Salam, saya ingin bertanyakan kata pemeri. Apakah kata pemeri yang sesuai untuk ayat ini? Kisah yang dipamerkan di kaca televisyen itu _________ rekaan semata-mata. Terima kasih. | Kata pemeri yang tepat ialah "ialah". Kisah yang dipamerkan di kaca televisyen itu ialah rekaan semata-mata. | Tatabahasa | 13.09.2013 |
Ejaan 'KONVOKESYEN' untuk rekaan kulit buku boleh atau tidak di reka bentuk dengan perkataan 'Konvo' dan 'kesyen' dipisahkan dalam dua baris tanpa kata pemisah. Jika boleh kenapa? dan jika tidak boleh mengapa? | Ejaan yang betul ialah "Konvokesyen" dan itulah jawapannya. Jika ditulis dalam dua baris berbeza hendaklah ada tanda sempang yang memisahkannya. | Ejaan | 14.06.2011 |
adakah struktur ayat betul? Rumah kelab penduduk eksklusif dengan rekaan bergaya dan mewah, bukan sahaja menawarkan suasana selera untuk bersenam malah satu ruang demi menjalinkan hubungan mesra antara jiran. | Ayat tersebut tidak lengkap dengan keterangan atau maksud yang ingin disampaikan. Misalnya keterangan berkenaan 'ruang' yang dimaksudkan dalam ayat tersebut. Contohnya 'ruang kecil atau ruang keluarga'. Cadangan kami untuk ayat tersebut ialah 'Rumah kelab penduduk jenis esklusif bukan sahaja mewah malah mempunyai ruang yang sesuai untuk bersenam dan juga ruang yang sesuai untuk menjalinkan hubungan mesra antara jiran'. Harap maklum. | Tatabahasa | 22.07.2008 |
Salam, saya ingin tahu padanan bahasa Melayu untuk perkataan "customize" dan "wood-cloth." Apaka ayat ini gramatis, "Harap-harap, anda kemudian akan ingin mengetahui dengan lebih lanjut dan mengembangkan sendiri rekaan dan cara-cara anda bekerja." Terima kasih. | 1. Customize diterjemahkan kepada mengikut tempahan atau mengikut pesanan. Wood-cloth tidak ada dalam sumber rujukan kami. Merujuk sumber istilah yang ada seperti wood product dan wood vinegar diterjemahkan kepada keluaran kayu dan cuka kayu, kami cadangkan wood cloth diterjemahkan kepada kain kayu. 2. Ayat yang sesuai, "Harapan kami, anda akan mengetahui dengan lebih lanjut serta mengembangkan sendiri rekaan dan cara-cara anda bekerja". | Istilah | 23.07.2012 |
Apa maksud novel? berikan senarai genre novel dan maksudnya sekali | Novel secara umum bermaksud kisah rekaan yang panjang dalam bentuk prosa. Novel berasal daripada perkataan novella dalam bahasa Itali yang membawa erti 'perkhabaran baru'. Antara genre novel ialah novel aliran kesedaran, novel antirealistik, novel aprentis, novel lawan alam, novel kedaerahan, novel gothik, novel masalah, novel peristiwa, novel pikares, novel psikologi, novel propaganda, novel politik, novel realistik, novel resaman, novel romantik, novel sejarah, novel sempurna, novel sensibiliti, novel sosial, novel tesis, novel warkah dan sebagainya. | Lain-lain | 25.08.2009 |
Saya adalah pereka motosikal di MODENAS SDN. BHD. Seperti yang diketahui ramai, terdapat pelbagai jenis dan rekaan motosikal di pasaran dunia dan tempatan. Di Malaysia, motosikal jenis "Underbone" atau "Kapcai" adalah yang paling terkenal sekali. Daripada pemerhatian yang di buat, penggunaan nama "Kapcai" telah di guna pakai lebih daripada 50 tahun . Pengguna menggunakannya dalam bahasa harian serta mampu mengenal pasti dengan tepat akan jenis motosikal tersebut dengan nama itu. Atas faktor-faktor tersebut, bolehkah "Kapcai" di daftarkan dalam Bahasa Malaysia? http://en.wikipedia.org/wiki/Underbone | Buat masa ini perkataan kapcai sudah pun dirakamkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat , halaman 674. Walau bagaimanapun perkataan ini digunakan dalam bahasa percakapan. | Lain-lain | 05.03.2008 |
salam......apakah maksud novel dan filem...... banyak novel yang diadaptasi ke filem, apa kaitan/hubungan novel dan filem....terima kasih | Novel ialah cerita rekaan (cereka) yang dipaparkan melalui perkataan sementara filem adalah cereka yang dipaparkan melalui audio visual (alat pandang dengar). Kaitan /hubungan novel dan filem ialah kedua-duanya adalah alat penceritaan suatu peristiwa atau kisah atau cerita cuma mediumnya berbeza iaitu novel melalui perkataan/bahasa dan filem melalui alat pandang dengar. | Lain-lain | 11.08.2008 |
Adakah suatu istilah lain yang dapat digunakan bagi merujuk "bible" selain daripada Injil? Ini kerana, Injil merupakan sebuah kitab yang diturunkan Allah kepada Isa alaihis salam, sedangkan "bible" adalah suatu rekaan manusia yang terang-terangan bukan wahyu Allah subhanahu wataala. Pada pendapat saya, menyatakan "bible" sebagai Injil merupakan suatu pendustaan dan menghina ajaran Islam. | Buku istilah DBP menterjemahkan bible menjadi Injil dalam bahasa Melayu, hal ini sememangnya membawa kepada perbincangan yang lebih lanjut di kalangan sesetengah pihak dan pihak DBP mengambil maklum perkara ini, terima kasih. | Lain-lain | 21.10.2008 |
syirik, tahyul,khurafat | Menurut Kamus Dewan, syirik bermaksud perbuatan menyekutukan Allah, baik dgn keyakinan, ucapan atau perbuatan, misalnya percaya adanya kuasa ghaib selain Allah, memuja berhala dsb. Tahayul pula dimaksudkan sebagai hanya rekaan khayalan belaka (sebenarnya tidak ada), impian sahaja, hanya dlm angan-angan. Tahayul juga ditakrifkan sebagai kepercayaan yg karut-karut (kpd sesuatu yg sebenarnya tiada). Contoh ayat: Menurut tahayul orang tua-tua bilamana hari kiamat Kara Eng Data akan pulang kembali. Khurafat pula ditakrifkan sebagai kepercayaan yg karut, dongeng dan tahayul. | Makna | 02.10.2007 |
Apa kata lawan bagi perkataan 'fitrah' (tabiat, sifat semulajadi). Sekian, terima kasih. | Fitrah bermaksud tabii, iaitu mengikut sifat (keadaan, pembawaan dll) yang asli atau yang semula jadi. Dalam sumber rujukan kami tidak ada satu perkataan khusus yang menjadi kata lawan bagi kata fitrah, kata lawan yang berdekatan dengan maksud fitrah ialah sifat yang terhasil melalui rekaan, ciptaan, lakonan dan sebagainya. | Tatabahasa | 08.12.2010 |