2 : Sayur-sayuran mesti kamu siram di belakang rumah. Bagaimanakah caranya untuk mengenal pasti sama ada ayat pasif 1 atau ayat pasif 2 betul? | Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Contoh ayat: Murid-murid sekolah itu sedang belajar. Ayat pasif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Contoh ayat: Kucing itu dikejar oleh anjing. (daripada: Anjing mengejar kucing) Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 14.02.2011 |
Saya ingin mengetahui tentang sejarah penukaran bahasa melayu menjadi bahasa malaysia dan apakah sebab-sebabnya. | Sdr k man1990, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP, Untuk pengetahuan Sdr. tidak tercatat dalam sejarah yang kita pernahn menukar bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Sekitar tahun 1969 - 1971, subjek bahasa Melayu pernah diubah kepada bahasa Malaysia kerana pada masa itu kononnya pelajar bukan Melayu tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik jadi kertas soalan- jika saya tidak silap telah dipermudahkan sedikit lalu dikatakan bahasa Malaysia bagi peperiksaan MCE Untuk maklumat yang lebih lanjut sila baca buku perancangan bahasa Melayu yang ditulis oleh Prof. Abdullah Hassan. | Lain-lain | 04.04.2009 |
Puan, Tolong jelaskan maksud perkataan di bawah, sila berikan ayat contoh supaya saya dapat memahami dengan lebih dalam. a) persekolahan - penyekolahan b) perpisahan - pemisahan c) pertukaran - penukaran Terima kasih. | a) persekolahan hal bersekolah: Saya menghabiskan persekolahan saya di Kolej Melayu, Kuala Kangsar. penyekolahan perihal sekolah. Lazimnya perkataan ini jarang digunakan kerana terdapat bentuk lain yang boleh digunakan. b) perpisahan hal berpisah: Mati merupakan perpisahan antara jasad dengan roh. pemisahan hal atau perbuatan memisahkan: Pemisahan antara dunia yang bersifat analitik dan dunia nyata itu juga merupakan suatu pemisahan yang arbitari kerana sifat ilmu itu tidak terpisah daripada masyarakat yang mendukungnya. c) pertukaran perbuatan atau hal bertukar; pergantian; perubahan: Pertukaran iklim secara mengejut telah menyebabkan Maslena sakit. penukaran perbuatan (hal) menukar atau menukarkan: Penukaran permata asli dengan permata palsu itu dibuat secara sulit. | Tatabahasa | 05.03.2013 |
yang manakah betul, bahasa melayu atau bahasa malaysia? berikan juga sejarah penukaran istilahnya dan juga aspek-aspeknya jika ada | Pada 5 Jun 2007, Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa istilah bahasa Melayu ditukar kepada istilah bahasa Malaysia dengan alasan untuk tujuan perpaduan. | Lain-lain | 04.09.2007 |
ADAKAH ISU BAHASA MELAYU MENJADI BAHASA MALAYSIA TELAH DITUKAR?APAKAH ALASAN PENUKARAN TERSEBUT? | Pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia telah diputuskan oleh kabinet. Keputusan ini dibuat oleh kabinet bertujuan untuk membantu menyemai rasa kekitaan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum. Timbalan Perdana Menteri menyatakan rasionalnya ialah untuk tujuan perpaduan, penggunaan integriti dan bersatu hati. (Rujuk Berita Harian, SElasa 5 Jun 2007) | Lain-lain | 12.07.2007 |
apakah yang dimaksudkan dengan perkataan 'pindaan' dalam istilah undang-undang? | Pindaan dalam istilah undang-undang bermaksud perubahan yang dibuat terhadap dokumen undang-undang dengan pelbagai cara, sama ada dengan penukaran, penggantian, pengguguran, atau penambahan. Tujuannya supaya sesuatu undang-undang itu menjadi lebih ketat, menyeluruh dan sesuai dengan keperluan semasa. | Makna | 17.03.2008 |