Bina ayat berikut "PUPUS" adalah betul atau salah, sila membalas. Terima Kasih. "Harta bendanya telah PUPUS dalam kebakaran" | Perkataan yang sesuai bagi ayat tersebut ialah musnah walaupun pupus bermaksud musnah. Namun sinonim membawa peringkat untuk penggunaan perkataan dalam ayat. | Tatabahasa | 22.08.2008 |
penggolongan kata bagi ayat ini... “Pupus bahasa, pupuslah bangsa.” Begitulah kebimbangan yang diluahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, dalam ucapannya semasa merasmikan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Kebangsaan di Melaka pada 13 Oktober lalu. Kenyataan Muhyiddin tersebut ada kebenarannya. Hal ini demikian kerana jika sesuatu bahasa tidak lagi dipedulikan, lama-kelamaan dikhuatiri bahasa tersebut hanya menjadi bahasa jalanan yang digunakan oleh segelintir penutur. Sebenarnya, BBK yang diraikan setiap tahun bukan sekadar acara tahunan. Sambutannya merupakan kelangsungan perjuangan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu, serta bahasa perpaduan di negara ini. Hakikatnya, obor perjuangan yang menyemarakkan bahasa Melayu tidak akan menyala sekiranya tiada usaha berterusan dijalankan. | "Pupus bahasa, pupuslah bangsa" ialah ungkapan umum yang sering diucapkan oleh pemimpin/tokoh bagi mengingatkan kita betapa pentingnya usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda dalam konteks ucapan YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin ialah bahasa Melayu, bahasa rasmi negara. | Tatabahasa | 18.04.2012 |
Mencari istilah, dialek atau loghat bagi rakyat Kelantan yang selalu digunakan samada telah pupus atau sedang digunakan oleh masyarakat Malaysia. | Pertanyaan saudara memerlukan kajian dan penyelidikan lanjut. Saudara boleh merujuk buku Sintaksis Dialek Kelantan, tulisan Abd. Hamid Mahmood dan juga Kamus Dewan untuk membantu saudara dalam perkara ini. Saudara juga digalakkan mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka atau Perpustakaan Negara Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan. | Istilah | 23.05.2009 |
makna kriptografi | kajian linguistik yang berkaitan dengan kod rahsia yang dapat membantu seseorang memahami bahasa yang telah pupus. | Tatabahasa | 13.12.2007 |
SEKADAR BERTANYA. MASYARAKAT SABAH DAN SARAWAK KAYA DENGAN DIALEK TEMPATAN. ADAKAH DIALEK INI DIGUNA PAKAI SEBAGAI BAHASA MELAYU BAKU WALAUPUN TIDAK TERDAPAT DI DALAM KAMUS DEWAN. KALAU TIDAK, CADANGAN SAYA ADALAH LEBIH BAIK KITA GUNAKAN DIALEK TEMPATAN INI DIKAJI DAN DIJADIKAN SEBAGAI BAHASA MELAYU BAKU AGAR TIDAK PUPUS DIALEK INI. WALAUPUN KITA TAHU INI MERUPAKAN KEKUATAN SESUATU ETNIK, NAMUN INI LEBIH BAIK DARIPADA DIALEK INI PUPUS SUATU HARI NANTI. LAGIPUN ADALAH LEBIH MUDAH DARIPADA KITA MENGGUNAKAN BAHASA ASING UNTUK DISERAPKAN KE DALAM BAHASA MELAYU... TERIMA KASIH | Beberapa kosa kata Sarawak ada digunakan dalam bahasa Melayu , contohnya merarau. Namun, penggunaannya belum meluas. Pihak kami akan mengemukakan cadangan ini kepada pihak atasan untuk mendapatkan pandangan. | Lain-lain | 03.11.2008 |
Encik, Ayat berikut betul atau salah dari segi penggunaan 'lenyap' untuk dipadankan dengan penggunaan 'memartabatkan'? - Kita hendaklah memartabatkan bahasa Melayu agar bahasa kebangsaan itu tidak lenyap. | Bagi bahasa lebih sesuai diguanakan 'pupus'. | Makna | 18.09.2006 |
berikan maksud secara terperinci bahasa itu bersifat dinamis? | Maklumat terperinci tentang tajuk "bahasa itu bersifat dinamik" tidak ada dalam pangkalan data kami. Maklumat terperinci hanya diperoleh melalui pembacaan yang banyak dan kajian yang mendalam tentang tajuk tersebut. Bagi membantu saudara mencari maklumat yang diperlukan, beberapa artikel/buku kami cadangkan, iaitu: Bahasa tidak dinamis akan pupus, Johan Jaffar, Utusan Malaysia, 12/08/2004; Fungsi Dinamik Bahasa Melayu, Asiah Idris, Jurnal Dewan Bahasa, Mei 1995 dan Peranan bahasa Melayu dalam pembinaan tamadun tinggi, Abd. Rahman Yaakub, 2004. | Lain-lain | 09.07.2011 |
saya Nusmi Doloh sedang belajar bahasa Melayu Dasar,dipusat bahasa antarabangsa,UIY.inign tanya,buku tentang bahasa Melayu diselatan Thai.Terimakasih. | Untuk makluman tuan, buku khusus mengenai bahasa Melayu di selatan Thai tiada dalam rujukan kami. Walau bagaimanapun, tuan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan dalam bab 1 yang menerangkan perkembangan bahasa Melayu. Tuan juga boleh membuat rujukan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP bagi mencari bahan bacaan tentang bahasa Melayu. Berikut bahan bacaan yang boleh dirujuk: Bahasa Melayu di selatan Thai pupus? | Raja Masittah Raja Ariffin | Pelita Bahasa | 1 April 1992 | Politik dan bahasa Melayu di Selatan Thai | Worait @ Haji Ahmad Idris | Dewan Bahasa | 1 August 2002 | Bahasa Melayu sebagai wahana kedamaian di Selatan Thai | Phaosan Jehwae | Dewan Bahasa | 1 May 2009 | Peranan bahasa Melayu dalam pengajaran Islam di Selatan Thai | Hasan Haji Mohammad Zen | Jurnal Dewan Bahasa | 1 July 1992 | | Lain-lain | 24.10.2013 |
Apa pendapat DBP mengenai penggunaan Bahasa Melayu dikalangan masyarakat? Benarkah ia semakin terpinggir? Merujuk kepada penggunaan Bahasa Inggeris yang semakin meluas dan lebih teruk lagi ialah penggunaan Bahasa Rojak... Salah siapa? | Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat masih lagi baik dan terkawal. Maksud terkawal di sini ialah DBP telah membuat pemantauan terutamanya penggunaan BM dalam media siaran sama ada cetak, elektronik dan iklan. BM tidak terpinggir tanpa sebab. BM akan terpinggir sekiranya penutur asal bahasa itu tidak mempertahankannya. Dalam arus globalisasi sekarang ini, BM mudah terancam dan dikhuatiri akan pupus sama sekali seandainya beberapa langkah proaktif tidak diambil terhadap bahasa itu mulai sekarang. Penggunaan bahasa rojak memang tidak dapat dikawal memandangkan status sosial masyarakat yang berlainan pendidikan, budaya, agama dan tahap pemikiran berinteraksi antara satu dengan yg lain dalam suatu komuniti yg berbeza etnik dan ras kaum. Untuk mengatasi hal ini, DBP telah pun melakukan pelbagai usaha untuk mengangkat dan memperkasakan BM agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa lain di negara ini. T.kasih. | Lain-lain | 08.09.2008 |