Masjid Putra dalam menyiapkan projek sebuah mini perpustakaan. Mohon bantuan untuk memberikan nama yang betul samada:- i. Mini Perpustakaan (contoh:Mini Perpustakaan Masjid Putra) ii.Perpustakaan Mini (contoh:Perpustakaan Mini Masjid Putra) Sekian, terima kasih. Mohd Hasdi bin Muda Penolong Pengarah Pentadbiran | Untuk makluman, istilah yang betul ialah perpustakaan mini. Oleh itu, nama yang betul ialah Perpustakaan Mini Masjid Putra. | Istilah | 29.10.2012 |
Perpustakaan Negara Malaysia adalah perpustakaan rasmi bagi negara Malaysia. Betulkah ayat ini dan penggunaan kata pemeri "adalah"? | Ayat yang betul ialah Perpustakaan Negara Malaysia ialah perpustakaan rasmi bagi negara Malaysia. Kata pemeri adalah hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 263-265. | Tatabahasa | 19.09.2014 |
(Tolong cari satu kesalahan ejaan dan satu imbuhan bagi setiap ayat.)1)Perpustakaan eletronik merupakan perpustakaan alternatif yang dapat menyediakan maklumat dalam program pendidkan jarak jauh.2)"Amalan Gaya Hidup Sihat" merupakan selogan untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat di seluruh negara ini.3)Taksuban orang ramai terhadap khasiat telur penyu menyebabkan popolasi spisis laut itu kian berada dalam keadaan yang genting.4)Balagah dalam bahasa Arab ialah bidang ilmu yang lahir untuk tujuan memahamkan kandungan al-Quran. | (Tolong cari satu kesalahan ejaan dan satu imbuhan bagi setiap ayat.) Soalan: 1)Perpustakaan eletronik merupakan perpustakaan alternatif yang dapat menyediakan maklumat dalam program pendidkan jarak jauh. Jawapan: 1)Perpustakaan elektronik merupakan perpustakaan alternatif yang menyediakan maklumat dalam program pendidikan jarak jauh. Soalan: 2)"Amalan Gaya Hidup Sihat" merupakan selogan untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat di seluruh negara ini. Jawapan: 2)"Amalan Gaya Hidup Sihat" merupakan slogan untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat di negara ini. Soalan: 3)Taksuban orang ramai terhadap khasiat telur penyu menyebabkan popolasi spisis laut itu kian berada dalam keadaan yang genting. Jawapan: 3)Ketaksuban orang ramai terhadap khasiat telur penyu menyebabkan populasi spesies laut itu kian berada dalam keadaan yang genting. Soalan: 4)Balagah dalam bahasa Arab ialah bidang ilmu yang lahir untuk tujuan memahamkan kandungan al-Quran. Jawapan: 4)Balagah dalam bahasa Arab ialah bidang ilmu yang lahir untuk tujuan memahami kandungan al-Quran.
| Tatabahasa | 17.03.2013 |
Selamat sejahtera. (A) Bagaimanakah kita membezakan penggunaan 'secara' dan 'dengan'? Ayat yang mana satukah betul? 1. Saya membaca buku dengan senyap di dalam perpustakaan. 2. Saya membaca buku di dalam perpustakaan dengan senyap. 3. Saya membaca buku secara senyap di dalam perpustakaan. 4. Saya membaca buku di dalam perpustakaan secara senyap. (B) Bagaimanakah membezakan penggunaan 'supaya' dan 'untuk'? (C) Adakah 'ai' yang terdapat dalam perkataan 'pacaindera' ialah diftong dan harus disebut pa+cain+de+ra? (D) Ayat yang mana satukah betul? 1. Saya beratur sebelum menaiki bas. 2. Saya beratur untuk menaiki bas. Terima kasih. | 1. Melihat kepada aspek makna, perkataan secara bermaksud cara membuat sesuatu, manakala dengan bermaksud kata yang digunakan untuk menunjukkan cara sesuatu itu dilakukan. Berdasarkan makna tersebut ayat yang betul ialah "Saya membaca buku secara senyap di dalam perpustakaan" dan "Saya membaca buku dengan senyap di dalam perpustakaan". 2. Supaya bermaksud agar atau hendaknya, manakala kata sendi nama untuk digunakan di hadapan kata nama/frasa nama untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. 3. Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah seperti ai, au, dan oi. Huruf a dan i dalam perkataan pancaindera bukan dalam suku kata yang sama. | Tatabahasa | 01.05.2012 |
Sharifah Sharina Syed Aswad Assalammualaikum, Bagaimana cara untuk mendapatkan majalah dewan pelajar keluaran lama untuk dimasukkan dalam kotak buku projek Perpustakaan Mini yang dijalankan oleh NGO Projek Iqra'? Projek ini ialah melawat rumah2 anak yatim dan menambah buku-buku atau bahan bacaan baru ke perpustakaan mereka. Rumah yang tiada perpustakaan, kita akan wujudkan perpustakaan mini mereka. Boleh rujuk link ini untuk informasi lanjut: http://www.projekiqra.com/cs_cause/perpustakaan-mini-2-0 Yang benar, Sharifah Sharina Syed Aswad Naib Pengerusi Projek Iqra' | Berkaitan dengan perkara ini, dengan hormatnya puan boleh menghubungi Encik Azimin bin Daud, Bahagian Komunikasi Korporat DBP melalui talian 03-2147 9485 atau e-mel azimin@dbp.gov.my . Selain itu, tuan juga boleh menulis surat kepada Tuan Haji Razali bin Che Mat, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Aras 11, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 05.05.2014 |
Kata sendi nama manakah yang betul dalam ayat ini: "Buku ini dipinjam dari/daripada perpustakaan"? Dalam ayat ini, perpustakaan adalah tempat, dan pada masa yang sama juga ia adalah asal atau punca buku itu dipinjam. Mohon pencerahan, terima kasih. | Penggunaan yang betul ialah daripada. Dalam ayat tersebut, perkataan dipinjam boleh digunakan sebagai penentu penggunaan kata sendi sama ada dari dan daripada. Ayat tersebut lebih lebih kepada sumber atau punca. | Tatabahasa | 06.08.2020 |
Sesuai atau tidak pengunaan perkataan ini dalam Bahasa Malaysia: Perpustakaan Kuala Lumpur : Santuari Ilmu Anda ayat tema asal: Perpustakaan Kuala Lumpur : Your Knowledge Sanctuary In The City | Perkataan ‘santuari’ dalam tema Perpustakaan Kuala Lumpur:Santuari Ilmu Anda tidak sesuai kerana santuari bermaksud 1. tempat suci; 2. tempat perlindungan 3. kawasan perlindungan. | Penyemakan dan penterjemahan | 10.02.2015 |
istilah Perpustakaan dalam bahasa Greek dan Roman | Untuk makluman saudara DBP menyusun istilah daripada bahasa sumber (Inggeris) dan mencari padanannya dalam bahasa Melayu. Untuk mencari istilah dalam bahasa-bahasa lain sila rujuk buku istilah yang berkaitan. | Istilah | 15.04.2010 |
Untuk perpustakaan "on hold" - the book is "on hold". Untuk pengkomputeran "Browse" | Cadangan terjemahan kami bagi "the book is on hold" ialah sama ada "buku itu sedang dalam perhatian" atau "buku itu ditangguhkan...". Walau bagaimanapun, terjemahannya bergantung pada konteks. Bagi "browse" dalam bidang komputer, istilah bahasa Melayunya ialah semak seimbas atau imbas/mengimbas. | Istilah | 18.04.2009 |
Adakah ayat-ayat di bawah betul dalam tatabahasa dan strukturnya ? (1) Cikgu Ali sedang membaca suratkhabar sambil duduk di atas sofa yang disediakan di perpustakaan. (2) Cikgu Ali sedang duduk di atas sofa yang disediakan di perpustakaan sambil membaca suratkhabar. (3) Siti yang menjaga kesihatan diri sedang berjogging di larian jogging di taman. (4) Aril yang menjaga kebersihan alam sekitar membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di taman. (5) Aril yang menjaga kebersihan alam sekitar membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan di taman. (6) Beberapa orang murid yang tekun sedang mengulangkaji pelajaran mereka di perpustakaan. (7) Beberapa orang murid yang tekun sedang membuat ulangkaji di perpustakaan. (8) Nora sedang melayari internet untuk mencari maklumat-maklumat bagi menyiapkan tugasannya. (9) Puan Sofia sedang memilih ikan sambil menjinjing sebuah bakul yang berisi sayur. (10) Puan Sofia sedang memilih ikan sambil menjinjing sebuah bakul yang diisi sayur. | Berikut ayat yang betul: 1) Cikgu Ali membaca surat khabar sambil duduk di atas sofa yang disediakan di perpustakaan. (2) Cikgu Ali duduk di atas sofa yang disediakan di perpustakaan sambil membaca surat khabar. (3) Siti yang menjaga kesihatan diri sedang berjoging di larian joging di taman. (4) Aril yang menjaga kebersihan alam sekitar membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di taman. (5) Aril yang menjaga kebersihan alam sekitar membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan di taman. (6) Beberapa orang murid sedang mengulang kaji pelajaran mereka di perpustakaan dengan tekun. (7) Beberapa orang murid sedang membuat ulang kaji di perpustakaan dengan tekun. (8) Nora sedang melayari internet untuk mencari maklumat bagi menyiapkan tugasannya. (9) Puan Sofia sedang memilih ikan sambil menjinjing sebuah bakul yang berisi sayur.
| Tatabahasa | 14.07.2014 |