1.Apakah maksud KONTEMPORARI? 2.Apakah maksud TARIAN? 3.Apakah maksud SENI PERSEMBAHAN? 4.Apakah unsur-unsur seni persembahan dan elemen-elemen yang wujud didalamnya? | Kontemporari bermaksud pada masa yang sama, semasa atau sesama, masa kini. Tarian bermaksud gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak muzik. Seni bermaksud halus, tipis, enak didengar atau comel manakala persembahan bermaksud hadiah atau sesuatu yang dihidangkan atau dipertunjukkan. Soalan Saudara yang berikutnya tidak berkaitan dengan Khidmat Nasihat Bahasa. | Lain-lain | 22.01.2007 |
Yang manakah betul? 1. Seorang pengawas ( meneguri / menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju / dan menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (prestasi / persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal ( dengan / bersama-sama ) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan / prestasi) peserta yang berpidato di atas pentas. | 1. Seorang pengawas (menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal (bersama-sama) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan) peserta yang berpidato di atas pentas. | Tatabahasa | 20.11.2013 |
maksud teater dan jenis-jenisnya | 1. Teater adalah persembahan kesenian yang dilakonkan di hadapan penonton secara langsung menggunakan kombinasi pertuturan, gerak isyarat, gerak lakon, muzik, tarian, bunyi-bunyian dan sebagainya. 2. Antara jenis-jenis teater ialah opera, balet, pantomin, wayang kulit, arena dan pementasan. Sekian dan salam. | Lain-lain | 28.03.2009 |
Hello cikgu, minta tanya beberapa rangkai kata berikut sama ada gramatis atau salah; 1. kelawar-kelawar = adakah perkataan ini wujud? dan betul menunjukkan kelawar yang banyak? 2. stesen-stesen minyak = adakah penggunaannya wujud? 3. sektradsisi = adakah perkataan ini wujud? 4. apakah perbezaaannya "pertunjukkan budaya" dan "persembahan budaya", manakah penggunaan yang sesuai? sekian terima kasih! | 1. Perkataan kelawar boleh dijamakkan untuk menunjukkan banyak kelawar, begitu juga dengan perkataan stesen-stesen minyak - menunjukkan banyak stesen minyak. 3. Kata sektradsisi tidak ada dalam sumber rujukan kami. 4. Pertunjukan budaya dan persembahan budaya, sama makna kedua-duanya. | Tatabahasa | 26.07.2010 |
Jawapan yang manakah betul ? 1 I Pendapat seorang pengurus syarikat biasanya kukuh. II Jambatan yang lama itu masih kukuh untuk digunakan. III Kedudukan Encik Amin sebagai pengerusi persatuan itu kukuh. IV Persembahan yang kukuh akan menjadikan majlis lebih menarik. A I dan II B II dan III C III dan IV D I dan IV | Sdr. jawapan yang betul ialah B. | Tatabahasa | 11.09.2007 |
Di manakah penggunaan format Italic boleh digunakan dalam ayat. 1. Nama buku - Buku My Biography yang diterbitkan pada tahun lalu. 2. Kumpulan The New Generation bakal membuat persembahan di Kuala Lumpur bulan depan. 3. Dia belajar di University of London dalam bidang Kejuruteraan Kimia. 4. Perkataan `venue', `rating' dan 'tip' apakah perlu Italic atau kekal seperti biasa. 5. Gelaran seperti kumpulan The Red Warriors. 6. Anuar Manan yang digelar The Rocket Man. 7. Pada program Grammy Awards itu. 8. Seramai 450 penunggang basikal menyertai kejohanan sempena Taman Negara Green Jamboree itu. 9. Meskipun bermula hambar dengan double-bogey di lubang kedua, dia bangkit pada lubang seterusnya dengan lima birdy untuk mencatat tiga bawah par 68. Sekian terima kasih. | Mengikut amalan penerbitan DBP, huruf italik atau huruf condong digunakan untuk menulis judul karya seni dan penerbitan, nama sains, dan sebagainya. Contoh judul karya seni dan penerbitan ialah judul buku, judul drama, nama akhbar, nama majalah, judul filem, dan nama lagu. Untuk maklumat lanjut tentang hal ini, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Ketiga terbitan DBP tahun 1995, halaman 80. | Lain-lain | 11.03.2012 |
berikan contoh ayat dan makna bagi perkataan tersebut:- 1. dwibudaya 2. pratonton 3. prakata 4. tatanegara | 1. Dwibudaya bermaksud mempunyai (mengamalkan) dua kebudayaan yang utama (seperti kebudayaan Inggeris dan kebudayaan Perancis yang diamalkan di Kanada). 2. Pratonyon bermaksud tayangan filem, persembahan teater dan sebagainya yang dikhususkan untuk wartawan, pengkritik dan sebagainya sebelum filem, teater dan sebagainya itu dipertontonkan secara rasmi kepada orang ramai. 3 Prakata bermaksud kata alu-aluan oleh tokoh tertentu untuk sesebuah buku dan lain-lain, atau mukadimah. 4. Tatanegara bermaksud susunan dan bentuk pemerintahan negara. Kata/istilah ini banyak digunakan dalam penulisan buku, berita atau rencana. Sila rujuk artikel yang berkaitan untuk melihat contoh penggunaan perkataan tersebut di dalam ayat. | Makna | 17.03.2010 |
Assalamualaikum dan selamat pagi. Saya ada beberapa soalan berkenaan dengan pantun. 1) Apakah kriteria yang dinilai dalam pertandingan pantun kebangsaan? 2) Sekiranya tema yang diberikan ialah adat dan budaya masyarakat, sejauh manakah tema itu harus diolah/dikupas? adakah ianya secara umum atau seharusnya spesifik kepada aspek-aspek tertentu, misalnya adat perkahwinan, budaya membaca dan sebagainya? | Untuk makluman saudara, mereka yang menyertai pertandingan pantun sama ada peringkat kebangsaan atau IPTA, pantun yang dijual/beli akan dinilai berdasarkan isi, bahasa dan persembahan. Dari segi isi, penekanan kepada: 1. Ketepatan soalan/jawapan: jelas dan sesuai dengan tema 2. Pantun yang dijual mempunyai soalan 3. Jualan/belian pantun yang terkeluar daripada tema yang ditetapkan atau pantun yang berupa pelarian tidak mendapat markah. Dari segi bahasa pula, seorang pemantun hendaklah bijaksana memilih , 1. Pola rima dan suku kata 2. Terdapat kesinambungan/hubungan antara baris 1 dan 2( Keindahan unsur alam, kerenah manusia dan unsur sejarah) 3. Kemunasabahan pembayang maksud 3. Pemilihan kata( Keindahan alam, kerenah manusia dan unsur sejarah) 4. Sebutan yang jelas Dari segi persembahan pula, penyampaian seorang pemantun akan dinilai melalui, 1. Gaya persembahan seimbang dengan pantun 2. Intonansi( nada pemisah antara pembayang dan maksud) 3. Jeda( nada/hentian sebentar pada dua patah perkataan awal setiap baris) 4. Kelancaran( tanpa kegagapan dan pengulangan) Untuk makluman saudara juga , setiap rangkap pantun yang dijual atau dibeli hendaklah menepati tema yang telah ditetapkan dan kalau boleh biarlah spesifik. | Lain-lain | 18.11.2010 |
1)adakah terdapat perbezaan binaan plot dalam karya matapelajaran bahasa melayu(komsas) dan kesusasteraan melayu? 2)kini terdapat banyak buku rujukan dipasaran.buku terbitan apakah yang lebih sesuai digunakan dalam matapelajaran bahasa melayu sekolah menengah? | Plot dalam karya sastera yang digunakan dalam komsas masih sama, cuma pihak Kementerian Pelajaran mempermudahkan persembahan bahan tersebut sesuai dengan kemampuan pelajar. Buku-buku rujukan yang terdapat di pasaran perlu diteliti kandungannya agar sesuai digunakan sebagai bahan bantuan mengajar Bahasa Melayu sekolah menengah. | Lain-lain | 10.01.2008 |
1)Apakah kriteria-kriteria yang dititikberatkan ketika pemilihan sesuatu karya untuk diterbitkan? 2)Bagaimanakah caranya pengkarya untuk mengetahui sesuatu karya yang dihantar telah berjaya diterbitkan? 3)Berapakah royalti bagi sesebuah puisi dan cerpen? | 1 Kriteria pemilihan: (i) Isi: Keaslian idea, ketepatan fakta, dan perkara yang ditulis tidak bertentangan dengan agama Islam, undang-undang, kesusilaan, dan kepentingan negara. (ii) Cara Persembahan: Penyusunan idea yang logik, kemas, dan sesuai dengan sasaran (pembaca umum, ahli akademik, kanak-kanak dan remaja). (iii) Bahasa: Penggunaan bahasa yang baik dan istilah yang tepat; ejaan dan tanda baca yang betul serta sesuai dengan sasaran. (iv) Pasaran: Mempunyai potensi pasaran yang luas. 2 Pengurus projek akan memaklumkan kepada penulis melalui surat sama ada karya tersebut wajar diterbitkan ataupun tidak. 3. Kadar royalti untuk kumpulan puisi ataupun cerpen ialah 12%. Dewan Bahasa dan Pustaka akan membayar 50% apabila buku terbit dan 50% lagi berdasarkan jualan buku. | Lain-lain | 28.04.2008 |