adakah perkataan bahagian piliihan raya persekutuan dan bahagian pilihan raya negeri perlu dimulakan dengan huruf besar. contoh: 1) Pada masa ini terdapat sebanyak 222 bahagian pilihan raya persekutuan dan 587 bahagian pilihan raya negeri. 2) Bahagian pilihan raya persekutuan adalah untuk memilih wakil di Dewan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan. 3) Bahagian pilihan raya negeri adalah untuk memilih wakil di Dewan Undangan Negeri bagi membentuk kerajaan Negeri. | Terdapat beberapa jenis penggunaan huruf besar dalam penulisan Bahasa Melayu. Bahagian Pilihan raya dan seumpamanya dikategorikan sebagai nama institusi seperti Dewan Undangan Negeri dan lain-lain yang dimulakan dengan huruf besar. - Bahagian Pilihan raya Persekutuan - Bahagian Pilihan raya Negeri | Lain-lain | 08.09.2017 |
Apakah nama syarikat? | Pertanyaan saudara tidak jelas. Sekiranya saudara memerlukan makna syarikat, berdasarkan Kamus Dewan edisi Keempat, syarikat ialah 1. persekutuan, perkumpulan, gabungan; Amerika S~ negara persekutuan di Amerika Utara; 2. badan atau institusi perusahaan atau perniagaan (yg dimiliki oleh satu orang atau sekumpulan orang), perkongsian (dlm perniagaan), firma: kita bersama memodali perniagaan itu yg dgn sendirinya menjadi sebuah ~; anak ~ syarikat yg sekurang-kurangnya separuh drpd modalnya dimiliki oleh syarikat lain; 3. persekutuan negara-negara yg menjadi sahabat (dlm peperangan), sekutu; ~ berhad syarikat perusahaan atau perniagaan yg tanggungan atau tanggungjawab pemilik-pemiliknya terhadap hutang piutang syarikat berkenaan terhad hanya pd wang dsb yg telah dilaburkan ke dlm syarikat itu; ~ bersekutu (Udg) syarikat yg sebahagian kepentingannya dipunyai atau dikawal oleh syarikat lain; ~ gergasi = ~ raksasa; ~ induk syarikat yg memiliki sebuah atau beberapa buah anak syarikat; ~ kerjasama koperasi (syarikat); ~ kewangan syarikat yg memberikan kemudahan pinjaman kewangan dgn kadar faedah yg lebih tinggi drpd bank perdagangan, terutamanya utk urus niaga sewa beli; ~ multi-nasional syarikat yg beroperasi di beberapa buah negara; ~ nomini (Eko) syarikat yg fungsinya memegang dan mengendalikan saham bagi pihak klien atau pemilik sebenar saham berkenaan; ~ pembuatan syarikat yg kegiatannya ialah membuat atau menghasilkan barang (di kilang dsb); ~ perniagaan syarikat yg kegiatannya mengendalikan perniagaan (jual beli); ~ perusahaan syarikat yg menjalankan sesuatu atau beberapa perusahaan (spt pembuatan barang, pengendalian perkhidmatan, dll); ~ raksasa syarikat yg amat besar (modalnya, bidang kegiatannya, penghasilannya, tenaga pekerjanya, dsb); ~ tersenarai (Eko) syarikat yg saham biasanya disenaraikan di bursa saham dan oleh itu boleh diperniagakan; | Lain-lain | 14.10.2009 |
mohon semak ayat berikut - 2.1 Melalui Warta Persekutuan (P.U 486/1965) Perintah Kanun Tanah Negara (Bayaran Ukur) 1965, Menteri Tanah dan Galian (pada waktu itu) telah memberikan kuasa kepada Pengarah Negeri (pada waktu itu) untuk meremit atau mengecualikan bayaran ukur tanah-tanah yang terlibat di dalam skim atau projek oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri yang dibangunkan untuk kegunaan awam. 2.2 Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri, melalui pandangan perundangan bertarikh 18 Ogos 2010, berpendapat bahawa penurunan kuasa boleh diberikan oleh Pengarah Tanah dan Galian kepada Pentadbir Tanah melalui peruntukan di dalam Seksyen 15(1) perenggan (g) Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56). | 1. Melalui Warta Persekutuan (P.U 486/1965) Perintah Kanun Tanah Negara (Bayaran Ukur) 1965, Menteri Tanah dan Galian (pada waktu itu) telah memberikan kuasa kepada Pengarah Negeri (pada waktu itu) untuk meremit atau mengecualikan bayaran ukur tanah-tanah yang terlibat di dalam skim atau projek oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri yang dibangunkan untuk kegunaan awam. 2. Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri, melalui pandangan perundangan bertarikh 18 Ogos 2010, berpendapat bahawa penurunan kuasa boleh diberikan oleh Pengarah Tanah dan Galian kepada Pentadbir Tanah melalui peruntukan di dalam Seksyen 15(1) perenggan (g) Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56). Kedua-dua contoh yang diberikan berkaitan dengan soalan sebelum ini. Berdasarkan maklumat yang diberikan sebelum ini penggunaan frasa 'di dalam' dalam kedua-dua ayat tersebut adalah kurang tepat. Walau bagaimanapun seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pemakaian bahasa dalam bidang undang-undang kadangkala tidak persis dalam penulisan umum. Bahasa dalam undang-undang mempunyai larasnya tersendiri dan penggunaannya terhad dalam bidang tersebut. Oleh itu, sila rujuk pakar yang arif tentang laras bahasa undang-undang dan tafsiran setiap kata yang termaktub dalamnya. | Tatabahasa | 17.02.2011 |
Bagi bahagian pilihan raya persekutuan, sempadan yang dibuat tidak boleh melangkau atau merentasi sempadan negeri yang lain. Manakala bagi bahagian pilihan raya negeri pula, sempadannya tidak boleh berada di dalam dua bahagian pilihan raya Persekutuan yang berbeza. Perlukan ayat "bahagian pilihan raya persekutuan" dan "bahagian pilihan raya negeri" dimulakan dengan huruf besar? | Ya, ayat tersebut perlu dimulakan dengan huruf besar seperti di bawah: 1. Bahagian Pilihan raya Persekutuan 2. Bahagian Pilihan raya Negeri | Lain-lain | 08.09.2017 |
Salam, Saya hendak bertanya tentang penggunaan huruf besar yang betul bagi dua pernyataan yang berikut. 1. pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 2. pilihan raya Majlis Bandaran Sekian, terima kasih | Ejaan yang betul ialah: Pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Pilihan raya majlis bandaran/perbandaran atau Pilihan raya Majlis Perbandaran Bentong. | Ejaan | 21.05.2012 |
Salam sejahtera & salam 1 Malaysia Saya penolong pengarah di Bahagian Kawalselia Penyenggaraan, Kementerian Kerja Raya Malaysia. Saya ada kekeliruan dalam penggunaan perkataan (term) "nombor" atau "kod" situasinya ialah Jalan Persekutuan, Jalan Negeri & Lebuhraya mempunyai nombornya sendiri. Nombor ini ada ditulis di setiap nama jalan pada papan-papan tanda jalan. Sebagai contoh: 1. Jalan Persekutuan – FT01(Jalan Seremban ke KL). FT02, FT03 dan sebagainya bagi jalan-jalan lain. 2. Jalan Negeri – B01(abjad B bagi negeri Selangor dan 01 nombor jalan), 3. Lebuh Raya – E01(Lebuhraya Utara Selatan PLUS) Pertanyaan saya, adakah nombor ini sesuai disebut Nombor Laluan Jalan atau Kod Laluan Jalan atau ada cadangan lebih sesuai. Terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan nombor ialah tanda yang menyatakan bilangan, manakala kod bermaksud serangkai huruf atau nombor yang digunakan untuk mengenal pasti sesuatu tempat. Berdasarkan huraian makna tersebut penggunaan istilah "kod" lebih tepat digunakan dalam konteks yang tersebut. | Lain-lain | 18.09.2012 |
APAKAH HIRAKI GELARAN TERTINGGI DI MAAYSIA MENGIKUT KEUTAMAANNYA. CONTAOHNTA DATO' DENGAN DATUK, DATUK SERI TAN SRI DAN YANG LAIN-LAIN PANGKAT | Merujuk buku Protokol di Malaysia: Tradisi dan Amalan, halaman 327, Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan dan Negeri ialah: 1. Seri Pahlawan Gagah Perkasa/SP (Persekutuan) 2. Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia/DKM (Persekutuan) 3. Darjah Utama Seri Mahkota Negara/DMN (Persekutuan) 4. Darjah Kerabat 1/DK 1 (Johor) 5. Darjah Kerabat/DK (Kelantan) dan seterusnya sehingga ke senarai 211. Dalam hal ini, saudara perlu merujuk Bahagian Protokol dan Adat Istiadat, JPM kerana setiap pingat membawa gelarannya tersendiri dan susunan keutamaan seperti dalam buku yang tersebut di atas. Untuk makluman saudara penerima pingat daripada Sultan/Yang di-Pertuan Besar bergelar Dato'/Dato' Seri, manakala penerima pingat daripada Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri bergelar Datuk. | Lain-lain | 21.09.2011 |
Tuan, Yang mana betul ' Pegawai daripada DBP atau pegawai dari DBP ' ? Misalnya mengikut buku Panduan Bahasa Melayu Untuk Lulus Peperiksaan Dan Urusan Pejabat oleh Jeniri Amir, 1. Peruntukan dari Kerajaan Negeri ke Kerajaan Persekutuan ( salah) 2. Peruntukan daripada Kerajaan NegeriKe Kerajaan Persekutuan ( betul) , kerana perkataan 'daripada' digunakan sebab mengambil kira Institusi yang ada kaitan dengan manusia.Bermakna perkatan 'dari' itu adalah salah. Terima kasih. Musa | Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama "daripada" hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. Berdasarkan huraian tersebut penggunaan yang betul ialah Peruntukan daripada Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 268. | Tatabahasa | 23.05.2012 |
1. Apakah padanan terjemahan yang sesuai bagi perkataan "the raising of loans"? Sama ada boleh menggunakan perkataan "pemerdapatan pinjaman" sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan? 2. Apakah padanan terjemahan yang sesuai bagi perkataan "to raise loan"? Sama ada boleh menggunakan perkataan "memperdapatkan pinjaman"? 3. Apakah padanan terjemahan yang sesuai bagi perkataan "raised"? Sama ada perkataan "diperdapatkan" boleh digunakan? Adakah perkataan "pemerdapatan", "memperdapatkan" dan "diperdapatkan" betul dari segi tatabahasa? | Cadangan padanan bahasa Melayu bagi the raising of loans ialah peningkatan kadar pinjaman, to raise loan ialah meningkatkan kadar pinjaman atau mendapatkan pinjaman. Manakala raised ialah meningkatkan. Walau bagaimanapun, frasa pemerdapatan pinjaman yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan adalah mengikut laras dan istilah bagi bidang tersebut.
| Penyemakan dan penterjemahan | 28.06.2021 |
1. Mana yang betul, Bahasa Malaysia atau bahasa Malaysia? 2. orang atau orang-orang untuk jamak/plural? (Dalam banyak tulisan - akhbar dan buku - 'orang-orang' digunakan untuk bentuk jamak. | 1. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak berubah, maka nama rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, apabila merujuk bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia, istilah bahasa Malaysia bolehlah digunakan di samping istilah bahasa Melayu. 2. Orang boleh bermaksud tunggal atau jamak. Dalam data rujukan banyak digunakan perkataan orang-orang bagi menunjukkan jamak. Walau bagaimanapun tidak salah jika kita menggunakan orang, lebih-lebih lagi kecenderungan penulis kini yang mementingkan nilai ekonomi dalam berbahasa. | Tatabahasa | 31.05.2012 |