Jika sesuatu perkataan yang digunakan dalam ragam percakapan seharian seperti 'skodeng, pishang (pisyang)' digunakan oleh masyarakat secara meluas, akankah perkataan tersebut masuk ke dalam kamus dewan pada edisi akan datang? Dan akankah ia diubah ejaan supaya kelihatan seperti bahasa Melayu baku? (skodeng menjadi sekuding atau pishang menjadi pisyang). | Untuk makluman tuan/puan, antara fungsi Kamus umum DBP ialah merakamkan pelbagai bentuk kata yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat yang diambil daripada teks secara bertulis. Sehingga kini, perkataan skodeng dan pishang belum terakam dalam kamus di DBP. Kemungkinan perkataan ini akan dimasukkan atau diambil sebagai entri dalam kamus akan datang bergantung pada terakamnya perkataan ini dalam bentuk bertulis. Kamus DBP tidak memasukkan entri/perkataan yang diucapkan secara lisan. Dari segi ejaan, Bahagian Perkamusan DBP akan membuat penyelarasan dan pengubahsuaian semula ejaan mengikut sistem ejaan bahasa Melayu dan sebutan. Perkataan yang seumpama slanga ini jika dimasukkan dalam Kamus Dewan akan diletakkan di bawah label bp ( bahasa percakapan ) yang tidak digunakan dalam konteks rasmi. | Istilah | 21.06.2018 |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Berikut merupakan dua pertanyaan untuk tugasan latihan penyuntingan saya: 1. Bagaimana untuk menyemak ejaan sebenar istilah-istilah / perkataan yang biasa digunakan dalam media sosial contohnya 'pishang', 'meleis', 'astaga' dsb. 2. Adakah dalam penyuntingan, perkataan-perkataan dalam bahasa Inggeris perlu diterjemahkan semula ke dalam bahasa Melayu atau hanya terdapat sebilangan kecil sahaja mengikut kesesuaian penggunaannya dalam teks? Contohnya, "At least, kau dah usaha sehabis baik." Dalam dunia penerbitan, penting juga untuk kita mengambil kira perkataan atau ayat yang perlu dikekalkan keasliannya dan tak sepenuhnya ditukar ke dalam bahasa Melayu standard bukan? Mohon pencerahan. Terima kasih. Nur Amanina binti Suhaimi Akademi Pengajian Bahasa UiTM Shah Alam | Puan, laman PRPM menyediakan data kebahasaan dan kesusasteraan daripada pelbagai sumber meliputi Kamus Dewan, Kamus Pelajar, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, istilah dalam pelbagai bidang termasuklah istilah yang disepakati di peringkat MABBIM, ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan (suku kaum di Sabah dan Sarawak), peribahasa dan sebagainya. Kepelbagaian sumber data ini memberikan impak yang sangat besar kepada dunia pendidikan kerana sebahagian besar pelajar merujuk Kamus Dewan dan Kamus Pelajar dan kini mereka boleh menyemaknya secara dalam talian. Justeru, PRPM menjadi antara laman web kerajaan yang popular yang kerap dilayari oleh para pengguna. Kita seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan baik. Bahasa yang bercampur aduk ialah bahasa rojak. Bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan oleh penuturnya (misalnya seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris). Penggunaan bahasa rojak menunjukkan penguasaan seseorang penutur bahasa Melayu sangat lemah dan tidak mempunyai semangat cintakan bahasa kebangsaan.
| Lain-lain | 03.10.2017 |