Apakah takrifan yang tepat bagi istilah Pergaulan Bebas | Pergaulan bebas ialah hal atau perbuatan bergaul, biasanya antara lelaki dengan perempuan yang menyimpang daripada norma agama, budaya dan sosial sesuatu masyarakat dan boleh membawa kepada kesan buruk sekiranya tidak dibendung. | Makna | 14.12.2024 |
Ibu bapa perlu (membatas) pergaulan anak-anak bagi (menghindarkan) mereka daripada (terbabit) dalam gejala yang kurang sihat. Adakah ayat di atas betul ? terima kasih! | Ibu bapa perlu membataskan pergaulan anak-anak bagi menghindari mereka daripada terbabit dalam gejala yang kurang sihat.
| Lain-lain | 12.10.2009 |
Salam sejahtera, tuan. Ayat: Para remaja perlu membatasi/membataskan pergaulan mereka agar terhindar daripada masalah sosial. Pertanyaan: Antara pilihan yang diberikan, mana satu ialah jawapan yang paling tepat? Terima kasih. | Perkataan yang tepat ialah membatasi seperti yang terdapat dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 218). membatasi 1 … 3 menetapkan atau menentukan had atau sempadan (sst hal, keadaan dsb): Mereka mengadakan majlis tari-menari tanpa membatasi percampuran antara lelaki dgn perempuan. Hidup manusia mesti dibatasi dgn disiplin. 4 … Perkara ini juga ada dibincangkan dalam buku Tatabahasa Dewan Edis Ketiga (DBP, 2008: 208) | Lain-lain | 25.06.2021 |
Mohon semakan kesesuaian bahasa: "Gangguan Seksual: Tolak Normalisasi, Tunjuk Hormat" | Frasa yang betul ialah "Gangguan Seksual: Tolak Normalisasi, Jaga Batas Pergaulan". | Tatabahasa | 08.10.2024 |
tolong berikan maksud remaja dan maksud masalah sosial, cara untuk menangani dan punca mslh itu | Mengikut Kamus Dewan remaja antaranya bermaksud mulai dewasa,sudah akil baligh,sudah cukup umur untuk berkahwin. Sosial bermaksud i. segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat,kemasyarakatan. ii. berkaitan dengan persahabatan,pergaulan dan aktiviti masa lapang 3. suka bergaul dan bermesra. Masalah sosial bermaksud masalah yang timbul daripada pergaulan dalam masyarakat. Dari segi cara untuk menangani dan punca masalah ini sdr. bolehlah membuat rujukan dalam majalah atau akhbar tempatan yang membincangkan perkara ini. | Makna | 30.07.2007 |
Apakah perbezaan sahabat dan kawan? | Maksud "sahabat" ialah "orang yang dikenal rapat dan disukai tetapi tidak bersaudara dengannya." manakala "kawan" ialah "kumpulan (binatang), kelompok, gerombolan (penjahat, pengganas, dan lain-lain), sahabat, teman (dalam pergaulan sehari-hari) atau rakan. Maka sahabat dan kawan ialah sinonim.
| Makna | 02.01.2023 |
boleh tolong berikan maksud masyarakat?? | Sdr. Nurul terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Mengikut kamus Dewan inilah yang dimaksudkan dengan masyarakat - kumpulan manusia yg hidup bersama (di sesuatu tempat dgn aturan dan cara tertentu), pergaulan hidup: menjadi guru ialah sebaik-baik pekerjaan di sisi ~; ~ kampung golongan manusia yg tinggal di kampung; ~ kota golongan manusia yg tinggal di kota; ~ majmuk masyarakat yg terdiri drpd beberapa bangsa (kumpulan etnik atau suku bangsa dsb); ~ ramai orang (khalayak) ramai; sampah ~ orang yg tidak berguna dlm sesuatu kumpulan manusia; 2. keseluruhan hubungan sosial antara kumpulan haiwan: ~ haiwan; Terima kasih | Tatabahasa | 13.07.2009 |
KETERANGAN BUDI BAHASA BUDAYA BANGSA | Budi bahasa lazimnya merujuk 'tutur kata, kelakuan, sapon santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak yang mulia'. Setiap gerak laku, tutur kata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa. Umumnya, nilai-nilai murni yang diterima diamalkan oleh masyarakat Malaysia yang merentas individu, kekeluargaan, masyarakat dan kenegaraan adalah nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat rasmi dan kebudayaan. Untuk maklumat lanjut, tuan bolehlah menghubungi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan selaku penganjur Kempen Budi Bahasa atau dapatkan buku Budi Bahasa Budaya Kita yang diterbitkan oleh mereka. | Lain-lain | 30.03.2009 |
fungsi bahasa melayu sebagai bahasa rasmi | Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang digunakan dalam situasi rasmi, yakni dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, dan sebagainya. Dalam konteks negara kita, bahasa rasmi ialah bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai lambang identiti masyarakat, wahana perpaduan masyarakat, bahasa perhubungan sesama masyarakat, alat pemikiran dan pergaulan masyarakat, dan sebagainya. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, DBP untuk membuat rujukan/penyelidikan bagi menyelesaikan tugasan saudara ini. | Tatabahasa | 22.05.2010 |
salam, saya nak tanya pendapat cik/puan/tuan mengenai kempen budi bahasa dalam melestarikan budaya timur. Apakah pendapat cik /puan berdasarkan penyataan tu, adakah adakah budi bahasa tu boleh mengekalkan budaya timur? terima kasih. | Budi bahasa lazimnya merujuk kepada 'tutur kata, kelakuan, sapon santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak yang mulia'. Setiap gerak laku, tutur kata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa. Umumnya, nilai-nilai murni yang diterima diamalkan oleh masyarakat Malaysia yang merentasi individu, kekeluargaan, masyarakat dan kenegaraan adalah nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat rasmi dan kebudayaan. Untuk menjawab pertanyaan tersebut, tuan bolehlah menghubungi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan selaku penganjur kempen ini atau dapatkan buku Budi Bahasa Budaya Kita yang diterbitkan oleh mereka. | Lain-lain | 03.03.2009 |