mana satu yang betul contoh effluen rasmi atau contoh rasmi effluen? | Mana satu yang rasmi efluen atau contoh? Sekiranya efluen yang rasmi: Contoh efluen rasmi. Sekiranya contoh yang rasmi: Contoh rasmi efluen. | Lain-lain | 03.11.2009 |
saya ingin mengetahui format surat rasmi dan tidak rasmi | Format surat rasmi boleh dirujuk pada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007, halaman 43 : Surat Rasmi Kerajaan. Manakala format surat tidak rasmi adalah seperti surat kiriman lama yang mengikut kesesuaian penulisnya bergantung pada perkara yang dibincangkan. | Lain-lain | 04.10.2010 |
apakah persepsi majikan tentang cara penulisan surat rasmi? | Majikan seharusnya menetapkan panduan khusus untuk menulis surat rasmi kerana surat rasmi menggambarkan imej dan citra majikan tersebut. Surat rasmi mempunyai format khusus, penggunaan bahasa yang betul, mengandungi rujukan dan tarikh, pengolahan idea yang tepat dan santun. | Lain-lain | 12.01.2008 |
APAKAH DEFINISI BAGI DIALOG DALAM TULISAN, DIALOG RASMI, DIALOG TIDAK RASMI, DIALOG BAKU DAN DIALOG KOLOKIAL | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, dialog bermaksud: 1. kata-kata yg dituturkan oleh watak-watak dlm drama atau fiksyen: pengucapan ~ sesetengah pelakonnya masih lemah; 2. karya sastera dlm bentuk perbualan; 3. perbincangan atau perundingan antara dua pihak yg bertelingkah kepentingannya: satu majlis ~ diadakan antara penduduk kampung dgn wakil rakyat mereka; kami mengadakan ~ dgn pengusaha hotel, pemandu-pemandu teksi, malah tuan-tuan punya kedai emas juga; berdialog mengadakan dialog, bertukar-tukar pendapat mengenai sesuatu isu secara terbuka: mereka ~ dgn wakil-wakil dr Kementerian Perdagangan mengenai masalah harga minyak petrol. Dalam konteks soalan yang dikemukakan, dialog dalam tulisan bermaksud tulisan yang berkaitan dengan perbualan atau percakapan yang ditulis dalam skrip, novel dan cerpen. Dialog rasmi ialah perbincangan atau perundingan rasmi antara dua pihak yang berkisar hal-hal rasmi. Dialog tidak rasmi: perbincangan atau perundingan tidak rasmi yang berkisar pada perkara-perkara tidak rasmi seperti perbualan di warung, kedai kopi dll. Dialog baku: perbualan atau percakapan yang menggunakan sebutan yang betul mengikut sistem tatabahasa yang betul. Dialog kolokial: perbualan/percakapan yang menggunakan laras bahasa basahan/bahasa pasar/slanga/bahasa daerah. | Tatabahasa | 28.09.2010 |
Untuk tujuan penulisan surat kiriman rasmi. Apakah ayat pertama yang tepat dalam penulisan surat rasmi. Biasanya surat kiriman rasmi dimulai dengan ayat yang berikut : "Dengan hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk." Keraguan saya ialah penggunaan kata pemeri 'adalah' di hadapan kata kerja pasif. Adakah ayat ini diguna pakai atau ada sebarang ayat yang lebih tepat sebagai permulaan surat kiriman rasmi? Mohon pencerahan daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Frasa yang betul ialah "Dengan hormatnya, perkara di atas dirujuk" atau "Dengan hormatnya kami merujuk perkara yang tersebut di atas". | Tatabahasa | 22.01.2014 |
Yang mana betul "Laman Portal Rasmi" atau Portal Rasmi ? | Frasa yang betul ialah "Portal Rasmi". | Istilah | 08.10.2014 |
Assalamualaikum... Saya ingin bertanya tentang surat kiriman rasmi. Kenapakah surat kiriman rasmi tidak mencatatkan nombor 1 dalam kandungan surat? Sebaliknya diteruskan kepada nombor 2. Terima kasih | Format penulisan surat rasmi yang bermula dengan perenggan pertama (tanpa nombor) dan perenggan seterusnya bermula dengan nombor 2 dan seterusnya telah lama diterima pakai. Format yang hampir sama juga diterima pakai dalam penulisan esei, perenggan pertama bermula dari tepi dan menginden (mengesot sedikit ke dalam) pada perenggan yang seterusnya. Walau bagaimanapun tiada maklumat tentang penyusunan format penulisan yang sedemikian dalam pangkalan data kami. Sedikit maklumat tambahan, format penulisan surat rasmi ini menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007 yang dikeluarkan oleh JPA. | Tatabahasa | 07.11.2015 |
Boleh tunjukkan format terkini surat kiriman rasmi? | Format surat rasmi jabatan kerajaan adalah bergantung kepada ketetapan yang telah diterima pakai. Asas format surat rasmi boleh dirujuk dalam laman web INTAN atau Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia sebagai panduan. | Lain-lain | 24.02.2008 |
SALASILAH SURAT RASMI DAN BILAKAH SURAT RASMI MULA DIGUNAKAN? | Pertanyaan saudara ini berbentuk tugasan pelajar. Saudara perlu membuat kajian dan penelitian yang lebih terperinci. Namun, kami tetap melayani soalan yang berbentuk tugasan dengan mencadangkan beberapa tajuk buku, jurnal atau makalah yang berkaitan dengan tugasan untuk memudahkan pelajar menyiapkan tugasan tersebut. Sila klik layari laman web kami dan klik domain Buku atau Artikel. Saudara juga boleh datang ke Pusat Dokumentasi Melayu, Menara DBP untuk membuat rujukan akademik atau mana-mana perpustakaan lain yang berhampiran.Maklumat tentang penulisan surat rasmi juga boleh dirujuk dalam buku Penggunaan Bahasa dalam Surat Rasmi, Bahasa dalam Komunikasi yang ditulis oleh Asmah Hj. Omar dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. | Tatabahasa | 05.03.2013 |
boleh tak beritahu saya format surat rasmi ke kerabat diraja | Format surat rasmi kepada kerabat diraja adalah sama sebagaimana format surat rasmi yang biasa. Dalam menyediakan surat rasmi kepada kerabat diraja, penulis hendaklah menggunakan kata-kata bahasa istana, beretika, dan santun. Sila rujuk pihak istana bagi mendapatkan maklumat lanjut. | Lain-lain | 29.02.2008 |