Adakah perkataan ' pun begitu' termasuk dlm penanda wacana? | Pun begitu bukan penanda wacana. | Tatabahasa | 23.11.2020 |
Soalan, 1.Apakah yang membezakan penggunaan 'pun' (dirapatkan dan dijarakkan) dalam bentuk tulisan? Contoh: begitupun,kalaupun,sungguhpun belum pun, mereka pun, telah pun | Perkataan "pun" yang bermaksud hendaklah dijarakkan seperti dia pun (dia juga) dan begitu pun (begitu juga). Pun yang berfungsi sebagai kata penegas hendaklah dirapatkan seperti walaupun dan sungguhpun. | Tatabahasa | 31.07.2012 |
Assmkm! Bolehkah saya mulakan ayat dengan "Pun begitu..."? Adakah ayat ini salah dari segi nahu? T. Kasih. | Yang betul ialah "Begitu pun..." kerana partikel pun tidak hadir pada permulaan ayat. | Tatabahasa | 23.11.2010 |
Bagaimana untuk membezakan perkataan 'pun' jarak atau dekat. Contoh, andaipun - perkataan 'pun' rapat, begitu pun - perkataan 'pun' dijarakkan. Tolong jelaskan dalam Koleksi Lembar Bahasa Bilangan 2 - Bahagian3 mengelirukan saya. Terima kasih. | Kata yang telah mantap dieja rapat menggunakan partikel 'pun' adalah seperti berikut : walaupun, andaipun, bagaimanapun, sekalipun, kendatipun, dan meskipun. | Lain-lain | 27.02.2008 |
Penggunaan Johan, Naib Johan, Ketiga dan Juara, Naib Juara & Juara Ketiga yang mana sesuai dan betul untuk pertandingan melukis/menulis? Terima kasih | Penganjuran pertandingan bakat seperti melukis atau menulis tidak terikat pada peraturan penamaan kategori kedudukan pemenang, dan dalam konteks anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, lazimnya penganjur menamakan kedudukan sebagai Tempat Pertama, Tempat Kedua dan seterusnya. Pun begitu, menurut pandangan Pentadbir, perkara ini tertakluk pada amalan sedia ada atau yang mungkin diperincikan dalam buku panduan tertentu pihak penganjur. Atas pertimbangan kesesuaian konteks umum, disyorkan menggunakan sama ada Johan/Naib Johan/Tempat Ketiga (pada skala kebangsaan atau antarabangsa) atau Juara/Naib Juara/ Tempat Ketiga (pada skala sederhana/kecil). | Tatabahasa | 08.05.2025 |
Adakah kan dan pun boleh digunakan di hujung ayat secara bersendirian? | Penggunaan kan boleh digunakan di hujung ayat secara bersendirian biasanya dijumpai dalam penulisan kreatif seperti di dalam novel atau penggunaan dalam dialog (bahasa percakapan), manakala perkataan pun dijumpai bersendirian apabila membawa sesuatu maksud, hendaklah dijarakkan seperti dia pun, begitu pun, sesiapa pun dan lain-lain. | Tatabahasa | 11.06.2020 |
Apakah maksud pantun di bawah ini?: Dua belas bintang di langit, Bintang diraja dari Melaka; Kata tuan pinang bergigit, Kapur bercampur air mata | Dua belas bintang di langit, Bintang diraja dari Melaka; Kata tuan pinang bergigit, Kapur bercampur air mata Pantun ini boleh ditemui dalam buku Kurik Kundi Merah Saga dalam bilangan 2806. Dalam buku tersebut, pantun di atas dikategorikan dalam 'Adat'. Walau pun begitu, pantun ini boleh juga dianggap sebagai pantun kiasan kerana maksud baris 'Kata tuan pinang bergigit/Kapur bercampur air mata' boleh ditafsir dalam pelbagai makna. Secara umum, KNB DBP mentafsir maksud pantun ini adalah tentang perasaan duka atau sesal yang dialami seseorang atau indivudu kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah. Perbuatan mengigit pinang tentu sahaja satu perbuatan yang tidak betul kerana pinang yang mempunyai rasa yang kelat tidak dimakan. Justeru, akibat perbuatan tersebut, tentu sahaja seseorang yang mengigit pinang akan mengeluarkan air mata seperti keadaan seseorang memotong bawang. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 19.10.2009 |
Apakah perbezaan begitu dan begini? | Kata “begitu” dan “begini” digolongkan dalam "Kata Adverba Jati" iaitu perkataan yang sememangnya berfungsi sebagai penerang kepada kata kerja dan frasa kerja, kata adjektif dan frasa adjektif, kata nama dan frasa nama dan frasa sendi nama. Contoh penggunaannya: - Buku-buku begini amat terhad pasarannya.
- Jangan biarkan anak duduk begini selalu kerana menjejaskan pergerakan pada masa akan datang.
- Aku tidak pernah berasa begini gembira.
- Dahulu pun begitu juga keadaannya.
- Tidak manis berbuat begitu di hadapannya.
- Sanggul di kepalanya begitu rapi.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dan Kamus Dewan terbitan DBP. | Tatabahasa | 03.05.2023 |
Jika kita menemui kesalahan penggunaan bahasa yang digunakan oleh buku terbitan DBP. Di manakah boleh kita tujukan? Berikut ialah cadangan jawapan yang diterima oleh DBP: Cadangan penggunaan yang betul ialah wang simpanan, iaitu bermaksud wang yang disimpan untuk masa depan. Saya pun berpendapat begitu akan tetapi dalam buku teks BM Tahun 5, SJKC, KSSR Semakan, Terbitan DBP, muka surat 137, ditulis simpanan wang. Jadi keliru sikit di sini. Terima kasih. | Terima kasih, pihak kami ambil maklum mengenai perkara ini. Pihak kami akan memanjangkan isu ini kepada bahagian yang bertanggungjawab untuk penambahbaikan. | Lain-lain | 28.10.2021 |
Tuan/Puan, Saya maklum tentang kata nafi iaitu 'tidak' & 'bukan' dan cara penggunaan mereka yg betul dalam ayat. Soalan saya, bolehkah kehadiran 'bukan' dalam ayat, 'Bukan harganya begitu' memberi penekanan kepada predikat? (Sepatutnya ayat ini ditulis, "Harganya bukan begitu"). Saya juga maklum tentang kata penegas (cth : akhiran -lah, pun, juga, hanya), iaitu kewujudan kata penegas memberi penegasan kepada predikat dalam ayat. Namun, sesetengah ayat dalam penulisan sengaja ditulis dalam susunan yang luar biasa dan ia memberi lebih impak kepada pembaca. Adakah susunan 'Bukan harganya begitu' juga ditulis bertujuan untuk memberi penekanan terhadap 'harga'? Terima kasih. | Frasa yang gramatis ialah "Harganya bukan begitu..." lebih tepat digunakan dan menunjukkan penegasan kepada harga. | Tatabahasa | 07.06.2014 |