Contoh penulisan dalam buku: Oleh kerana penyakitnya semakin teruk, Aina terus berjumpa doktor pakar di sebuah hospital swasta. Selepas pemeriksaan dibuat, Aina bertanya pada Doktor Mansor, "Kenapa dengan saya Doktor? Adakah penyakit saya ini serius?" Soalan saya: Doktor yang merujuk Doktor Mansor itu perlu ditulis menggunakan huruf besar atau tidak? | Salam sejahtera, Menerusi ayat yang dikemukakan oleh saudari, nama Doktor Mansor dalam ayat perlu ditulis dalam singkatan iaitu 'Dr.' Ayat: Oleh kerana penyakitnya semakin serius, Aina segera berjumpa doktor pakar di sebuah hospital swasta. Selepas pemeriksaan dilakukan, Aina bertanya kepada Dr. Mansor, "Kenapa dengan saya doktor? Adakah penyakit saya ini serius?." Untuk ayat 'Kenapa dengan saya doktor?' perkataan doktor ditulis dengan huruf kecil. | Tatabahasa | 23.10.2012 |
Salam sejahtera. Saya ingin tahu tentang perbezaan antara prihatin tentang dengan prihatin terhadap. Yang manakah ayat-ayat di bawah adalah betul? 1. Ibu bapa prihatin tentang / prihatin terhadap pelajaran anak-anak di sekolah. 2. Ali prihatin tentang / terhadap keadaan kesihatan datuknya yang baru sembuh daripada penyakitnya. | Ayat yang betul ialah: 1. Ibu bapa prihatin tentang pelajaran anak-anak di sekolah. 2. Ali prihatin tentang keadaan kesihatan datuknya yang baru sembuh daripada penyakitnya. Kata sendi nama tentang digunakan sebagai unsur rujukan sesuatu yang tidak tentu, umum atau mujarad manakala kata sendi nama terhadap digunakan sebagai unsur rujukan yang melibatkan penyambut tertentu sama ada manusia, haiwan, atau benda. Contoh: Jangan bersikap biadap terhadap orang tua. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tokoh | 11.05.2021 |
Apakah perbezaan antara 'tersangat' dengan 'sangat'? | Tersangat ialah terlalu sangat; teramat sangat: ~ pedihnya. Sangat pula ialah kata yang digunakan untuk menyatakan perbandingan yang tinggi; terlalu; terlampau: Harganya ~ tinggi. 2 makin menjadi (berkenaan penyakit); teruk; kuat: Penyakitnya bertambah ~. 3 dengan sungguh-sungguh benar; tidak main-main: Saya hendak ~ pergi ke sana. | Makna | 22.07.2013 |
Ayat yang manakah menggunakan kata BERHURUF BESAR yang betu? 1. SEHALUS (a) Rosli ingin mencari calon isteri yang SEHALUS budi bahasa. (b)Selendang kain kapas yang dibeli oleh ayah SEHALUS sutera. (c) Banyak wanita menginginkan kulit muka yang SEHALUS bayi. (d) Kacang yang telah dikisar oleh ibu itu hancur SEHALUS tepung. 2. BERARAK (a) Beberapa buah kereta BERARAK dari pusat bandar. (b) Kenangan silam BERARAK datang dalam fikirannya. (c) Ibu segera mengangkat kain di ampaian apabila terlihat awan mendung BERARAK yang menandakan hujan akan turun. (d) Ahli pasukan unit beruniform BERARAK semasa ketua melakukan pemeriksaan barisan. 3. BERANSUR (a) Meja itu BERANSUR sedikit setelah dilanggar oleh adik. (b) Kenderaan yang dipandu secara BERANSUR dapat mengelakkan kemalangan. (c) Penyakitnya BERANSUR pulih setelah dirawat di hospital. (d) Kami sekeluarga BERANSUR dari majlis itu ketika hari sudah lewat petang. | Jawapan yang betul ialah 1. (d) Kacang yang telah dikisar oleh ibu itu hancur SEHALUS tepung. 2. (a) Beberapa buah kereta BERARAK dari pusat bandar. 3. (c) Penyakitnya BERANSUR pulih setelah dirawat di hospital. | Lain-lain | 04.11.2010 |
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini. 1. Penghulu Kampung Talang selalu berjanji akan memberi bantuan kepada penduduk miskin namun dia tidak pernah mengotakan janjinya. Segala kata-katanya kini tidak lagi dipercayai. Maruahnya sebagai penghulu sudah tidak ada lagi. (a) (b) (c) 2. Penyakitnya masih belum sembuh walaupun telah berubat di merata-rata tempat. Namun dia tetap tidak berputus asa. Dia percaya bahawa selagi ada usaha akhirnya dia akan berjaya. (a) (b) (c) | Peribahasa yang menggambarkan seseorang yang mudah berjanji tetapi tidak ditepati ialah lidah tak bertulang. Manakala kata-kata yang tidak boleh dipercayai ialah lidah bercabang atau lidah biawak. Untuk menjawab soalan (3), peribahasa yang menggambarkan orang yang tidak mudah berputus asa ialah cari ikhtiar. Untuk memberikan kfahaman yang mendalam tentang peribahasa Melayu , sdr dinasihatkan membaca buku Peribahasa terbitan DBP. | Tatabahasa | 28.04.2009 |