Penggunaan 'per' atau 'par' Yang mana satukah yang betul: 1) Beratnya 50 kg per kotak atau Beratnya 50 kg par kotak? 2) Harga percutian ialah RM300 per pax atau par pax? | Untuk makluman perkataan "per" tidak digunakan dalam konteks ini. 1. Ayat yang dicadangkan ialah Berat satu kotak ialah 50 kg atau Berat sekotak ialah 50kg 2. Harga percutian ialah RM300 seorang. | Penyemakan dan penterjemahan | 18.03.2016 |
saya nak minta kelulusan papan iklan. Bahagian mana per;u saya rujuk | Untuk makluman, tuan boleh melayari lawan web DBP Sah Bahasa dbpsahbahasa.my untuk mendapatkan kelulusan visual papan tanda iklan. | Lain-lain | 27.04.2021 |
Soalan di lampiran | Untuk makluman pihak tuan, akronim ialah kata yang terbentuk daripada gabungan huruf awal, suku kata atau bahagian lain beberapa perkataan lain atau frasa yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan, contohnya PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia), MARDI (Malaysian Agricultural Research Development Institute), jentolak (jentera tolak), ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dan Bernama (Berita Nasional Malaysia). Pembentukan akronim YAPEIM dibuat dengan mencantumkan suku kata pertama bagi perkataan pertama dengan huruf awal perkataan-perkataan yang berikutnya, dengan penyeragaman penggunaan keseluruhan huruf besar bagi nama khas. Oleh yang demikian pembentukan akronim YAPEIM betul dan boleh digunakan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 47 dan buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2014), halaman 105 - 106. | Tatabahasa | 20.11.2024 |
dapat memanjang dan mengecut | Untuk makluman saudara entri kamus rujukan kami ialah perkataan bukan makna perkataan yang dikehendaki. Sila rujuk entri kamus satu per satu untuk melihat dan mendapatkan maksud yang dikehendaki. | Lain-lain | 07.04.2010 |
Apakah makna ayat apitan @ kata apitan? | Untuk makluman saudara, apitan bermaksud bentuk imbuhan yang terdiri daripada gabungan awalan dan akhiran untuk mengurungi kata dasar, contohnya peR-...-an dalam permainan, peN-...-an dalam pelaburan, dan ke-...-an dalam kecantikan. BAgi membantu saudara mendapatkan maklumat lanjut dan lebih banyak contoh, saudara boleh membuat rujukan pada buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 11.04.2007 |
Minta maaf di sini. Cuma hendak tahu berapa lamakah biasanya untuk dapat kelulusan (as per attached) ? Bagaimanakah kami dapat tahu sama ada sudah lulus atau belum ? Regards, Joreen Lee | Untuk makluman, jika mengikut Piagam Pelanggan kami, masa yang diperlu untuk semakan visual papan iklan ialah 3 hari waktu bekerja. Manakala tentang status kelulusan, pihak kami akan memaklumkannya melalui e-mel. | Lain-lain | 18.04.2017 |
Boleh saya dapatkan istilah-istilah berbentuk kemelayuan yang terdapat di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. | Untuk makluman saudara belum ada senarai khusus yang membicarakan tentang istilah-istilah kemelayuan dalam kamus, sila rujuk kamus dengan terperinci (menyemak entri satu per satu) untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. | Lain-lain | 05.04.2010 |
Adakah penggunaan imbuhan mem, per, kan boleh digunakan | Apitan memper-...-kan boleh bergabung kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya, kata nama: isteri - memperisterikan senda - mempersendakan kata kerja: dengar - memperdengarkan bahas - memperbahaskan Walau bagaimanpun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper ... digunakan dengan kata adjektif untuk membawa makna menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya, besar - memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah - merperindah (menjadikan bertambah indah). untuk makluman lanjut sila dapatkan buku tatabahasa Dewan dan rujuk halaman 198 - 200 | Tatabahasa | 02.05.2013 |
Perkataan Bahasa Melayu yang betul bagi terjemahan ayat ini: Konteks - terma ICT "After development phase, all integrations and changes that need to be deployed should be consider as Corporate Social Responsibilities without charges as per clause 10 in Principal Agreement." | Untuk makluman puan, pihak DBP tidak melaksanakan kerja penterjemahan, sama ada daripada bahasa Melayu kepada bahasa asing atau sebaliknya. Sila terjemahkan perkataan atau teks bahasa asing tersebut dalam bahasa Melayu agar pihak kami dapat menyemak dan memberikan cadangan padanan terjemahan yang bersesuaian. | Penyemakan dan penterjemahan | 21.11.2023 |
Bolehkah anda terangkan maksud maksud pantun-pantun berikut? Petang hari pergi ke pekan, Pulang membawa sebungkus laksa; Hidup muhibah perlu diamalkan, Di negara Malaysia berbilang bangsa. Cantik bergugus buah papaya, Masak dipetik satu per satu; Walaupun berlainan bangsa budaya, Kerana muhibah hidup bersatu. Air mengalir dalam terusan, Mengairi sawah beratus relung; Bekerjasama segala urusan, Tanda bersatu bergotong-royong. Tuan Puteri dari kayangan, Senyuman manis seperti madu; Bermacam keturunan bukan halangan, Untuk membina bangsa yang padu. Enak nian air kelapa, Penawar sakit mujarab sekali; Kebudayaan asal tidak dilupa, Kebudayaan nasional mereka banggai. | Untuk makluman saudara, kelima-lima rangkap pantun yang diajukan secara umumnya membawa persoalan tentang semangat muhibah yang perlu diamalkan oleh rakyat Malaysia. Muhibah yang bermaksud hubungan mesra pelbagai kaum dapat diwujudkan dengan perbagai cara, antaranya melalui aktiviti bergotong-royong, bersukan dan menghadiri perayaan-perayaan kaum di Malaysia. Semangat setia kawan , persefahaman dan kerjasama akan terbentuk melalui aktiviti tersebut dan secara tidak langsung perpaduan kaum juga akan dapat dicapai. Disamping itu, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah saling hormati menghormati pelbagai budaya dari pelbagai kaum yang ada di negara ini disamping merasa bangga dengan kebudayaan nasional. Walau bagaimanapun memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini adalah penting untuk pembangunan negara. Sekian. | Lain-lain | 13.12.2010 |