Saya sedang membuat poster. Perkataan dalam poster seperti berikut Katakan tidak kepada penggunaan polisterina dan plastik di kampus FRIM Bawa bekas makanan sendiri Adakah betul atau ada kesilapan. | Katakan tidak kepada polistirena dan plastik dalam kawasan FRIM. Bawa bekas makanan sendiri. | Tatabahasa | 28.12.2010 |
BAGAIMANAKAH CARA PENULISAN YANG BETUL: Kertas lukisan dan cat air, atau cat poster, atau cat tempera ATAU Kertas lukisan dan cat air atau cat poster atau cat tempera | Tanda koma tidak perlu sebelum kata "atau" kerana ayat tersebut merupakan ayat setara. Walau bagaimanapun, tidak salah sekiranya tanda koma digunakan kerana tidak menimbulkan perubahan makna dan ini hanyalah melibatkan gaya penulisan. | Ejaan | 25.03.2013 |
Salam, papan tanda di premis perniagaan, poster dan tempat awam banyak menggunakan struktur ayat yang salah seperti: - Kaunter Menumpang Barangan - Dilarang Masuk Tanpa Orang Berkebenaran - Syarikat Peminjam Wang Berlesen dan lain-lain. Boleh DBP jelaskan? | Usaha pemantauan memang dilakukan termasuklah surat-surat teguran yang dihantar kepada syarikat atau agensi kerajaan yang melakukan kesalahan dalam apa juga jenis paparan yang ditujukan untuk umum. Selain iklan, pihak DBP juga turut membuat pemantauan tulisan yang diterbitkan melalui majalah, surat khabar dan sebagainya. Untuk pengetahuan puan, DBP sering membantu pihak berkuasa tempatan untuk meluluskan sesuatu iklan yang ingin disiarkan atau yang hendak dinaikkan. Pendeknya setiap iklan yang menggunakan bahasa Melayu sebelum disiarkan hendaklah penggunaan bahasanya diluluskan oleh DBP sebelum lesen kebenaran iklan itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. DBP sedia bekerjasama dalam hal memperkasakan bahasa Melayu, walaupun tanggungjawab memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat awam ialah di bawah pihak berkuasa tempatan | Lain-lain | 30.03.2013 |
salam, saya nak tanya, saya ada syarikat percetakan, boleh ke alau saya cetak flyers2 dbp, poster, dll. kalau say anak cetak buku2 dbp blh? | Sila berhubung dengan Jabatan Penerbitan atau berbincang dengan Bahagian Kewangan DBP. | Lain-lain | 28.07.2010 |
1. Mana yang betul jika kita hendak menggunakan perkataan Majlis Penutup atau Majlis Penutupan dan Majlis Pembuka atau Majlis Pembukaan. 2. Jika pada poster/buku program/kain rentang perkataan mana yang sesuai ? 3. Atas dasar tatabahasa/fonetik/fonologi mengapakah ia dipilih ? Majlis Penutup atau Majlis Penutupan dan Majlis Pembuka/Majlis Pembukaan ? | Majlis Penutupan dan Majlis Pembukaan/Perasmian. Pemilihan ini disesuaikan dengan makna yang mendukung setiap kata tersebut, penutupan bermaksud perihal menutup (menutupi, menutupkan), penamatan, pengakhiran, penyudahan; manakala pembukaan bermaksud perihal atau perbuatan membuka, permulaan. | Tatabahasa | 17.05.2008 |
A. Saya ingin tahu sama ada ayat di bawah ini betul atau silap. Jika silap; apakah kesilapannya. Kerjasama pihak DBP saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. 1. Dedaun pokok getah keguguran apabila musim kemarau. 2. Pisang goreng itu mereka beli di gerai Wak Semah. B. Penggunaan perkataan "dari" dalam ayat di bawah, betul atau silap. 1. David memberitahu Mariah melaui e-melnya bahawa dia sempat membeli kraf tangan Kelantan dari Pasar Seni semasa dia berkunjung ke Malaysia. C. Bagaimana kita nak menentukan sama ada "ditampal dengan" atau "ditampalkan dengan" yang sesuai untuk ayat di bawah? 1. Dinding restoran itu _______________ pelbagai poster tentang bahaya penyalahgunaan dadah. | Saudara, Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Daun-daun pokok getah keguguran apabila musim kemarau. Perkataan dedaun bermaksud pelbagai jenis daun. 2. Pisang goreng itu dibeli oleh mereka di gerai Wak Semah. Dibeli oleh mereka ialah bentuk pasif bagi diri ketiga. 3. Dalam ayat ini penggunaan kata sendi nama 'dari' betul kerana frasa 'dari Pasar Seni' ialah frasa sendi nama yang merujuk tempat. 4. Dinding restoran itu ditampal pelbagai poster tentang bahaya penyalahgunaan dadah atau Pelbagai poster tentang bahaya penyalahgunaan dadah ditampalkan pada dinding restoran itu. Ditampal (menampal) dan ditampalkan (menampalkan). Kedua-dua ayat ini boleh digunakan bergantung pada konteks dan maksud yang hendak disampaikan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan tentang kata kerja dengan imbuhan meN. | Tatabahasa | 10.11.2009 |
Tak, nak, tapi, saja, ni dan sebagainya dapat dinamakan perkataan kontot. Wajar atau tidak perkataan seperti ini digunakan (a) dalam karya sastera (b) tulisan di media massa seperti akhbar dan majalah terbitan DBP (c) terbitan kerajaan seperti pekeliling dan laporan tahunan? | Penggunaan perkataan ini bergantung pada konteks dan media. Dalam terbitan rasmi seperti pekeliling, laporan, dokumen rasmi lain seperti akhbar dan terbitan DBP ini tidak digunakan. Walau bagaimanapun dalam penulisan kreatif seperti novel, dialog atau dalam bahan bercetak seperti poster bentuk seperti boleh digunakan bergantung pada tujuan dan sasaran penggunanya. | Tatabahasa | 17.01.2009 |