| Salam, Saya hendak bertanya tentang perkataan "pepatung". Adakah perkataan tersebut boleh digunakan dalam buku latihan sekolah. Entri untuk perkataan ini tidak ada dalam kamus. Yang ada "sepatung" dan "sibur-sibur". | Perkataan "pepatung" memang ada dalam bahasa Melayu dalam bentuk istilah. Perkataan ini telah ditambah baik menjadi "patung-patung" untuk entri di dalam kamus. Perkataan "pepatung" boleh digunakan dan tidak salah, namun untuk lebih tepat kami cadangkan agar perkataan "patung-patung" atau "sibur-sibur" digunakan di peringkat sekolah. Terima kasih. | Istilah | 23.01.2018 |
| Kenapa dialek perak cakcibor = pepatung tiada dalam daftar kata PRPM ya? | Dalam pangkalan data PRPM, belum ada lagi bagi perkataan cakcibor. Namun begitu, dalam carian di internet terdapat perkataan cakcibor yang merujuk sejenis serangga iaitu pepatung dalam dialek Perak. Terima kasih atas cadangan tersebut. Cadangan saudara akan dikemukakan kepada bahagian yang berkenaan untuk diterbitkan dalam buku Dialek Perak, sekiranya ada edisi baharu yang akan datang.
| Lain-lain | 14.12.2020 |
| Slm, Mohon check ayat di bawah. 1) Serangga apa yang mempunyai kelajuan terbang yang paling laju? Pepatung merupakan serangga yang terbang paling laju dalam kalangan serangga. Ia boleh terbang dalam kelajuan 90 km per jam. Serangga kedua terbang paling laju ialah Human Botfly yang mempunyai kelajuan terbang sebanyak 50 km per jam. Bumblebee pula boleh terbang dalam kelajuan 18 km per jam. tq | Apakah serangga yang terbang yang paling laju? Pepatung merupakan serangga yang terbang paling laju. Ia boleh terbang dalam kelajuan 90 km per jam. Serangga kedua yang terbang paling laju ialah Human Botfly yang mempunyai kelajuan terbang sebanyak 50 km per jam. Bumblebee pula boleh terbang dalam kelajuan 18 km per jam. | Tatabahasa | 19.08.2015 |
| 1) Terangkan dengan lebih terperinci maksud ekor pada haiwan dalam konteks Bahasa Melayu. 2) Adakah bahagian hujung badan serangga seperti pepatung boleh dipanggil ekor? Terima kasih. | 1. Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, makna ekor ialah bahagian yang di belakang sekali atau hujung pada tubuh binatang yang biasanya seperti menganjur keluar dari tulang punggung dan boleh digerak-gerakkan. 2. Ya, hujung badan serangga seperti pepatung boleh dipanggil ekor. | Lain-lain | 06.05.2020 |
| Salam sejahtera. Adakah kata ganda separa berikut betul? balai-balai = bebalai, benang-benang = bebenang, cair-cair = cecair, guli-guli = geguli, gendang-gendang = gegendang, kunci-kunci = kekunci, kura-kura = kekura, lumba-lumba = lelumba, pejal-pejal = pepejal, patung-patung = pepatung, sumpah-sumpah = sesumpah, tambak-tambak = tetambak, tangga-tangga = tetangga Terima kasih. | Kata ganda dan kata ganda separa yang diberikan mempunyai pelbagai makna yang berbeza. Oleh itu, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) untuk mendapatkan makna bagi setiap perkataan tersebut. Penggandaan separa kata nama ialah penggandaan yang melibatkan sebahagian sahaja kata dasar. Kata dasar boleh terdiri daripada kata nama tunggal atau kata nama berimbuhan, seperti yang berikut: i. Penggandaan separa kata nama tunggal Melibatkan suku kata pertama dalam kata dasar. Bunyi-bunyi vokal dalam suku kata pertama perkataan yang digandakan itu mengalami perubahan menjadi vokal tengah, iaitu e pepet. Contohnya, kura (kekura). ii. Penggandaan separa kata nama berimbuhan Melibatkan pengulangan kata dasar tanpa imbuhannya. Terdapat hanya perkataan yang menerima akhiran –an yang mengalami penggandaan jenis ini. Contohnya, sayuran (sayur-sayuran). Pembentukan kata ganda/kata ganda separa tidak boleh dilakukan pada semua perkataan. Tuan boleh merujuk senarai kata ganda/kata ganda separa sedia ada dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) atau pangkalan data prpm.dbp.gov.my (melalui pautan istilah bahasa Melayu/istilah MABBIM). Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan kata ganda dan kata ganda separa, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 135 – 138. | Tatabahasa | 08.07.2025 |
| Apakah nama bagi orang yang kerjanya memandu kanak-kanak menjalani aktiviti? Seperti bercerita, bermain, bernyanyi dan sebagainya. Mereka bukan guru tadika tetapi mengadakan aktiviti ini pada hujung minggu yang terbuka kepada seisi keluarga. Ini cara mencari rezeki mereka. Yang lagi satu, orang yang kerjanya bercerita kepada kanak-kanak seperti "Kakak Pepatung" yang agak popular. | Tidak ada nama gelaran khusus untuk yang melakukan aktiviti sedemikian. Berdasarkan pengamatan kami lazimnya penggiat aktiviti seni/sastera/budaya seumpama ini sering menggelarkan diri mereka ibu atau mama atau gelaran ibu/mama digandingkan dengan nama mereka seperti Ibu Anis dan Mama Filzah. | Tatabahasa | 20.09.2012 |
| merujuk kepada kamus dewan edisi kedua: [riang] | رياڠ Definisi : ; riang-riang nama sj binatang spt biawak yg besar, Varanus salvator. (Kamus Pelajar Edisi Kedua) Adakah riang-riang boleh disingkatkan kepada reriang? [re.riang] | ررياڠ Definisi : 1 nama sj serangga, Pomponia imperatoria. 2 serangga yg berkepala lebar, berkepak lejas dan yg jantannya mempunyai sepasang organ yg mengeluarkan bunyi yg nyaring, Cicada spp.. (Kamus Pelajar Edisi Kedua) Reriang I Definisi : riang-riang (sj serangga). (Kamus Dewan Edisi Keempat) Reriang I Definisi : riang-riang (sj tumbuhan). (Kamus Dewan Edisi Keempat) Soalan kedua: Patung-patung = Dragonfly? Sepatung = Dragonfly? Pepatung = Dragonfly? | 1. Perkataan reriang boleh digunakan. 2. Padanan bahasa Melayu bagi dragonfly ialah pepatung atau patung-patung. | Tatabahasa | 24.09.2017 |
| Apakah maksud “pepasu”? Saya tidak dapat mencari perkataan ini dalam kamus. | Salam sejahtera, Kata pepasu tergolong dalam kata ganda separa, iaitu kata ganda yang hanya mengulangi suku kata pertama kata dasarnya, biasanya terdapat perubahan vokal, dan lazimnya. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Contoh kata ganda separa yang lain ialah kekisi, lelayang, bebutang, pepasu, tetikus, tetupai, jejari, kekuda, pepatung dan bebola. Kata ganda separa ada yang membawa maksud tunggal, misalnya tetamu, kekuda, tetikus, dan ada yang membawa maksud jamak, misalnya pepohon dan dedaun. Hasil carian dalam Internet, terdapat beberapa contoh penggunaan pepasu namun kekerapan penggunaannya agak rendah. Antara contoh penggunaannya: 1. Bila dah kahwin ni tak larat nak angkat pepasu tu semua pindah ke rumah mak mertua... 2. Biar dia letak pepasu itu kat rumah dia. 3. Pepasu banyak itu hari... tinggal hat nie jaa... Berdasarkan beberapa contoh tersebut, pepasu boleh diandaikan membawa maksud jamak, iaitu pelbagai jenis pasu atau banyak pasu. Sekian, terima kasih. | Makna | 19.01.2025 |