wujud tak pasangan kata hubung walaupun.... tambahan pula/namun ? perilaku atau peri laku? | Walaupun, tambahan pula dan namun merupakan kata hubung pancangan keterangan yang berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama. Ejaan yang betul ialah peri laku. | Tatabahasa | 20.03.2007 |
ejaan yang betul untuk peripenting atau peri penting? | Sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". | Lain-lain | 02.11.2010 |
DEFINISI PIHAK BERKEPENTINGAN | Kepentingan bermaksud mempunyai kepentingan, iaitu perihal sifat penting, peri mustahak, keperluan; sesuatu yang penting (dituntut, dihargai) demi kebaikan, manfaat; hak atau saham dalam sesebuah syarikat. Pihak berkepentingan boleh didefinisikan sebagai pihak yang mempunyai hak atau saham dalam sesuatu perkara, atau mempunyai keperluan, atau inginkan sesuatu manfaat. | Makna | 01.03.2008 |
Salam sejahtera, Adakah "betapa pun" dikategorikan sebagai kata hubung? Sekian, terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, betapa bermaksud peri, alangkah: sekarang dia menyedari ~ mustahaknya papan tanda tersebut; ~ senangnya hati anak negeri; 2. sesuai dgn, seperti: maka nenek kebayan pun bersiaplah ~ adat kahwin anak raja besar-besar; 3. bagaimana, dgn cara apa: ~ halnya kita hendak membawa dia ke rumah sakit sedangkan kita tidak mempunyai kenderaan; 4. meskipun: ~ dicarinya, tidak juga ditemukan. Merujuk pada buku Tesaurus Bahasa Melayu Dewan, betapa merupakan kata tugas dan dalam kategori kata hubung. | Tatabahasa | 07.12.2013 |
Apakah istillah yang sesuai untuk UML Structural diagram UML Behavioral diagram dalam bidang Teknologi Maklumat? | Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "UML Structural Diagram" dan "UML Behavioral Diagram" ialah Gambar Rajah Struktur UML dan Gambar Rajah Peri Laku UML. | Istilah | 14.04.2017 |
oleh itu betul ke oleh sebab itu betul? merasakan keperitan betul ke? ke berasa keperitan? | Frasa 'oleh itu' dan 'oleh sebab itu' kedua-duanya betul. Kata keperitan sahaja sudah membawa maksud rasa/peri hal perit, maka tidak perlu lagi berasa keperitan. | Tatabahasa | 22.03.2011 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin bertanyakan berkenaan terjemahan bahasa Melayu bagi istilah "sprite". "Sprite" ini merujuk kepada fenomena elektrik mesosfera yang berlaku di atas awan ribut (kumulunimbus); ia berupa seperti kilat yang berkelompok dan berbentuk seperti lobak, obor-obor atau tiang. Dalam PRPM, ada terjemahan bagi "sprite" (pari-pari, peri atau peperi). Adakah terjemahan yang sama boleh digunakan untuk fenomena ini? Terima kasih. | Melalui semakan di internet, sprite merujuk tiga perkara/makna yang berbeza. Perkara pertama dan kedua (seperti yang tuan maklumi) ada terjemahannya dalam data kami, namun perkara yang ketiga belum ada padanannya. Perkara ini perlu dikemukakan kepada pihak yang berwenang dalam hal ini, iaitu Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP; dan untuk sementara waktu, penggunaan sprite bagi konteks yang tersebut hendaklah diitalikkan ejaannya atau diberi huraiannya dalam bahasa Melayu bagi memahamkan khalayak. | Penyemakan dan penterjemahan | 25.12.2014 |
Bagaimanakah nak kelaskan morfem bebas dengan morfem terikat. Adakah apitan dikira 1 @ 2 morfem? Umpamaya perkataan ,'berperikemanusiaan' dikira sebanyak 4 morfem, adakah apitan 'ke...an' dianggap 1? | Morfem ialah satuan terkecil dalam bahasa yang mempunyai erti atau fungsi tertentu, seperti perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an. Bagi perkataan berperikemanusiaan, terdapat lima morfem , iaitu ber- + peri + ke- + manusia + -an; dua morfem bebas, iaitu peri dan manusia serta tiga morfem terikat, iaitu ber-, ke- dan -an. | Tatabahasa | 20.05.2011 |
1. Mengapakah dalam buku Tatabahasa Dewan menyatakan bahawa kata terbitan yang menerima imbuhan apitan terdiri daripada 3 morfem, contohnya 'berkakikan' dikatakan terdiri daripada morfem ber+kaki+kan sedangkan jika diteliti imbuhan apitan beR-...-kan wujud sebagai 1 morfem. Oleh yang demikian saya inginkan kepastian bahawa adakah semua imbuhan apitan dikira sebagai 1 morfem ataupun 2 morfem? Sekian terima kasih. | Morfem ialah satuan terkecil dalam bahasa yang mempunyai erti atau fungsi tertentu, seperti perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an. Bagi perkataan berperikemanusiaan, terdapat lima morfem , iaitu ber- + peri + ke- + manusia + -an; dua morfem bebas, iaitu peri dan manusia serta tiga morfem terikat, iaitu ber-, ke- dan -an. Semua imbuhan dikira satu morfem terikat kerana tidak dapat berdiri dengan sendiri dan tiada makna. Berkakikan mempunyai tiga morfem iaitu dua morfem terikat (ber dan kan) dan satu morfem bebas (kaki). | Tatabahasa | 11.01.2013 |
Bagaimanakah penggunaan 'berapa' dan 'betapa' berbeza? Bolehkah 'how easily can you solve it' diterjemahkan sebagai 'berapa mudahkah anda dapat menyelesaikannya?' atau adakah lebih betul jika kita menggunakan 'betapa'? Terima kasih | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan berapa bermaksud 1. kata tanya untuk menanyakan jumlah 2, sebanyak mana, sebesar apa 3. bagaimana, betapa, Perkataan betapa bermaksud 1. peri, alangkah 2. sesuai dengan,seperti 3. bagaimana,dengan cara apa. Ayat yang dikemukakan lebih sesuai diterjemahkan sebagai ' betapa mudahkah anda dapat menyelesaikannya? | Tatabahasa | 12.06.2008 |