Perkataan "untuk" dan "dan" dalam ayat tajuk. 1. Ceramah Awam untuk Penghuni Perumahan dan Kedai atau 2. Ceramah Awam Untuk Penghuni Perumahan Dan Kedai Mana yang betul. Terima kasih | Ayat yang betul ialah 1. Ceramah Awam untuk Penghuni Perumahan dan Kedai. Kata "untuk" ialah kata sendi nama dan "dan" ialah kata hubung. Oleh itu, kedua-duanya mesti ditulis bermula dengan huruf kecil. | Tatabahasa | 03.05.2013 |
adakah betul ejaan jawi untuk katanama berikut: 1. PUSAT PERUMAHAN PELAJAR ڤوست ڤرومهن ڤلاجر 2. BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR بهاݢين هال اهوال ڤلاجر 3. PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI ڤوست کصيحتن اونيۏرسيتي | Ejaan yang dicadangkan adalah betul, kecuali حال احوال . | Ejaan | 29.06.2015 |
Adakah ayat ini betul dari segi struktur ayat dan tatabahasa? Perlu tak letak 'di kawasan perumahan ini' di hujung ayat sedangkan saya sudah nyatakan nama kawasan di permulaan ayat? 1. Menerusi kajian saya di kawasan Batu Lahad, pelepasan asap daripada kenderaan bermotor juga merupakan antara punca yang menyumbang kepada berlakunya pencemaran udara di kawasan perumahan ini. | Frasa "di kawasan perumahan ini" boleh digugurkan dalam konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 11.07.2014 |
apakah kesalahan imbuhan dan tatabahasa dalam ayat di bawah? 1. Kawasan rekriasi diwujudkan bagi memberi peluang kepada anggota masyarakat untuk beriadah. 2.Penjual surat khabar lama mengwar-warkan kutipkan kertas dan majalah lama di kawasan perumahan tersebut. | 1. Kawasan rekreasi diwujudkan untuk memberi peluang kepada anggota masyarakat untuk beriadah. 2. Penjual surat khabar lama menguar-uarkan kutipan kertas dan majalah lama di kawasan perumahan tersebut. | Tatabahasa | 28.02.2013 |
Saya ada dua soalan tentang kata sendi 'dari' dan 'daripada'. Perhatikan ayat yang berikut. Yang manakah betul? 1. Saya membeli rumah 'dari' atau 'daripada' Syarikat Perumahan Eon. 2. Saya berpengalaman bertugas di syarikat penerbitan lebih 'dari' atau 'daripada' 10 tahun. Saya mohon agar diberi penjelasannya sekali. Terima kasih. Nura | Sdr Nurazizan, bagi soalan satu, yang betul ialah saya membeli rumah daripada syarikat perumahan EON. Alasannya, satu daripada fungsi daripada ialah menunjukkan asal atau punca sesuatu itu. Bagi ayat kedua pula yang betul ialah 2. Saya berpengalaman bertugas di syarikat penerbitan lebih 'daripada' 10 tahun. daripada dalam ayat ini menunjukkan perbandingan. Terima kasih. | Tatabahasa | 20.02.2009 |
1. Pokok di kawasan perumahan itu amat tinggi sekali. 2. Dia mengambil satu sudu jem lalu menyapu jem itu pada roti. 3. Nenek segera dibawa ke hospital kerana dia keracunan makanan. 4. Pelancong yang berkunjung ke negeri Sarawak terpikat dengan keunikan budaya masyarakatnya. A. 1 dan 3 B. 2 dan 4 C. 1,2 dan 3 D. 2,3, dan 4 Apakah pilihan jawapan yang tepat? | Jawapan: B. 2 dan 4, 2. Dia mengambil satu sudu jem lalu menyapu jem itu pada roti. 4. Pelancong yang berkunjung ke negeri Sarawak terpikat dengan keunikan budaya masyarakatnya. | Tatabahasa | 04.02.2009 |
Salam sejahtera, Apakah kesalahan ayat-ayat di bawah ini? 1. Rakyat berterima kasih atas perkenan tuanku mencemar duli ke perasmian taman perumahan ini. 2. Nelayan-nelayan melonggokkan ikan-ikan mengikut jenis sebelum menjualnya kepada peraih-peraih yang membuat tawaran yang paling baik. 3. Selain daripada sesak nafas, perokok tegar juga boleh menghidap sakit kerongkong. Terima kasih. | 1. Rakyat berterima kasih atas perkenan Tuanku mencemar duli ke perasmian taman perumahan ini. 2. Nelayan-nelayan melonggokkan ikan mengikut jenis sebelum menjual ikan tersebut kepada peraih-peraih yang membuat tawaran paling baik. 3. Selain daripada sesak nafas, perokok tegar juga akan mengalami sakit kerongkong. | Tatabahasa | 23.07.2013 |
Penggunaan tanda koma dalam ayat berikut adakah betul? 1) Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong membersihkan taman permainan dan kawasan perumahan. Betulkan penggunaan tanda selepas sebagai contoh? | Dalam ayat contoh yang diberikan tanda koma boleh digunakan sebagai pemisah perkataan yang berurutan. | Tatabahasa | 19.07.2012 |
Assalamualaikum/Salam sejahtera, saya ingin bertanya 2 soalan. 1) Di manakah saya boleh membeli buku garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan? 2) Apakah contoh nama yang sedap & baik untuk pusat tuisyen? Boleh tuan beri saranan sedikit? | Buku tersebut boleh dibeli di Kedai Buku DBP atau wakil pengedar DBP. Nama yang sesuai dengan pusat tuisyen ialah nama yang boleh dikaitkan dengan ilmu dan pendidikan seperti Pusat Tuisyen Bestari. | Lain-lain | 15.07.2015 |
1)Apakah kata seru yang sesuai bagi ayat di bawah?EH/ADUHAI?Mohon penjelasan yang lebih lanjut daripada pihak tuan. ________, bila agaknya tarikh pengumuman tarikh keputusan peperiksaan UPSR pada tahun ini! Adakah perkataan "Diam" sesuai untuk ayat di bawah? -Kami sekeluarga telah lama ____________ di taman perumahan ini. | 1. Ayat tersebut tidak memerlukan kata seru. Ayat tersebut lebih sesuai sebagai ayat tanya. 2. Penggunaan perkataan diam betul dalam ayat. | Tatabahasa | 19.08.2013 |