mana ayat yang betul dari segi bahasanya. 1) Putera Bongsu raja itu dilahirkan di ... 2) Putera bongsu raja itu diputerakan di ... adakah huruf 'b' pada perkataan bongsu itu huruf kecil atau huruf besar? | Sekiranya Bongsu merupakan nama putera tersebut, huruf 'b' ditulis dengan huruf besar 'Bongsu'. Walau bagaimanapun, sekiranya bongsu merujuk kepada anak yang paling muda (kedudukan anak dalam keluarga) huruf 'b' ditulis dalam huruf kecil 'bongsu'. | Ejaan | 30.03.2011 |
"Mengapakah ______________ bertitah demikian?" tanya Datuk Penghulu kepada Putera Zaid. A patik B tuanku C hamba D baginda Jawapan : D diberi Saya rasa B juga betul sekiranya Datuk Penghulu ingin tahu apa yang yang dititahkan oleh Putera Zaid. Sultan berkata kita guna bertitah, bagaimana pula putera, puteri, permaisuri berkata guna bertitah atau tidak. | Jawapan yang paling tepat ialah baginda kerana kata ganti nama tuanku digunakan apabila berkata-kata dengan raja sahaja. Titah khusus kepada raja atau sultan sahaja. | Tatabahasa | 25.07.2012 |
Salam Sejahtera. Apakah kata ganti nama diri yang sesuai dalam ayat berikut ("Mengapakah ________ bertitah demikian?" tanya Datuk Penghulu kepada Putera Zaid.) sama ada tuanku atau baginda? Sekian | Kedua-dua perkataan itu boleh digunakan mengikut konteks. Jika perkataan tuanku digunakan, Datuk Penghulu merujuk Putera Zaid. Kalau perkataan baginda digunakan, Datuk Penghulu merujuk ayahanda Putera Zaid. | Lain-lain | 25.07.2012 |
Sekiranya saya ingin menggunakan kata sendi nama diri ketiga untuk merujuk kepada putera dan puteri, adakah "baginda" lebih sesuai, ataupun "beliau"? | Kata sapaan untuk ganti nama diri ketiga yang merujuk putera dan puteri bergantung pada gelaran di sesebuah negeri. Ada negeri yang menggunakan YM. Tengku..............., YTM..............., YAM.................. Saudara juga boleh merujuk Bahagian Protokol dan Adat-istiadat, Jabatan Perdana Menteri untuk mendapatkan keterangan lanjut. | Tatabahasa | 28.04.2010 |
Salam sejahtera; Tuan; Apakah kata ganti nama diri pertama yang paling sesuai bagi dayang atau mak inang ketika bercakap dengan tuan puteri / putera? Harap tuan berikan penjelasan kepada saya. Terima kasih. | Kata ganti nama diri yang sesuai digunakan bagi Dayang atau mak inang ketika bercakap dengan tuan puteri/putera ialah "hamba", manakala bagi tuan puteri/putera pula ialah "patik". | Istilah | 29.03.2013 |
Salam Sejahtera.Mohon pandangan tuan tentang soalan berikut; 1. "Mengapakah _______ bertitah demikian ?" tanya datuk penghulu kepada Putera Zaid. A patik B tuanku C hamba D baginda Saya berpendapat, jawapan B dan D boleh diterima berdasarkan makna yang tersendiri. Jika jawapan A, merujuk kepada pertanyaan datuk penghulu kepada putera itu sendiri mengapa mengeluarkan titah yang sedemikian. Jika jawapan B, merujuk kepada pertanyaan datuk penghulu mengapa ayahanda putera itu atau sultan yang lain mengeluarkan titah sedemikian. 2. hari kanak-kanak @ Hari Kanak-kanak 3. hari guru @ Hari Guru 4. hari kemerdekaan / kebangsaan @ Hari Kemerdekaan /Kebangsaan Terima kasih. | 1. Pendapat tuan itu tepat. 2. Hari Kanak-kanak. 3. Hari Guru. 4. Hari Kemerdekaan/Kebangsaan. | Lain-lain | 24.07.2012 |
Untuk makluman Kedutaan Besar Malaysia di Manila akan bekerjasama dengan Universiti of Santo Tomas, Philippines untuk menjayakan pertandingan ratu cantik yang bertemakan "Malaysia". Oleh yang demikian dipohon kerjasama DBP untuk memberikan cadangan nama yang bersesuaian untuk pemenang. Kedutaan telah mencadangkan agar nama "Putera Kuala Lumpur" dan "Puteri Kuala Lumpur" digunakan namun penganjur memaklumkan penggunaan nama putera mempunyai interpretasi yang tidak sesuai dalam bahasa Tagalog (Saya dimaklumkan penggunaan "putera" mempunyai persamaan dengan panggilan anjing). Oleh yang demikian dipohon kerjasama DBP untuk mencadangkan nama yang sesuai. Mohon kerjasama untuk mendapatkan maklumbalas pada kadar SEGERA. | Untuk makluman tuan, ratu dikhususkan kepada wanita kerana ratu bermaksud permaisuri atau pemenang wanita dalam pertandingan kecantikan. Oleh itu, cadangan nama "Puteri Kuala Lumpur" atau "Puteri Malaysia" boleh digunakan. Bagaimana dengan pemenang yang bergelar "Putera Kuala Lumpur"? Adakah dia pemenang pertandingan kecantikan bagi kategori lelaki? Bagi kategori lelaki, bolehlah digunakan gelaran "Pemuda Kuala Lumpur/Malaysia" atau "Jejaka Kuala Lumpur/Malaysia". | Istilah | 11.09.2012 |
1. "Mengapakah _______ bertitah demikian?" tanya Datuk Penghulu kepada Putera Aziz. Jawapannya Tuanku atau Baginda?? 2. Siapakah yang boleh menggunakan "bertitah" ? Raja & Sultan sahaja? 3. Apakah perbezaan antara hamba & tuan hamba? Bolehkah beri contoh? TQ | 1. Baginda - kata ganti nama diri ketiga bagi raja atau sultan Tuanku - yg mulia (digunakan apabila bercakap dgn raja); kata ganti nama diri kedua bagi raja atau sultan. jawapan tepat ialah Tuanku. 2. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bertitah bermaksud berkata, memberi perintah yang merupakan bahasa dalam, bahasa istana. Hanya digunakan oleh Sultan atau Raja. 3. hamba dan tuan hamba - Tuan hamba merupakan kata sapaan yang banyak dipakai dalam sastera lama yang merujuk tuan, digunakan dalam situasi komunikasi antara dua orang. Orang yang dilawan berbicara disapa sebagai tuan hamba dan orang yang berbicara dikenali sebagai hamba.Contoh: " Tuan hamba tinggal di mana?" patik, hamba, tuanku - Patik juga merujuk hamba/saya (dipakai semasa bercakap dengan raja) dan tidak dijelaskan taraf yang orang yang berbicara itu sama ada pembesar atau rakyat jelata. | Tatabahasa | 03.08.2012 |
I Tiada sesiapa yang meragui kelulusan hatinya. II Abangnya graduan kelulusan Universiti Putera Malaysia. III Encik Zahari mendapat kelulusan doktor untuk mengambil cuti tanpa gaji. IV Kita tidak sepatutnya belajar hanya untuk mendapat kelulusan dalam peperiksaan. Jawapan bagi soalan ini ialah III dan IV. Soalan saya ialah mengapa II adalah salah? | Dalam ayat II perkataan yang betul ialah lulusan. Lulusan bermaksud orang yang telah lulus dalam peperiksaan , lepasan. | Tatabahasa | 05.06.2008 |
Salam, saya sedang membuat buku kerja BM Tahun 4 yang terbaharu. Apakah contoh kata nama khas gelaran dan panggilan yang boleh disenaraikan?Adakah gelaran dan panggilan seperti putera, puteri, ustaz, ustazah, haji, hajah, sultan/raja, permaisuri/ratu, saudara, saudari sesuai digunakan? Terima kasih. | Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Untuk makluman puan, putera, puteru, ustaz, ustazah dan sebagainya yang dinyatakan bukan terdiri daripada kata nama khas tetapi nama gelaran dan panggilan. Untuk maklumat lanjut, puan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 97. | Tatabahasa | 21.11.2013 |