| apakah perbezaan (adalah / ialah), (pembelajaran / pemelajaran), pengkayaan / pengayaan, | Adalah/ialah kedua-duanya kata pemeri (unsur yg menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan secara persamaan (ekuatif) menggunakan kata pemeri ialah, sementara pemerihalan secara huraian(kualitatif) menggunakan adalah. Kata Pembelajaran dan pemelajaran daripada kata dasar ajar. pembelajaran –proses (kegiatan) belajar, sementara pemelajaran- proses mempelajari-belajar utk mengetahui sst. dengan mendalam. Kata pengayaan daripada kata dasar kaya, iaitu perihal (usaha, proses,dsb) mengayakan: iaitu menjadikan kaya(berharta atau berwang banyak). Tidak terdapat kata pengkayaan dalam bahasa Melayu. Harap maklum. | Makna | 04.12.2006 |
| Apakah pola ayat "Ahmad ialah guru"dan "Ahmad, guru" ? Adakah "ialah" termasuk Frasa Nama ? | Ayat Ahmad ialah guru merupakan sebuah frasa nama. Perkataan ialah sahaja bukan frasa nama tetapi merupakan kata pemeri. Kata pemeri bermaksud unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 263 dan 264. | Tatabahasa | 18.01.2018 |
| Penggunaan kata pemeri. Adakah simbol atau ialah simbol? | Soalan yang pihak tuan/puan ajukan tidak berapa jelas, walau bagaimanapun, menurut buku Tatabahasa Dewan kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara , iaitu dengan penggunaan perkataan ialah dan adalah. Kata pemeri ialah digunakan untuk menunjukkan persamaan, iaitu bagi ayat yang berpola frasa nama dengan frasa nama, manakala kata pemeri adalah bagi menunjukkan huraian atau keterangan bagi ayat yang berpola frasa nama dengan frasa adjektif, dan frasa nama dengan frasa sendi nama. | Tatabahasa | 08.05.2018 |
| Slm, Minta pihak tuan/puan mengesahkan ayat di bawah: 1)Apakah yang berlaku pada/kepada saya? 2) Jangka hayat manusia ialah/adalah... 3)Saya ditiup sampai/hingga ke sini TQ | Untuk soalan 1, ayat yang tepat ialah: Apakah yang berlaku kepada saya? Untuk soalan 2, Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Kata pemeri "ialah" hadir di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri "adalah" hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Oleh itu penggunaan kata pemeri ialah/adalah untuk ayat 2: (Jangka hayat manusia ialah/adalah...) bergantung pada jenis frasa yang mengikuti ayat tersebut. Untuk soalah 3, kedua-dua perkataan sampai dan hingga boleh digunakan silih berganti. | Tatabahasa | 17.06.2015 |
| Apakah perbezaan antara "supaya" dengan "agar", contoh ayat, Menteri Pelajaran mengingatkan semua guru agar mereka perlu komited dalam menjalankan tugas serta mendidik pelajar dengan sepenuh hati. "agar" dalam contoh ayat di atas dikatakan salah. Apakah pilihan jawapan yang lebih sesuai, "supaya" ?? Bukankah "agar dan supaya" membawa maksud yang sama? | "agar" dan "supaya" berfungsi sebagai kata perangkai yg menerangkan maksud ayat sebelumnya, dan digunakan dalam situasi yang sama, contohnya; ia berpesan agar/supaya kami pandai-pandai membawa untung. Jawapan sama ada betul atau salah hendaklah dirujuk kepada pembuat soalan. Bagi DBP kedua-duanya boleh digunakan kerana membawa maksud yang sama. | Tatabahasa | 08.10.2012 |
| Adakah ayat di bawah ini betul? 1. Bunga raya Bunga Kebangsaan. 2. Bunga raya ialah Bunga Kebangsaan. Boleh berikan penjelasan mengapa kita perlu letak "ialah" sekiranya ayat 2 sahaja yang betul? Terima kasih. | Salam sejahtera, Ayat yang betul: Bunga raya ialah bunga kebangsaan. "Ialah" merupakan kata pemeri yang menjadi pemerihal kepada predikat atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Kata pemeri "ialah" hadir di hadapan frasa nama. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 15.10.2018 |
| Assalamualaikum, saya ada soalan berkaitan penggunaan kata pemeri. 1. Maksud beradu adalah tidur. 2. Maksud beradu ialah tidur. 3. Beradu bermaksud tidur. Berdasarkan ketiga-tiga ayat ini, ayat yang manakah yang betul? Tidur merupakan kata kerja. Jadi, kata pemeri sepatutnya tidak boleh digunakan. | Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemerihal kepada predikat atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Kata pemeri tidak boleh hadir (digunakan) di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh itu, ayat yang betul ialah, “Beradu bermaksud tidur”. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014) halaman 263 dan laman sesawang https://prpm.dbp.gov.my/ | Tatabahasa | 04.06.2024 |
| Apa padanan yang sesuai bagi "bridge" dalam konteks muzik/lirik lagu? Soalan yang sama pernah ditanyakan oleh pengguna lain pada tahun 2017, namun takrif yang beliau berikan tidak begitu tepat mengenai "pause". Tiada jeda dalam bahagian "bridge", ia cuma mengandungi lirik dan/atau gaya muzik yang berbeza untuk menyambungkan bahagian-bahagian lagu yang lain (korus, instrumental, dll.), justeru ia dipanggil "bridge". Dengan konteks yang berikut, saya harap pihak DBP boleh berikan atau cadangkan padanan yang sesuai untuk perkataan tersebut. Terima kasih. | Padanan bahasa Melayu bagi istilah bridge ialah perangkai. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam bidang muzik. | Istilah | 25.06.2023 |
| 1. Bolehkah memulakan ayat dengan 'dengan' dan 'untuk'.? 2. Kenapa tidak boleh memulakan ayat dengan 'adalah' ? Sekian, terima kasih. | 1. Sesuatu ayat boleh dimulakan dengan perkataan dengan dan untuk. Contoh: i. Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada minggu hadapan. ii. Untuk makluman tuan, kerja gotong royong akan dimulakan pada minggu hadapan. 2. Kata pemeri adalah tidak boleh digunakan pada permulaan ayat kerana kata pemeri adalah merupakan unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa utama dalam predikat. Pemeri hal itu dilakukan secara huraian tentang subjek oleh predikat dan hanya boleh hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 263. | Tatabahasa | 12.04.2009 |
| “Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah ….” Pasangan “antara – ialah” seperti dalam ayat ini kerap kita temukan dan saya juga menggunakannya. Benarkah penggunaan kata “ialah” dalam ayat ini SALAH? Jika benar, mengapa dan apa pula pasangan yang betul? | Penggunaan kata pemeri "ialah" hadir di hadapan atau sebelum kata nama dalam sesuatu ayat. Misalnya: (i) Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara. (ii) Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia. Oleh yang demikian, ayat saudara: Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah ….” betul penggunaannya mengikut tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini, demikian kata "ialah" dalam ayat ini menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Walau bagaimanapun, tidak tepat sekiranya sdr mengatakan "antara-ialah" sebagai pasangan. Terdapat juga perkataan "antara" - "dengan". Misalnya; (i) Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. Ayat sdr seperti yang di atas dapat juga dibina seperti berikut: (ii) Antara barang yang kami beli di pasar raya itu termasuk garam, gula, kopi, dan teh. Sekiranya saudara ingin memahami penggunaan kata sendi dan kata pemeri, sdr boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terbitan DBP. | Tatabahasa | 23.02.2009 |