Salam sejahtera. Tolong bantu saya. 1) Apakah penjodoh bilangan yang sesuai untuk kerongsang? Dalam Kamus Dewan. rawan untuk kancing baju, adakah penggunaan rawan juga sesuai untuk kerongsang? Atau, kerongsang tidak perlu ada penjodoh bilangan? 2)Yang mana satukah yang betul? a) sebentuk anak kunci, atau b) sebatang anak kunci? a) sebuah ibu kunci/mangga, atau b) sebentuk ibu kunci/mangga,atau c) tidak perlu penjodoh bilangan? 3)Adakah apa-apa kesilapan dalam ayat ini? 'Sampah sarap itu berpunca daripada sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab' Terima kasih. | Penggunaan penjodoh bilangan lazimnya bergantung kepada bentuk fizikal bahan tersebut. Melihat kepada fizikal kerongsang penjodoh bilangan yang sesuai ialah bentuk. Walau bagaimanapun jika bentuk fizikal kerongsang seperti kancing baju maka boleh digunakan rawan sebagai penjodoh bilangannya. Begitu juga dengan penjodoh bilangan untuk anak kunci boleh digunakan sebentuk atau sebatang, lihat kepada bentuk fizikalnya. Kami telah beberapa kali menerima pertanyaan tentang soalan ini, kami cadangkan suadara rujuk kepada Majlis Peperiksaan atau Jabatan Pelajaran Negeri yang menyediakan soalan tersebut. | Tatabahasa | 03.08.2011 |
Berikut beberapa pertanyaan tambahan dari saya. 7. Mengapa kata “selsius” tidak ada di dalam kamus? Apakah alasan DBP menggunakan ejaan bahasa Inggris iaitu “celsius”? 8. Adakah lagu boleh dianggap atau dikategorikan sebagai salah satu bentuk syair? 9. Adakah kata “rentan” boleh digunakan untuk hal-hal selain dari penyakit? Seperti contoh, “Indonesia merupakan negara rentan gempa bumi kerana kedudukan geografinya yang berada di kawasan lingkaran api pasifik.” Dalam bahasa Indonesia, terdapat kata “rawan” yang bererti mudah menimbulkan gangguan keamanan atau bahaya. 10. Mengapa kata “iya” tidak terakam di dalam kamus Dewan? Mengapa DBP menggunakan ejaan “ia”? Sedangkan kata “ia” juga mempunyai maksud yang lain. Pada hemat saya, lebih wajar sekiranya ejaan “iya” digunakan dan dirakamkan dalam kamus Dewan untuk mewujudkan perbezaan antara “ia” yang bermaksud “ya” dan “ia” yang bermaksud kata ganti nama. Mohon dipertimbangkan. 11. Adakah bahasa Melayu klasik yang berkembang sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka menggunakan dialek Melayu baku atau dialek Johor-Riau? 12. Siapakah yang mencipta sebutan/dialek baku bahasa Melayu? Kerana ada yang mengatakan bahawa Raja Ali Haji adalah orang yang pertama kali mewujudkan dan menyusun penyebutan baku untuk bahasa Melayu. Mohon jawaban dari pihak DBP untuk kesemua 12 pertanyaan berikut. Terima kasih. | 7. Selsius tidak terakam di dalam kamus kerana ejaan yang disepakati oleh MABBIM ialah Celsius. Kependekan C juga digunakan bagi maksud Celsius atau Centigrade yang selaras dengan skala sukatan antarabangsa. 8. Sesebuah lagu boleh dikategorikan sebagai salah satu bentuk syair jika memenuhi ciri-ciri puisi tradisional tersebut. 9. Makna kata rentan yang terakam dalam kamus terbitan DBP masih berkenaan penyakit. Jika kata tersebut telah meluas digunakan dan difahami oleh masyarakat bagi maksud yang lain, secara lazimnya akan dirakamkan sebagai peluasan makna. 10. Kata ia bagi maksud ya telah terakam dalam kamus DBP sejak tahun 1970 lagi. Cadangan untuk menukar ia dengan ejaan iya bagi membezakan dengan makna ia (kata ganti nama) akan dipertimbangkan dan diputuskan bersama-sama pakar bahasa. 11. Bahasa Melayu klasik pada zaman Kesultanan Melayu Melaka tidak menggunakan bahasa Melayu baku. Pelbagai dialek/bahasa sukuan dalam rumpun Melayu digunakan sebagai medium penyampaian maklumat di rantau ini. 12. Di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan perancang bahasa yang menjalankan fungsi penubuhannya, termasuk pengekodan bahasa kebangsaan supaya menghasilkan ejaan dan sebutan yang baku atau standard. Usaha ini dilaksanakan oleh petugas DBP dengan kerjasama pakar bahasa dan pakar bidang, disokong oleh ilmu yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh hebat yang terdahulu. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 3-40). | Lain-lain | 07.06.2023 |