1. Apakah perbezaan biro kebajikan dan badan kebajikan? 2. Perbezaan persatuan dan pertubuhan? | Berikut adalah perbezaan dari segi makna perkataan berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat: 1. Perbezaan biro dan badan i. Biro: Jabatan atau agensi (terutama yang menyediakan perkhidmatan untuk orang ramai) ii. Badan: Kumpulan orang yang merupakan suatu kesatuan untuk mengerjakan sesuatu. Agensi, pertubuhan. 2. Perbezaan persatuan dan pertubuhan. i. Persatuan: Gabungan, ikatan, kumpulan. ii. Pertubuhan: Badan yang ditubuhkan untuk mengerjakan (menjalankan) sesuatu, lembaga, organisasi, persatuan. | Makna | 15.01.2021 |
PERBEZAAN ANTARA PERNYATAAN DAN PENYATAAN. | Dalam Kamus Dewan Perdana (KDP) kata pernyataan dan penyataan mempunyai makna yang bebeza. Pernyataan ialah kata-kata, tulisan dan sebagainya yang menyatakan sesuatu perkara. Pernyataan juga bermaksud kenyataan rasmi yang di dalamnya terkandung gagasan, hasrat, isu dan sebagainya tentang sesuatu perkara, biasanya disiarkan melalui media. Contoh ayat: Berikan tiga hujah untuk menyokong pernyataan ini.• Dia didakwa kerana membuat pernyataan palsu dalam laporan tahunan syarikat.• Dalam pernyataan itu, semua negara perlu mengambil bahagian dalam penghijauan dunia melalui penanaman pokok dan pemeliharaan pokok. Penyataan pula ialah perbuatan atau hal menyatakan sesuatu. Contoh ayat: Mahkamah menetapkan tarikh tersebut bagi memberi masa kedua-dua pihak membuat penyataan balas masing-masing.•Penyataan yang benar lahir daripada kejernihan fikiran dan pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu perkara.
| Makna | 20.04.2025 |
Perbezaan antara analitikal, analitik dan analisis? | Dalam Kamus Dewan Perdana (KDP), kata analitikal dan analitik mempunyai makna yang sama. Namun, kata analitik lebih tepat dan kerap penggunaannya berbanding kata analitikal. Kedua-kedua kata ini mempunyai dua makna, iaitu: 1. (tentang penyelidikan, pendekatan dan sebagainya) bersifat analisis; 2. mampu atau berkebolehan untuk menganalisis sesuatu (KDP2020: 92). Contoh ayat bagi kata analitikal dan analitik: Terapi ini akan merangsang otak kiri yg bersifat analitik supaya lebih aktif.• Dia mempunyai pemikiran yang analitik.•Berfikir secara analitikal ditandai oleh daya usaha untuk melihat sesuatu itu secara lebih terperinci. Kata analisis pula mempunyai makna yang berbeza yang merujuk penelitian atau penyelidikan untuk mengkaji sesuatu. Makna ini dipecahkan kepada tiga dan berbeza mengikut konteks penggunaannya. Makna analisis dalam KDP ialah: 1. penelitian secara terperinci dan mendalam daripada pelbagai aspek, faktor dan sebagainya untuk mengetahui keadaan sebenar, sebab musabab dan sebagainya; 2. penyelidikan secara terperinci dan mendalam dengan menggunakan kaedah statistik untuk mendapatkan sesuatu kesimpulan atau menjelaskan sesuatu keadaan; 3. penyelidikan secara saintifik untuk mengetahui kandungan atau juzuk sesuatu (KDP2020: 91). Contoh ayat bagi kata analisis: Analisis penulisan novel fiksyen golongan Tionghoa peranakan sudah disampaikan kepada editor jurnal.•Banyak analisis telah dilakukan berhubung kesan pelaburan syarikat asing di negara Dunia Ketiga.• Analisis darah dilakukan untuk mengetahui tahap kolesterol dalam darah seseorang. | Makna | 11.03.2025 |
Perbezaan antara “Kamus DBP versi dalam Talian” dan “ Kamus Dewan Edisi Keempat”. | Kamus DBP versi dalam Talian atau Gerbang Kata DBP adalah portal yang menyediakan ruang kepada masyarakat untuk memberikan sumbangan maklumat yang berkaitan dengan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Kata yang terpilih (menepati syarat sebagai kata baharu), akan ditangani oleh sidang editor Bahagian Perkamusan dan kemudiannya akan disiarkan dalam portal ini. Kamus Dewan Edisi Keempat pula ialah kamus yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2005 manakala edisi ekonomi kamus ini terbit pada tahun 2015. Kamus ini juga boleh diakses secara dalam talian melalui laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). | Lain-lain | 17.02.2025 |
Perbezaan “menyakiti hati” dan menyakitkan hati”? | Menurut Kamus Dewan Perdana, menyakiti bermaksud menyebabkan seseorang berasa sakit dan berkenaan dengan kata-kata dan perbuatan menyebabkan hati dan perasaan berasa sakit. Menyakitkan adalah menjadikan atau menimbulkan rasa sakit pada sesuatu. Menyakitkan hati bermaksud menyebabkan seseorang berasa sangat tersinggung, geram dan tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara atau hal. Oleh yang demikian, menyakiti hati dan menyakitkan hati membawa maksud yang sama dan boleh digunakan mengikut konteks penggunaan dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1932-1933. | Tatabahasa | 04.12.2024 |
Perbezaan kata rasa, berasa dan merasa. Contoh ayat 1)Sarah berasa sangat gembira kerana memenangi pertandingan itu. 2)Namun tidak semua merasa gembira dengan pencapaian tersebut. 3)Zetti rasa tercabar kerana selama ini dia merasakan dirinya paling terkenal di sekolah itu. | Rasa ialah apa-apa yang dikecap oleh lidah, apa-apa yang dialami oleh bahagian tubuh dan apa yang dirasakan di hati. Berasa bermaksud mempunyai rasa dalam hati, mempunyai rasa tertentu yang dapat dikesan oleh lidah dan berada dalam keadaan hairan, insaf dan sebagainya dalam hati. Merasa bermaksud mengecap untuk mengetahui (rasa makanan dan minuman) dengan lidah, mengalami (rasa sakit atau panas) pada tubuh dan meraba atau menjamah sesuatu dengan tangan atau kaki. Ayat 1 dan 3 betul. Ayat 2 diberikan penambahbaikan seperti yang berikut: “Namun, tidak semua berasa gembira dengan pencapaian tersebut.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1826-1827. | Tatabahasa | 03.10.2024 |
Perbezaan dan penggunaan perkataan laman sosial dan media sosial. | Kedua-duanya betul mengikut kontkes penggunaan. | Lain-lain | 14.11.2022 |
Perbezaan antara kata kerja intransitif dan kata kerja tak transitif | Kata kerja intransitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek, tetapi boleh diikuti pelengkap. Kata kerja tak transitif pula merupakan kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh pelengkap. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 387-388. | Tatabahasa | 20.08.2022 |
Perbezaan penggunaan perkataan analisa dan analisis | Istilah yang betul ialah analisis. Analisis ialah penyelidikan atau penghuraian sesuatu (seperti keadaan, masalah, persoalan, dan lain-lain) untuk mengetahui pelbagai aspeknya (ciri-cirinya dan lain-lain) secara terperinci atau mendalam. | Lain-lain | 09.08.2022 |
perbezaan masyarakat kasih sayang dan masyarakat penyayang. | Perkataan yang lebih sesuai ialah masyarakat penyayang yang bermaksud “masyarakat yang mempunyai sifat cinta, kasih dan belas kasihan dalam diri mereka untuk mewujudkan keharmonian dalam sesuatu hubungan kemasyarakatan”. | Makna | 13.12.2021 |